2 PETRUS 3:3-15

2 PETRUS 3:3-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Mula-mula kamu harus mengerti bahawa pada akhir zaman akan muncul beberapa orang yang kehidupan mereka dikuasai oleh hawa nafsu. Mereka akan memperolok-olokkan kamu dengan berkata, “Bukankah Tuhan berjanji akan datang? Di manakah Dia? Ibu bapa kita sudah meninggal, tetapi segala-galanya masih sama sahaja seperti sejak kejadian alam!” Mereka sengaja tidak mahu mengakui bahawa dahulu Allah menciptakan langit dan bumi dengan firman-Nya. Bumi dijadikan daripada air dan dengan air. Dengan air juga, iaitu air bah, dunia zaman dahulu itu dibinasakan. Tetapi langit dan bumi sekarang ini, dipelihara oleh firman Allah itu juga, untuk dimusnahkan dengan api kelak. Langit dan bumi masih dipelihara sehingga hari orang derhaka dihukum dan dibinasakan. Tetapi janganlah lupa akan satu perkara ini, hai sahabat-sahabat yang aku kasihi! Di sisi Tuhan, satu hari tidak ada bezanya dengan seribu tahun. Bagi-Nya, kedua-duanya sama sahaja. Tuhan tidak berlambat untuk melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya, meskipun beberapa orang berfikir demikian. Sebaliknya, Dia sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin sesiapa pun binasa. Dia mahu semua orang bertaubat daripada dosa. Tetapi Hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti pencuri. Pada Hari itu, langit akan lenyap dengan bunyi gemuruh, benda-benda di langit akan terbakar dan musnah, dan bumi dengan segala yang ada di dalamnya akan lenyap. Semua itu akan dibinasakan dengan cara yang demikian. Oleh itu, bagaimanakah seharusnya kamu hidup? Kamu harus sentiasa hidup suci dan khas untuk Allah, sementara kamu menantikan Hari apabila Allah mengadili dunia. Hendaklah kamu berusaha sebaik-baiknya untuk mempercepat kedatangan Hari itu. Pada Hari itu langit akan terbakar dan musnah, dan benda-benda di langit akan lebur kerana bahangnya. Tetapi kita menantikan apa yang sudah dijanjikan oleh Allah, iaitu langit baru dan bumi baru. Di situ terdapat keadilan. Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, sementara kamu menantikan Hari itu, berusahalah sebaik-baiknya supaya kamu hidup suci dan tidak bercela di sisi Allah. Anggaplah kesabaran Tuhan kita sebagai peluang yang diberikan-Nya kepada kamu supaya diselamatkan. Paulus, saudara yang kita kasihi, juga menulis demikian kepada kamu dengan menggunakan kebijaksanaan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.

2 PETRUS 3:3-15 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka handaklah dikŭtahui, pŭrtama tama kŭlak akan datang pada akhir zaman bŭbrapa orang pŭnyindir agama, yang bŭrjalan mŭnurot akan hawa nafsunya sŭndiri, Sŭrta bŭrkata, Manakah pŭrjanjian yang iya akan datang itu? kŭrna deripada zaman tŭtkala nenek moyang kita tŭlah mati, tiap tiap suatu itu tinggallah dŭmkian juga, spŭrti deripada pŭrmulaan kajadian adanya. Kŭrna dŭngan sŭngajanya marika itu mŭnjadi bodoh derihal ini, bahwa dŭngan fŭrman Allah sagala langit itu tŭlah ada deripada dahulunya, dan bumi ini dijadikan deripada ayer, dan tŭtaplah iya itu deri sŭbab ayer: Maka sŭbab itulah dunia yang ada pada masa itu, sŭbab tŭlah diliputi ulih ayer, binasalah: Tŭtapi langit dan bumi, yang ada skarang ini, dŭngan fŭrman itulah juga tŭlah disimpankan, iya itu ditarohkan bagie api sampie kapada hari yang dihukumkan, dan dibinasakan akan sagala orang fasik. Tŭtapi, kŭkasih janganlah kamu bodoh dalam sa’pŭrkara ini, adapun suatu hari pada Tuhan itu spŭrti sa’ribu tahun adanya, dan sa’ribu tahun itu spŭrti suatu hari juga. Adapun Tuhan itu tiada mŭlambatkan pŭrjanjiannya, spŭrti sŭtŭngah orang mŭnyangkakan lambat; tŭtapi adalah panjang sabarnya akan kami, dan tiada dikahandakinya barang sa’orang pun binasa, mŭlainkan sŭmuanya biarlah bŭrtanbat. Tŭtapi hari Tuhan itu akan datang spŭrti pŭnchuri pada malam; maka pada masa itu langit pun akau lŭnyap dŭngan swara yang gŭmpita, dan sagala anazer pun kŭlak tŭrlŭbor dŭngan hangat sangat, dan bumi sŭrta sagala isinya itupun akan dibakar habis habis adanya. Maka jikalau kiranya sagala pŭrkara ini akan dihanchurkan, maka apakah macham orang patut kamu jadi dalam sagala klakuan, dan kabaktian yang suchi? Mŭnantikan dŭngan rindu dŭndam akan kŭdatangan hari Allah itu, maka pada tŭtkala itu sŭbab langit itu kŭlak tŭrbakarlah dŭngan api hanchurlah iya, dan sagala anazer itupun kŭlak tŭrlŭbor dŭngan hangat sangat. Kŭndatilah, spŭrti pŭrjanjiannya, kami mŭnantikanlah akan langit bahru; dan bumi bahru, maka dalamnyalah ada diam kabŭnaran. Sŭbab itu kŭkasih, tampaknya kamu ada mŭnantikan pŭrkara pŭrkara ini; handaklah kamu rajin, supaya kŭlak kamu didapatinya dŭngan, sŭjahtra, dŭngan tiada bŭrchachat, dan bŭrsalah adanya. Maka kŭnangkanlah panjang sabar Tuhan itu slamat adanya; sungguh pun spŭrti Paulus saudara kami yang kŭkasih itu tŭlah bŭrkirim surat kapada kamu, mŭnurot bijaksana yang tŭlah dikurniakan padanya.

2 PETRUS 3:3-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pertama, kamu harus tahu bahawa para pencemuh akan muncul pada akhir zaman. Sambil berbuat sesuka hati memuaskan nafsu, mereka akan berkata, “Manakah ‘kedatangan-Nya’ yang dijanjikan itu? Nenek moyang kita sudah tiada, tetapi segala-galanya berterusan seperti sejak alam mula dicipta.” Mereka sengaja melupakan bahawa dahulu Allah telah mencipta langit dan bumi dengan firman-Nya dan bumi dibentuk daripada air dan dengan air, dan dengan air itu juga dunia yang wujud dahulu dimusnahkan dengan air bah. Tetapi langit dan bumi yang sekarang dipelihara dengan firman itu juga akan dimusnahkan dengan api, menjelang harinya orang ingkar dihukum dan dibinasakan. Tetapi, saudara-saudara yang kukasihi, jangan lupa satu perkara: Di sisi Tuhan satu hari serupa seribu tahun, dan seribu tahun serupa satu hari. Tuhan bukannya lengah menepati janji, seperti sangkaan sesetengah orang, tetapi amat bersabar dengan kita, kerana Dia tidak mahu seorang pun binasa dan Dia ingin semuanya bertaubat. Namun demikian, hari Tuhan akan tiba seperti datangnya pencuri pada malam hari. Langit akan lenyap dengan bunyi gemuruh dan segala anasir akan lebur oleh kepanasan yang dahsyat, bumi serta segala yang wujud di dalamnya akan hangus terbakar. Oleh sebab segala-galanya akan musnah, bagaimanakah sewajarnya kamu hidup? Kamu harus hidup suci dan taat akan Allah, sementara menanti dan mempercepat menjelangnya hari penghakiman Allah. Pada hari itu langit akan musnah terbakar dan segala anasir lebur oleh kepanasan yang dahsyat. Tetapi kita berpegang kepada apa yang telah dijanjikan-Nya, iaitu langit baru dan bumi baru yang dipenuhi dengan segala yang benar. Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, sementara menantikan semua itu, berusahalah untuk hidup suci, tidak bercela dan berdamai dengan Dia. Anggaplah kesabaran Tuhan kita sebagai penyelamatan, sebagaimana saudara kita yang dikasihi, Paulus, telah mengatakan dalam suratnya untukmu, dengan kebijaksanaan yang telah dikurniakan kepadanya.