2 PETRUS 3:13-18
2 PETRUS 3:13-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Tetapi kita menantikan apa yang sudah dijanjikan oleh Allah, iaitu langit baru dan bumi baru. Di situ terdapat keadilan. Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, sementara kamu menantikan Hari itu, berusahalah sebaik-baiknya supaya kamu hidup suci dan tidak bercela di sisi Allah. Anggaplah kesabaran Tuhan kita sebagai peluang yang diberikan-Nya kepada kamu supaya diselamatkan. Paulus, saudara yang kita kasihi, juga menulis demikian kepada kamu dengan menggunakan kebijaksanaan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Dalam semua suratnya, Paulus selalu menulis tentang perkara-perkara itu. Memang ada beberapa hal dalam suratnya yang sukar difahami. Lalu orang yang tidak tahu apa-apa dan yang lemah iman, telah menyalahtafsirkan hal-hal itu. Mereka juga menyalahtafsirkan bahagian-bahagian lain daripada Alkitab. Perbuatan itu mengakibatkan kebinasaan diri mereka sendiri. Tetapi kamu, saudara-saudara yang aku kasihi, telah mengetahui hal ini. Oleh itu, berwaspadalah supaya kamu tidak disesatkan oleh kesilapan orang jahat, lalu jatuh dari tempat berpijak yang kukuh. Hendaklah kamu semakin menghayati kasih Yesus Kristus, Tuhan dan Penyelamat kita, dan hendaklah kamu juga semakin mengenal Dia. Marilah kita memuji dan memuliakan Kristus, sekarang dan selama-lamanya! Amin.
2 PETRUS 3:13-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Kŭndatilah, spŭrti pŭrjanjiannya, kami mŭnantikanlah akan langit bahru; dan bumi bahru, maka dalamnyalah ada diam kabŭnaran. Sŭbab itu kŭkasih, tampaknya kamu ada mŭnantikan pŭrkara pŭrkara ini; handaklah kamu rajin, supaya kŭlak kamu didapatinya dŭngan, sŭjahtra, dŭngan tiada bŭrchachat, dan bŭrsalah adanya. Maka kŭnangkanlah panjang sabar Tuhan itu slamat adanya; sungguh pun spŭrti Paulus saudara kami yang kŭkasih itu tŭlah bŭrkirim surat kapada kamu, mŭnurot bijaksana yang tŭlah dikurniakan padanya. Bahwa dŭmkianlah lagi didalam sagala surat suratnya ada tŭrsŭbut derihal sagala pŭrkara ini, maka dalamnya ada juga bŭbrapa pŭrkara yang susah mŭngarti, yang diputar balik ulih orang orang yang tiada bŭrplajaran, dan tiada tŭtap itu, spŭrti yang dipŭrbuatnya pada sagala kitab kitab yang lain pun, sampie mŭndatangkan kabinasaan atas dirinya sŭndiri. Maka sŭbab itu kamu kŭkasih, tampaknya kamu tŭlah mŭngatahui akan pŭrkara pŭrkara ini dahulu; handaklah kamu jaga, supaya jangan kamu pun disŭsatkan ulih kŭsalahan orang orang yang jahat itu, kamu kŭlak akan jatoh deripada katŭtapanmu sŭndiri. Tŭtapi handaklah kamu mŭnambah nambahi akan dirimu dalam anugrah, dan pŭngatahuan akan Isa Almasih Tuhan, dan pŭnulong kami. Maka adalah kiranya bagienya juga kamuliaan, baik pada masa ini, baik pada slama lamanya. Amin.
2 PETRUS 3:13-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tetapi kita berpegang kepada apa yang telah dijanjikan-Nya, iaitu langit baru dan bumi baru yang dipenuhi dengan segala yang benar. Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, sementara menantikan semua itu, berusahalah untuk hidup suci, tidak bercela dan berdamai dengan Dia. Anggaplah kesabaran Tuhan kita sebagai penyelamatan, sebagaimana saudara kita yang dikasihi, Paulus, telah mengatakan dalam suratnya untukmu, dengan kebijaksanaan yang telah dikurniakan kepadanya. Paulus menulis tentang hal-hal demikian dalam semua suratnya. Sesetengahnya sukar difahami, lalu orang yang jahil dan tipis iman memesongkan ertinya ke arah kebinasaan diri mereka sendiri. Demikian juga dilakukan oleh mereka terhadap tulisan-tulisan lain dalam Kitab Suci. Saudara-saudara yang kukasihi, oleh sebab kamu telah mengetahui hal ini, berjaga-jagalah, jangan tergelincir daripada pendirianmu yang teguh akibat disesatkan oleh kesilapan orang durjana. Hendaklah kamu semakin kukuh dalam kasih kurnia Tuhan dan Penyelamat kita Yesus Kristus dan semakin mengenal-Nya. Bagi-Nya kemuliaan, sekarang dan selama-lamanya! Amin.