2 RAJA-RAJA 7:1-20

2 RAJA-RAJA 7:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Elisa berkata, “Dengarlah firman TUHAN! Pada waktu ini esok, di Samaria orang dapat membeli 3 kilogram gandum yang terbaik atau 6 kilogram barli dengan harga satu keping wang perak.” Tetapi ajutan raja berkata kepada Elisa, “Mustahil! Walaupun TUHAN sendiri menurunkan hujan pada saat ini juga, hal itu mustahil!” “Kamu akan menyaksikannya,” jawab Elisa, “tetapi kamu tidak akan makan makanan itu.” Empat orang yang menghidap penyakit kulit yang mengerikan sedang berada di luar pintu kota Samaria. Mereka berkata kepada satu sama lain, “Apa gunanya kita menunggu ajal di sini? Tidak ada faedahnya kita masuk ke dalam kota, kerana kita akan mati kelaparan di sana. Jika kita tinggal di sini, kita juga akan mati. Marilah kita pergi ke perkhemahan orang Siria; paling-paling mereka akan membunuh kita, tetapi siapa tahu mungkin mereka tidak akan mengapa-apakan kita.” Oleh itu apabila hari mulai senja, mereka pergi ke perkhemahan orang Siria. Tetapi apabila mereka sampai di tempat itu, tiada seorang pun di sana. Tuhan telah menyebabkan tentera Siria mendengar bunyi seolah-olah satu pasukan tentera besar yang datang menyerang mereka dengan kuda dan kereta kuda. Tentera Siria menyangka bahawa raja Israel telah mengupah raja orang Het dan raja orang Mesir dengan seluruh tentera mereka untuk menyerang tentera Siria. Oleh yang demikian, pada petang itu tentera Siria lari menyelamatkan diri serta meninggalkan khemah, kuda, dan keldai mereka dengan begitu sahaja di perkhemahan. Apabila empat orang itu sampai di pinggir perkhemahan, mereka masuk ke dalam salah satu khemah. Mereka makan dan minum apa yang ada di situ. Mereka mengambil perak, emas, dan pakaian yang dijumpai. Mereka menyembunyikan barang-barang itu, lalu masuk ke khemah yang lain pula; mereka melakukan hal yang sama. Kemudian mereka berkata kepada satu sama lain, “Kita tidak seharusnya berbuat begini! Kita mempunyai berita baik, dan kita tidak boleh merahsiakannya. Jika kita menunggu sehingga esok pagi, tentu kita akan dihukum. Marilah kita pergi dengan segera dan melaporkannya kepada para pegawai raja!” Oleh itu mereka meninggalkan perkhemahan orang Siria dan kembali ke Samaria. Mereka berseru kepada pengawal-pengawal di pintu kota, “Kami telah pergi ke perkhemahan orang Siria, tetapi kami tidak nampak atau dengar sesiapa pun. Kuda dan keldai mereka masih terikat pada tempatnya, dan perkhemahan itu ditinggalkan begitu sahaja.” Para pengawal mengumumkan berita itu, sehingga orang menyampaikannya ke istana. Hari masih malam, namun raja bangun dan bertitah kepada para pegawainya, “Biarlah beta terangkan kepada kamu apa maksud orang Siria itu! Mereka tahu kita sedang kelaparan. Oleh itu mereka meninggalkan perkhemahan dan bersembunyi di padang. Mereka berharap kita akan keluar mencari makanan, lalu mereka akan menangkap kita hidup-hidup dan merampas kota kita.” Salah seorang pegawai raja berkata, “Walau bagaimanapun penduduk kota ini akan mati seperti mereka yang sudah mati. Lebih baik kita mengirim beberapa orang dengan lima ekor kuda yang masih ada, supaya kita tahu apa yang telah berlaku.” Mereka memilih beberapa orang, lalu raja menyuruh mereka mengendarai dua kereta kuda. Mereka disuruh menyiasat apa yang telah berlaku kepada tentera Siria itu. Mereka pergi sampai ke Sungai Yordan, dan di sepanjang jalan mereka nampak pakaian dan alat-alat yang ditinggalkan orang Siria ketika mereka melarikan diri. Kemudian para utusan itu kembali dan melaporkan hal itu kepada raja. Selepas itu penduduk Samaria keluar dan menjarah perkhemahan orang Siria. Sebagaimana firman TUHAN, 3 kilogram gandum yang terbaik atau 6 kilogram barli dijual orang dengan harga satu keping wang perak sahaja. Kebetulan pada waktu itu, ajutan raja ditugaskan menjaga pintu gerbang kota. Dia mati di situ kerana dipijak-pijak orang ramai. Demikianlah yang dinubuatkan Elisa ketika raja menemui dia. Elisa telah memberitahu raja bahawa pada waktu itu esok harinya, 3 kilogram gandum yang terbaik atau 6 kilogram barli akan dijual di Samaria dengan harga satu keping wang perak. Pada masa itu ajutan raja berkata, “Mustahil! Walaupun TUHAN sendiri menurunkan hujan pada saat ini juga, hal itu mustahil!” Elisa menjawab, “Kamu akan menyaksikannya, tetapi kamu tidak akan makan makanan itu.” Itulah yang telah berlaku kepadanya - dia mati dipijak-pijak oleh penduduk kota di pintu gerbang.

2 RAJA-RAJA 7:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kata Elisa, “Dengarlah firman TUHAN. TUHAN berfirman begini, ‘Esok, pada waktu seperti ini, satu sukat tepung terbaik dan juga dua sukat barli akan dijual satu syikal di pintu gerbang Samaria.’ ” Tetapi perwira pengawal raja berkata kepada hamba Allah itu, “Sekalipun TUHAN membuat tingkap-tingkap di langit, dapatkah hal itu terjadi?” Jawab Elisa, “Sesungguhnya, engkau akan melihat hal itu dengan matamu sendiri, tetapi engkau tidak akan menikmatinya sedikit pun.” Pada waktu itu ada empat orang berpenyakit kusta duduk di depan pintu gerbang. Mereka berkata antara satu sama lain, “Apakah gunanya kita duduk-duduk di sini sampai mati? Jika kita berkata, ‘Mari kita masuk ke kota,’ di kota ada bencana kebuluran, dan kita akan mati di sana. Tetapi jika kita tinggal di sini, kita akan mati juga. Sekarang, mari kita mendatangi perkhemahan pasukan Aram. Jika mereka membiarkan kita hidup, maka kita akan hidup. Jika mereka membunuh kita, maka kita akan mati.” Maka pergilah mereka pada waktu senja ke tapak perkhemahan orang Aram. Setelah mereka sampai di hujung perkhemahan orang Aram, ternyata tidak ada seorang pun di sana. Memang Tuhan telah membuat pasukan Aram mendengar bunyi rata dan bunyi kuda, iaitu bunyi pasukan yang besar, sehingga mereka berkata antara satu sama lain, “Tentu raja Israel telah mengupah raja-raja orang Het dan raja-raja orang Mesir untuk datang melawan kita.” Oleh sebab itu mereka segera melarikan diri pada waktu senja. Mereka meninggalkan khemah, kuda, dan keldai mereka serta perkhemahan itu begitu sahaja, lalu melarikan diri demi nyawa mereka. Sesampainya orang kusta itu di pinggir perkhemahan, masuklah mereka ke dalam sebuah khemah lalu makan dan minum. Mereka mengangkut dari sana perak, emas, dan pakaian, lalu pergi menyembunyikannya. Kemudian mereka kembali dan masuk ke dalam khemah yang lain, lalu mengangkut juga barang-barang yang ada di sana dan pergi menyembunyikannya. Setelah itu, mereka berkata antara satu sama lain, “Perbuatan kita ini tidak baik. Hari ini ada khabar baik, tetapi kita diam sahaja. Jika kita menanti sampai fajar menyingsing, maka hukuman akan menimpa kita. Sekarang, mari kita pergi memberitahu pihak istana raja.” Mereka pergi lalu berseru kepada para penjaga pintu gerbang kota dan memberitahukan demikian kepada orang itu, “Kami mendatangi perkhemahan orang Aram. Ternyata tidak ada orang di sana dan tidak terdengar suara manusia. Hanya ada kuda-kuda dan keldai-keldai tertambat, manakala khemah-khemah ditinggalkan begitu sahaja.” Kemudian para penjaga pintu gerbang mengumumkan khabar itu hingga sampai ke kalangan istana raja. Maka bangunlah raja pada malam hari itu lalu berkata kepada para pegawainya, “Kuberitahukan kepadamu apa yang disiapkan orang Aram itu bagi kita. Mereka tahu bahawa kita ini kelaparan, sebab itu mereka pergi dari perkhemahan untuk bersembunyi di padang sambil berfikir, ‘Apabila orang itu keluar dari kota, kita akan menangkap mereka hidup-hidup, lalu masuk ke dalam kota.’ ” Tetapi salah seorang pegawainya menjawab, “Sebaiknya beberapa orang mengambil lima ekor daripada kuda yang tersisa, yang masih tertinggal di dalam kota, kerana sesungguhnya nasib orang Israel yang tersisa di sini akan sama dengan nasib ramai orang Israel yang telah binasa. Jadi, biarlah kita mengutus orang untuk melihat apa yang terjadi.” Kemudian mereka mengambil dua buah rata dengan kuda, dan raja menyuruh mereka menyusul pasukan Aram, katanya, “Pergilah dan lihatlah.” Mereka pun pergi menyusul orang itu sampai ke Sungai Yordan. Ternyata sepanjang jalan itu penuh dengan pakaian dan kelengkapan yang dibuang oleh orang Aram ketika mereka lari tergopoh-gopoh. Maka para suruhan itu kembali dan memberitahukan hal itu kepada raja. Lalu orang ramai pun keluar menjarah perkhemahan orang Aram sehingga satu sukat tepung terbaik dan juga dua sukat barli dijual satu syikal, selaras dengan firman TUHAN. Sementara itu perwira yang menjadi pengawal raja diminta raja untuk mengawasi pintu gerbang. Namun demikian, orang ramai menginjak-injak dia di pintu gerbang itu sehingga dia mati, selaras dengan kata-kata yang diucapkan hamba Allah ketika raja datang menemuinya. Waktu itu hamba Allah berkata kepada raja, “Esok, pada waktu seperti ini, dua sukat barli dan sesukat tepung terbaik akan dijual satu syikal di pintu gerbang Samaria.” Tetapi si perwira berkata kepada hamba Allah itu, “Sekalipun TUHAN membuat tingkap-tingkap di langit, dapatkah hal semacam itu terjadi?” Kata Elisa, “Sesungguhnya, engkau akan melihat hal itu dengan matamu sendiri, tetapi engkau tidak akan menikmatinya sedikit pun.” Demikianlah yang terjadi kepada dirinya. Orang ramai menginjak-injak dia di pintu gerbang sehingga dia mati.