2 RAJA-RAJA 6:18-23
2 RAJA-RAJA 6:18-23 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila tentera Siria menyerang mereka, Elisa berdoa, “Ya TUHAN, butakanlah mata semua orang ini!” TUHAN mengabulkan doanya dan membutakan mata mereka. Elisa datang kepada mereka dan berkata, “Kamu sesat jalan! Ini bukan kota yang kamu cari. Ikutlah saya. Saya akan membawa kamu kepada orang yang kamu cari itu.” Lalu dia memimpin mereka ke Samaria. Setelah mereka masuk ke kota itu, Elisa berdoa, “Celikkanlah mata mereka, ya TUHAN. Biarlah mereka melihat.” TUHAN mengabulkan doanya lalu mencelikkan mata semua orang itu. Mereka pun sedar bahawa mereka berada di kota Samaria. Apabila raja Israel nampak tentera Siria, baginda bertanya kepada Elisa, “Tuan, haruskah beta membunuh mereka?” “Tidak,” jawab Elisa. “Bahkan askar-askar yang telah tuanku tawan dalam pertempuran pun tidak tuanku bunuh. Berilah mereka makanan dan minuman, dan biarlah mereka pulang kepada raja mereka.” Oleh itu raja Israel menyediakan jamuan besar bagi mereka. Setelah mereka makan dan minum, raja menyuruh mereka pulang kepada raja Siria. Sejak itu orang Siria tidak lagi menyerang negeri Israel.
2 RAJA-RAJA 6:18-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika orang Aram itu turun ke arah Elisa, berdoalah Elisa kepada TUHAN, katanya, “Azablah kiranya bangsa itu dengan kebutaan.” Maka Allah mengazab mereka dengan kebutaan, selaras dengan permintaan Elisa. Sesudah itu Elisa berkata kepada mereka, “Bukan ini jalannya dan bukan ini kotanya. Ikuti aku, akan kuhantar kamu ke tempat orang yang kamu cari.” Lalu dia menghantar mereka ke Samaria. Sesampainya mereka di Samaria, berkatalah Elisa, “Ya TUHAN, bukalah mata orang ini supaya mereka dapat melihat.” Maka TUHAN membuka mata mereka sehingga mereka melihat. Ternyata mereka ada di tengah-tengah Samaria. Ketika raja Israel melihat mereka, berkatalah dia kepada Elisa, “Haruskah kubunuh mereka, Bapa? Haruskah kubunuh mereka?” Jawabnya, “Jangan bunuh mereka. Apakah orang yang sudah kautawan akan kaubunuh dengan pedang serta panahmu? Hidangkanlah makanan dan minuman di hadapan mereka. Biarkan mereka makan dan minum, lalu pulang kepada tuan mereka.” Maka raja menyediakan jamuan besar bagi mereka. Setelah mereka makan dan minum dilepaskannya mereka pergi, lalu mereka pun pulang kepada tuan mereka. Sejak itu gerombolan orang Aram tidak pernah datang lagi ke Tanah Israel.