2 RAJA-RAJA 6:15-19
2 RAJA-RAJA 6:15-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Esok paginya hamba Elisa bangun, lalu keluar dari rumah dan nampak tentera Siria dengan kuda dan kereta kuda mereka mengelilingi kota itu. Dia balik kepada Elisa dan berseru, “Malanglah kita, tuan! Apakah yang harus kita lakukan?” “Janganlah takut,” kata Elisa. “Yang di pihak kita lebih banyak daripada yang di pihak mereka.” Kemudian Elisa berdoa, “Ya TUHAN, celikkanlah mata hambaku ini supaya dia dapat melihat!” TUHAN mengabulkan doanya. Hamba Elisa menengadah dan nampak bukit itu penuh dengan kuda dan kereta kuda berapi di sekeliling Elisa. Apabila tentera Siria menyerang mereka, Elisa berdoa, “Ya TUHAN, butakanlah mata semua orang ini!” TUHAN mengabulkan doanya dan membutakan mata mereka. Elisa datang kepada mereka dan berkata, “Kamu sesat jalan! Ini bukan kota yang kamu cari. Ikutlah saya. Saya akan membawa kamu kepada orang yang kamu cari itu.” Lalu dia memimpin mereka ke Samaria.
2 RAJA-RAJA 6:15-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika pembantu hamba Allah bangun pagi-pagi dan pergi ke luar, dilihatnya suatu pasukan dengan kuda dan rata mengepung kota itu. Maka kata pembantu itu kepada tuannya, “Aduh, tuanku! Apakah yang harus kita lakukan?” Jawabnya, “Jangan takut, kerana yang menyertai kita lebih ramai daripada yang menyertai mereka.” Lalu Elisa berdoa, katanya, “Ya TUHAN, bukalah kiranya matanya supaya dia dapat melihat.” Maka TUHAN membuka mata pembantu itu sehingga dia dapat melihat bahawa sesungguhnya gunung itu penuh dengan kuda dan rata berapi mengelilingi Elisa. Ketika orang Aram itu turun ke arah Elisa, berdoalah Elisa kepada TUHAN, katanya, “Azablah kiranya bangsa itu dengan kebutaan.” Maka Allah mengazab mereka dengan kebutaan, selaras dengan permintaan Elisa. Sesudah itu Elisa berkata kepada mereka, “Bukan ini jalannya dan bukan ini kotanya. Ikuti aku, akan kuhantar kamu ke tempat orang yang kamu cari.” Lalu dia menghantar mereka ke Samaria.