2 RAJA-RAJA 5:9-19

2 RAJA-RAJA 5:9-19 Alkitab Berita Baik (BM)

Oleh itu Naaman berangkat dengan kereta kuda dan semua kudanya, lalu berhenti di pintu rumah Elisa. Elisa menyuruh seorang hamba keluar untuk memberitahu Naaman supaya mandi tujuh kali di Sungai Yordan, maka penyakitnya akan sembuh. Tetapi Naaman marah ketika mendengar kata-kata itu lalu meninggalkan tempat itu. Katanya, “Sangkaku sekurang-kurangnya dia akan keluar menemui aku, berdoa kepada TUHAN, Allahnya, lalu menggerak-gerakkan tangannya di atas bahagian tubuhku yang sakit, serta menyembuhkan aku. Selain itu, bukankah Sungai Abana dan Sungai Parpar di Damsyik lebih baik daripada sungai mana pun di Israel? Aku pun boleh mandi di sungai-sungai itu dan menjadi sembuh!” Tetapi hamba-hamba Naaman berkata kepadanya, “Tuan, jika nabi itu menyuruh tuan melakukan perkara yang susah, tentu tuan akan melakukannya. Sebaiknya tuan mandi seperti yang disuruhnya supaya sembuh.” Oleh itu Naaman turun ke Sungai Yordan dan membenamkan dirinya tujuh kali seperti yang disuruh oleh Nabi Elisa. Setelah itu penyakitnya sembuh sama sekali. Tubuhnya menjadi sihat semula seperti tubuh seorang kanak-kanak. Naaman bersama dengan semua pengiringnya kembali kepada Elisa. Naaman berkata, “Sekarang saya tahu bahawa hanya ada satu Allah di seluruh dunia, iaitu Allah Israel. Sudilah tuan menerima persembahan saya ini.” Tetapi Elisa berkata, “Demi TUHAN yang hidup yang saya abdikan diri, saya bersumpah bahawa saya tidak akan menerima hadiah apa-apa pun.” Naaman mendesak Elisa supaya menerimanya, tetapi Elisa tetap menolak. Oleh itu Naaman berkata, “Jika tuan enggan menerima persembahan saya, berikanlah saya tanah sebanyak yang dapat dibawa oleh sepasang baghal, supaya saya boleh membawa tanah itu pulang. Mulai sekarang saya tidak lagi akan mempersembahkan korban-korban atau korban yang dibakar kepada tuhan-tuhan lain, kecuali kepada TUHAN sahaja. Saya berharap agar TUHAN mengampuni saya manakala saya mengiringi raja pergi bersembahyang di kuil Rimon, dewa negeri Siria. Semoga TUHAN mengampuni saya!” Elisa berkata, “Pergilah dengan sejahtera.” Lalu Naaman meninggalkan tempat itu. Tidak lama selepas Naaman berangkat

2 RAJA-RAJA 5:9-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Maka datanglah Naaman dengan kudanya dan ratanya, lalu berhenti di depan pintu rumah Elisa. Elisa mengutus seorang pesuruh menemuinya dengan pesan, “Pergilah, mandilah di Sungai Yordan tujuh kali, maka tubuhmu akan pulih dan engkau akan menjadi suci.” Tetapi Naaman menjadi marah, lalu pergi sambil berkata, “Ah, sangkaku dia akan keluar menemui aku lalu berdiri menyeru nama TUHAN, Allahnya, kemudian menggerak-gerakkan tangannya di bahagian tubuhku yang sakit dan menyembuhkan penghidap kusta ini! Bukankah Abana dan Parpar, sungai-sungai di Damsyik, lebih baik daripada semua sungai Israel? Tidak bolehkah aku mandi di sana dan menjadi suci?” Maka berpalinglah dia lalu berjalan dengan gusarnya. Akan tetapi, para pegawainya mendekatinya serta berkata kepadanya, “Bapa, sekiranya nabi itu menyuruh Bapa melakukan hal yang sukar, bukankah Bapa akan melakukannya? Apa lagi sekarang, dia hanya berkata kepadamu, ‘Mandilah, dan engkau akan menjadi suci.’ ” Maka turunlah Naaman membenamkan diri tujuh kali di Sungai Yordan, menurut apa yang dikatakan oleh hamba Allah itu. Lalu pulihlah tubuhnya seperti tubuh anak kecil dan dia menjadi suci. Kemudian Naaman dan seluruh pasukannya kembali kepada hamba Allah itu. Setelah sampai, berdirilah dia di hadapan Elisa dan berkata, “Sesungguhnya, aku tahu sekarang bahawa tidak ada Allah di seluruh bumi ini kecuali di Israel. Maka hamba mohon, terimalah pemberian daripada hambamu ini.” Tetapi Elisa berkata, “Demi TUHAN yang hidup, yang kepada-Nya aku mengabdikan diri, sesungguhnya aku tidak mahu menerima apa-apa.” Meskipun Naaman mendesak Elisa untuk menerima pemberiannya, dia tetap menolak. Kemudian Naaman berkata, “Jika demikian, mohon berilah hambamu ini tanah sebanyak muatan dua ekor baghal, kerana hambamu ini tidak lagi akan mempersembahkan korban bakaran atau korban sembelihan kepada tuhan-tuhan lain kecuali kepada TUHAN. Hanya, TUHAN kiranya mengampuni hambamu ini dalam hal yang berikut: apabila tuanku masuk ke kuil Dewa Rimon untuk sujud menyembah di sana, dan hamba menjadi pengapitnya, maka hamba harus ikut menundukkan diri di kuil Dewa Rimon itu. Semoga TUHAN mengampuni hambamu ini dalam hal itu, iaitu ketika hamba tunduk di kuil Dewa Rimon itu.” Kata Elisa kepadanya, “Pergilah dengan selamat.” Setelah Naaman pergi tidak beberapa jauh daripada Elisa