2 RAJA-RAJA 5:1-19

2 RAJA-RAJA 5:1-19 Alkitab Berita Baik (BM)

Naaman ialah panglima tentera negeri Siria. Dia sangat dihormati dan dihargai oleh raja Siria, kerana melalui Naaman, TUHAN telah memberikan kemenangan kepada angkatan perang Siria. Naaman seorang panglima yang perkasa, tetapi dia menghidap penyakit kulit yang sangat mengerikan. Pada suatu masa, orang Siria menyerang negeri Israel. Dalam serangan itu seorang budak perempuan Israel ditangkap, lalu dibawa pergi sebagai orang tawanan. Kemudian budak perempuan itu menjadi hamba kepada isteri Naaman. Pada suatu hari budak itu berkata kepada isteri Naaman, “Alangkah baiknya jika tuan saya dapat pergi kepada nabi yang tinggal di Samaria! Dia dapat menyembuhkan penyakit tuan saya.” Apabila Naaman mendengar hal itu, dia menghadap raja dan memberitahukan apa yang dikatakan budak perempuan itu. Raja Siria bertitah, “Pergilah kepada raja Israel, dan bawalah surat ini kepadanya.” Kemudian Naaman berangkat sambil membawa 30,000 keping perak, 6,000 keping emas dan sepuluh pasang pakaian yang baik. Surat yang dibawanya itu berbunyi demikian, “Pembawa surat ini ialah Naaman, panglima beta. Tolong sembuhkan penyakitnya.” Apabila raja Israel membaca surat itu, baginda mengoyakkan pakaiannya kerana dukacita. Titahnya, “Mana boleh raja Siria meminta beta menyembuhkan orang ini? Adakah baginda berpendapat bahawa beta ini Allah yang mempunyai kuasa untuk menghidupkan dan mematikan orang? Tentu baginda mencari-cari sebab untuk bertengkar dengan beta!” Apabila Nabi Elisa mendengar apa yang telah berlaku, dia mengirim berita kepada raja. Katanya, “Mengapakah tuanku risau? Suruhlah orang itu datang kepada hamba. Hamba akan menunjukkan kepadanya bahawa ada seorang nabi di Israel!” Oleh itu Naaman berangkat dengan kereta kuda dan semua kudanya, lalu berhenti di pintu rumah Elisa. Elisa menyuruh seorang hamba keluar untuk memberitahu Naaman supaya mandi tujuh kali di Sungai Yordan, maka penyakitnya akan sembuh. Tetapi Naaman marah ketika mendengar kata-kata itu lalu meninggalkan tempat itu. Katanya, “Sangkaku sekurang-kurangnya dia akan keluar menemui aku, berdoa kepada TUHAN, Allahnya, lalu menggerak-gerakkan tangannya di atas bahagian tubuhku yang sakit, serta menyembuhkan aku. Selain itu, bukankah Sungai Abana dan Sungai Parpar di Damsyik lebih baik daripada sungai mana pun di Israel? Aku pun boleh mandi di sungai-sungai itu dan menjadi sembuh!” Tetapi hamba-hamba Naaman berkata kepadanya, “Tuan, jika nabi itu menyuruh tuan melakukan perkara yang susah, tentu tuan akan melakukannya. Sebaiknya tuan mandi seperti yang disuruhnya supaya sembuh.” Oleh itu Naaman turun ke Sungai Yordan dan membenamkan dirinya tujuh kali seperti yang disuruh oleh Nabi Elisa. Setelah itu penyakitnya sembuh sama sekali. Tubuhnya menjadi sihat semula seperti tubuh seorang kanak-kanak. Naaman bersama dengan semua pengiringnya kembali kepada Elisa. Naaman berkata, “Sekarang saya tahu bahawa hanya ada satu Allah di seluruh dunia, iaitu Allah Israel. Sudilah tuan menerima persembahan saya ini.” Tetapi Elisa berkata, “Demi TUHAN yang hidup yang saya abdikan diri, saya bersumpah bahawa saya tidak akan menerima hadiah apa-apa pun.” Naaman mendesak Elisa supaya menerimanya, tetapi Elisa tetap menolak. Oleh itu Naaman berkata, “Jika tuan enggan menerima persembahan saya, berikanlah saya tanah sebanyak yang dapat dibawa oleh sepasang baghal, supaya saya boleh membawa tanah itu pulang. Mulai sekarang saya tidak lagi akan mempersembahkan korban-korban atau korban yang dibakar kepada tuhan-tuhan lain, kecuali kepada TUHAN sahaja. Saya berharap agar TUHAN mengampuni saya manakala saya mengiringi raja pergi bersembahyang di kuil Rimon, dewa negeri Siria. Semoga TUHAN mengampuni saya!” Elisa berkata, “Pergilah dengan sejahtera.” Lalu Naaman meninggalkan tempat itu. Tidak lama selepas Naaman berangkat

2 RAJA-RAJA 5:1-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Naaman, panglima tentera raja Aram, seorang yang terhormat dan dipandang tinggi oleh tuannya kerana melalui dia TUHAN telah mengurniakan kemenangan kepada orang Aram. Dia seorang kesateria yang gagah perkasa. Akan tetapi, dia menghidap penyakit kusta. Suatu waktu, orang Aram keluar dalam serangan mereka dan menawan seorang gadis kecil dari negeri Israel. Gadis itu kemudian berkhidmat bagi isteri Naaman. Kata gadis itu kepada cik puannya, “Sekiranya tuanku menghadap nabi yang di Samaria itu, maka pasti nabi itu menyembuhkan dia daripada penyakit kustanya.” Maka pergilah Naaman memberitahu tuannya demikian, “Begini-beginilah dikatakan gadis dari negeri Israel itu.” Kata raja Aram, “Baik, pergilah. Aku akan mengirim sepucuk surat kepada raja Israel.” Kemudian pergilah Naaman dengan membawa sepuluh talenta perak, enam ribu syikal emas, dan sepuluh helai persalinan. Dia pun menyampaikan surat itu kepada raja Israel, yang bunyinya, “Sesampainya surat ini dalam tangan tuan, harap maklum bahawa aku telah menyuruh Naaman, pegawaiku, menemui tuan, supaya tuan menyembuhkan dia daripada penyakit kustanya.” Setelah raja Israel membaca surat itu, dikoyakkannya pakaiannya dan berkata, “Apakah aku ini Allah, yang dapat mematikan atau menghidupkan orang, sehingga orang ini menyuruh pegawainya menemui aku supaya aku menyembuhkannya daripada penyakit kustanya? Lihatlah dan perhatikanlah, bagaimana dia mencari fasal dengan aku.” Elisa, hamba Allah itu, mendengar bahawa raja Israel mengoyakkan pakaiannya. Lalu disuruhnya orang menemui raja dengan pesan, “Mengapakah engkau mengoyakkan pakaianmu? Suruhlah orang itu datang kepadaku, supaya dia tahu bahawa ada seorang nabi di Israel.” Maka datanglah Naaman dengan kudanya dan ratanya, lalu berhenti di depan pintu rumah Elisa. Elisa mengutus seorang pesuruh menemuinya dengan pesan, “Pergilah, mandilah di Sungai Yordan tujuh kali, maka tubuhmu akan pulih dan engkau akan menjadi suci.” Tetapi Naaman menjadi marah, lalu pergi sambil berkata, “Ah, sangkaku dia akan keluar menemui aku lalu berdiri menyeru nama TUHAN, Allahnya, kemudian menggerak-gerakkan tangannya di bahagian tubuhku yang sakit dan menyembuhkan penghidap kusta ini! Bukankah Abana dan Parpar, sungai-sungai di Damsyik, lebih baik daripada semua sungai Israel? Tidak bolehkah aku mandi di sana dan menjadi suci?” Maka berpalinglah dia lalu berjalan dengan gusarnya. Akan tetapi, para pegawainya mendekatinya serta berkata kepadanya, “Bapa, sekiranya nabi itu menyuruh Bapa melakukan hal yang sukar, bukankah Bapa akan melakukannya? Apa lagi sekarang, dia hanya berkata kepadamu, ‘Mandilah, dan engkau akan menjadi suci.’ ” Maka turunlah Naaman membenamkan diri tujuh kali di Sungai Yordan, menurut apa yang dikatakan oleh hamba Allah itu. Lalu pulihlah tubuhnya seperti tubuh anak kecil dan dia menjadi suci. Kemudian Naaman dan seluruh pasukannya kembali kepada hamba Allah itu. Setelah sampai, berdirilah dia di hadapan Elisa dan berkata, “Sesungguhnya, aku tahu sekarang bahawa tidak ada Allah di seluruh bumi ini kecuali di Israel. Maka hamba mohon, terimalah pemberian daripada hambamu ini.” Tetapi Elisa berkata, “Demi TUHAN yang hidup, yang kepada-Nya aku mengabdikan diri, sesungguhnya aku tidak mahu menerima apa-apa.” Meskipun Naaman mendesak Elisa untuk menerima pemberiannya, dia tetap menolak. Kemudian Naaman berkata, “Jika demikian, mohon berilah hambamu ini tanah sebanyak muatan dua ekor baghal, kerana hambamu ini tidak lagi akan mempersembahkan korban bakaran atau korban sembelihan kepada tuhan-tuhan lain kecuali kepada TUHAN. Hanya, TUHAN kiranya mengampuni hambamu ini dalam hal yang berikut: apabila tuanku masuk ke kuil Dewa Rimon untuk sujud menyembah di sana, dan hamba menjadi pengapitnya, maka hamba harus ikut menundukkan diri di kuil Dewa Rimon itu. Semoga TUHAN mengampuni hambamu ini dalam hal itu, iaitu ketika hamba tunduk di kuil Dewa Rimon itu.” Kata Elisa kepadanya, “Pergilah dengan selamat.” Setelah Naaman pergi tidak beberapa jauh daripada Elisa