2 RAJA-RAJA 5:1-10

2 RAJA-RAJA 5:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)

Naaman ialah panglima tentera negeri Siria. Dia sangat dihormati dan dihargai oleh raja Siria, kerana melalui Naaman, TUHAN telah memberikan kemenangan kepada angkatan perang Siria. Naaman seorang panglima yang perkasa, tetapi dia menghidap penyakit kulit yang sangat mengerikan. Pada suatu masa, orang Siria menyerang negeri Israel. Dalam serangan itu seorang budak perempuan Israel ditangkap, lalu dibawa pergi sebagai orang tawanan. Kemudian budak perempuan itu menjadi hamba kepada isteri Naaman. Pada suatu hari budak itu berkata kepada isteri Naaman, “Alangkah baiknya jika tuan saya dapat pergi kepada nabi yang tinggal di Samaria! Dia dapat menyembuhkan penyakit tuan saya.” Apabila Naaman mendengar hal itu, dia menghadap raja dan memberitahukan apa yang dikatakan budak perempuan itu. Raja Siria bertitah, “Pergilah kepada raja Israel, dan bawalah surat ini kepadanya.” Kemudian Naaman berangkat sambil membawa 30,000 keping perak, 6,000 keping emas dan sepuluh pasang pakaian yang baik. Surat yang dibawanya itu berbunyi demikian, “Pembawa surat ini ialah Naaman, panglima beta. Tolong sembuhkan penyakitnya.” Apabila raja Israel membaca surat itu, baginda mengoyakkan pakaiannya kerana dukacita. Titahnya, “Mana boleh raja Siria meminta beta menyembuhkan orang ini? Adakah baginda berpendapat bahawa beta ini Allah yang mempunyai kuasa untuk menghidupkan dan mematikan orang? Tentu baginda mencari-cari sebab untuk bertengkar dengan beta!” Apabila Nabi Elisa mendengar apa yang telah berlaku, dia mengirim berita kepada raja. Katanya, “Mengapakah tuanku risau? Suruhlah orang itu datang kepada hamba. Hamba akan menunjukkan kepadanya bahawa ada seorang nabi di Israel!” Oleh itu Naaman berangkat dengan kereta kuda dan semua kudanya, lalu berhenti di pintu rumah Elisa. Elisa menyuruh seorang hamba keluar untuk memberitahu Naaman supaya mandi tujuh kali di Sungai Yordan, maka penyakitnya akan sembuh.

2 RAJA-RAJA 5:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Naaman, panglima tentera raja Aram, seorang yang terhormat dan dipandang tinggi oleh tuannya kerana melalui dia TUHAN telah mengurniakan kemenangan kepada orang Aram. Dia seorang kesateria yang gagah perkasa. Akan tetapi, dia menghidap penyakit kusta. Suatu waktu, orang Aram keluar dalam serangan mereka dan menawan seorang gadis kecil dari negeri Israel. Gadis itu kemudian berkhidmat bagi isteri Naaman. Kata gadis itu kepada cik puannya, “Sekiranya tuanku menghadap nabi yang di Samaria itu, maka pasti nabi itu menyembuhkan dia daripada penyakit kustanya.” Maka pergilah Naaman memberitahu tuannya demikian, “Begini-beginilah dikatakan gadis dari negeri Israel itu.” Kata raja Aram, “Baik, pergilah. Aku akan mengirim sepucuk surat kepada raja Israel.” Kemudian pergilah Naaman dengan membawa sepuluh talenta perak, enam ribu syikal emas, dan sepuluh helai persalinan. Dia pun menyampaikan surat itu kepada raja Israel, yang bunyinya, “Sesampainya surat ini dalam tangan tuan, harap maklum bahawa aku telah menyuruh Naaman, pegawaiku, menemui tuan, supaya tuan menyembuhkan dia daripada penyakit kustanya.” Setelah raja Israel membaca surat itu, dikoyakkannya pakaiannya dan berkata, “Apakah aku ini Allah, yang dapat mematikan atau menghidupkan orang, sehingga orang ini menyuruh pegawainya menemui aku supaya aku menyembuhkannya daripada penyakit kustanya? Lihatlah dan perhatikanlah, bagaimana dia mencari fasal dengan aku.” Elisa, hamba Allah itu, mendengar bahawa raja Israel mengoyakkan pakaiannya. Lalu disuruhnya orang menemui raja dengan pesan, “Mengapakah engkau mengoyakkan pakaianmu? Suruhlah orang itu datang kepadaku, supaya dia tahu bahawa ada seorang nabi di Israel.” Maka datanglah Naaman dengan kudanya dan ratanya, lalu berhenti di depan pintu rumah Elisa. Elisa mengutus seorang pesuruh menemuinya dengan pesan, “Pergilah, mandilah di Sungai Yordan tujuh kali, maka tubuhmu akan pulih dan engkau akan menjadi suci.”