2 RAJA-RAJA 4:32-37
2 RAJA-RAJA 4:32-37 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila Elisa tiba, dia masuk seorang diri ke dalam bilik itu. Dia nampak jenazah budak itu terbaring di atas tempat tidur. Elisa menutup pintu lalu berdoa kepada TUHAN. Dia meniarap pada tubuh budak itu dan merapatkan mulutnya, matanya, dan tangannya pada mulut, mata, dan tangan budak itu. Sementara Elisa berbuat demikian, badan budak itu mulai hangat. Elisa bangun, dan berjalan mundar-mandir di dalam bilik itu, lalu meniarap sekali lagi pada tubuh budak itu. Budak itu bersin tujuh kali lalu membuka matanya. Elisa menyuruh Gehazi memanggil ibu budak itu. Apabila dia masuk, Elisa berkata kepadanya, “Ini anak puan.” Perempuan itu bersujud di hadapan Elisa lalu membawa anaknya keluar.
2 RAJA-RAJA 4:32-37 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sesampainya Elisa di rumah itu, tampak anak itu terbaring mati di tempat tidurnya. Lalu dia memasuki bilik itu dan menutup pintunya sehingga mereka hanya berdua sahaja, lalu berdoalah dia kepada TUHAN. Setelah itu, dia naik dan membaringkan diri di atas anak itu. Dirapatkannya mulutnya di atas mulut anak itu, matanya di atas mata anak itu, dan telapak tangannya di atas telapak tangan anak itu. Dia meniarap di atas anak itu, sehingga tubuh anak itu menghangat. Setelah itu, Elisa berdiri lagi lalu berjalan mundar-mandir di dalam rumah itu. Kemudian dia naik lagi dan meniarap di atas anak itu. Tiba-tiba anak itu bersin tujuh kali, lalu membuka matanya. Elisa memanggil Gehazi dan berkata, “Panggillah perempuan Sunem itu.” Gehazi memanggilnya, dan setelah perempuan itu datang, berkatalah Elisa, “Angkatlah anakmu.” Perempuan itu pun masuk. Maka tersungkurlah dia di kaki Elisa dan sujud memberi hormat. Kemudian diangkatnyalah anaknya, lalu keluar.