2 RAJA-RAJA 3:1-27

2 RAJA-RAJA 3:1-27 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yosafat di Yehuda, Raja Yoram putera Raja Ahab menjadi raja Israel. Raja Yoram memerintah di Samaria selama dua belas tahun. Raja Yoram berdosa terhadap TUHAN, tetapi baginda tidak sejahat Raja Ahab, ayahandanya atau Izebel, bondanya. Raja Yoram merobohkan patung berhala yang dibina oleh ayahandanya untuk menyembah Baal. Namun, seperti Raja Yerobeam anak Nebat dahulu, Raja Yoram juga menyebabkan Israel berdosa dan baginda tidak mahu bertaubat. Raja Mesa dari Moab, mempunyai penternakan domba. Tiap-tiap tahun baginda memberi raja Israel ufti sebanyak 100,000 ekor anak domba, dan bulu domba daripada 100,000 ekor domba. Tetapi apabila Raja Ahab dari Israel mangkat, Raja Mesa memberontak terhadap Israel. Oleh itu Raja Yoram segera meninggalkan Samaria lalu mengumpulkan segenap tenteranya. Baginda mengirim berita berikut kepada Raja Yosafat di Yehuda, “Raja Moab telah memberontak terhadap beta. Mahukah tuanku berperang bersama dengan beta untuk melawan raja Moab?” “Baiklah,” jawab Raja Yosafat. “Beta bersedia menolong tuanku. Demikian juga anak buah dan pasukan berkuda beta. Jalan manakah harus kita ikut untuk menyerang mereka?” Raja Yoram bertitah, “Baiklah kita mengambil jalan jauh, yang melalui padang gurun Edom.” Demikianlah Raja Yoram bersama-sama raja Yehuda dan raja Edom keluar berperang. Setelah tujuh hari perjalanan, mereka kehabisan air minum, sehingga tentera mereka dan binatang pengangkut barang-barang mereka kehausan. “Malanglah kita,” seru Raja Yoram, “kerana TUHAN telah merancang untuk menyerahkan kita bertiga kepada raja Moab!” Raja Yosafat bertanya, “Adakah seorang nabi di sini, supaya kita dapat minta petunjuk daripada TUHAN?” Seorang pegawai tentera Raja Yoram menjawab, “Elisa anak Safat berada di sini. Dia bekas pembantu Elia.” Raja Yosafat berkata, “Betul! TUHAN memang berfirman melalui dia.” Lalu tiga orang raja itu pergi kepada Elisa. Elisa berkata kepada raja Israel, “Mengapa hamba harus menolong tuanku? Pergilah bertanya kepada nabi-nabi ayahanda dan bonda tuanku dahulu!” “Tidak,” jawab Raja Yoram. “Kerana TUHAN telah merancang untuk menyerahkan kami bertiga kepada raja Moab.” Elisa berkata, “Hamba bersumpah demi TUHAN yang hidup, bahawa jika bukan kerana hamba menghormati Raja Yosafat dari Yehuda, hamba tidak akan menolong tuanku. Sekarang panggillah seorang pemain kecapi.” Sementara pemain kecapi itu memainkan kecapinya, kuasa TUHAN meliputi Elisa, lalu dia berkata, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Galilah beberapa parit di dasar anak sungai yang kering ini. Walaupun tidak ada hujan atau angin, dasar sungai kecil ini akan penuh dengan air. Lalu engkau serta ternakan dan binatang pengangkut barang-barangmu akan mendapat cukup air minum.’ ” Elisa meneruskan lagi, “Perkara ini mudah bagi TUHAN. Dia juga akan memberi tuanku kemenangan terhadap orang Moab. Tuanku akan mengalahkan semua kota mereka yang berkubu dan yang indah. Tuanku akan menebang semua pokok buah-buahan mereka, menutup semua mata air dan semua ladang mereka yang subur akan dilempari batu sampai rosak sama sekali.” Esok paginya, pada masa korban pagi biasa dipersembahkan, air mengalir dari arah Edom lalu memenuhi dasar sungai yang kering itu. Apabila orang Moab mendengar bahawa tiga orang raja itu telah tiba untuk menyerang mereka, semua kaum lelaki yang sanggup berperang, daripada yang paling tua sampai kepada yang paling muda, dipanggil dan ditempatkan di sempadan negeri. Apabila mereka bangun esok paginya, matahari menyinari permukaan air sehingga kelihatan merah seperti darah. “Lihatlah, darah!” seru mereka. “Ketiga-tiga pasukan tentera musuh kita tentu telah berlawan dan membunuh satu sama lain! Marilah kita pergi menjarah perkhemahan mereka!” Tetapi apabila orang Moab sampai di tempat perkhemahan, tentera Israel menyerang dan mengalahkan mereka. Orang Israel terus mengejar sambil membunuh orang Moab serta memusnahkan kota-kota mereka. Apabila mereka melalui ladang yang subur, tiap-tiap orang Israel melontarkan batu ke situ, sehingga semua ladang itu diliputi batu. Mereka juga menutup semua mata air di situ dan menebang semua pokok buah-buahan. Akhirnya hanya ibu kota Kir-Hareset yang tertinggal. Kota itu juga dikepung dan dilontari batu dengan humban. Apabila raja Moab sedar bahawa baginda telah kalah, baginda membawa 700 orang askar yang berpedang bersama dengan baginda, lalu cuba menembusi pertahanan raja Edom, tetapi gagal. Oleh itu raja Moab membawa putera mahkota ke atas tembok kota lalu mempersembahkannya sebagai korban kepada dewa negeri Moab. Orang Israel ketakutan sehingga mereka undur dari kota itu, lalu pulang ke negeri mereka sendiri.

2 RAJA-RAJA 3:1-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yoram anak Ahab menaiki takhta atas Israel di Samaria pada tahun kelapan belas zaman pemerintahan Yosafat, raja Yehuda. Dia bertakhta selama dua belas tahun. Dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, tetapi tidak seperti ayah dan ibunya. Dia menyingkirkan tiang berhala Baal yang dibuat oleh ayahnya. Namun begitu, dia berpaut pada dosa-dosa Yerobeam anak Nebat yang menyebabkan orang Israel turut berdosa; dia tidak menjauhkan diri daripada dosa-dosa itu. Mesa, raja Moab, seorang penternak domba. Dia biasa membayar ufti berupa seratus ribu ekor anak domba dan bulu daripada seratus ribu ekor domba jantan kepada raja Israel. Tetapi sesudah Ahab mati, raja Moab memberontak menentang raja Israel. Maka pada waktu itu Raja Yoram keluar dari Samaria dan mengerahkan semua orang Israel. Dikirimnya pula utusan menemui Yosafat, raja Yehuda, dengan pesan, “Raja Moab memberontak menentang aku. Mahukah tuan pergi menyertai aku untuk berperang melawan Moab?” Jawabnya, “Aku akan pergi. Aku ini sehati denganmu, rakyatku dengan rakyatmu, dan kuda-kudaku dengan kuda-kudamu.” Lalu dia bertanya, “Kita akan pergi melalui jalan mana?” Jawabnya, “Melalui Gurun Edom.” Maka pergilah raja Israel bersama dengan raja Yehuda dan raja Edom. Akan tetapi, setelah berkeliling selama tujuh hari perjalanan, tidak ada lagi air untuk pasukan serta binatang-binatang yang mengikuti mereka. Kata raja Israel, “Aduh! TUHAN telah mengumpulkan kita, tiga orang raja, untuk diserahkan ke dalam tangan orang Moab!” Tetapi Yosafat bertanya, “Tidak adakah di sini seorang nabi TUHAN, supaya kita dapat mencari petunjuk daripada TUHAN dengan perantaraannya?” Seorang pegawai raja Israel menjawab, “Di sini ada Elisa anak Safat, yang dahulu berkhidmat kepada Elia.” Kata Yosafat, “Firman TUHAN ada padanya.” Kemudian pergilah raja Israel bersama Yosafat dan raja Edom mendapatkan Elisa. Kata Elisa kepada raja Israel, “Apakah urusanku denganmu? Pergilah kepada para nabi ayahmu dan ibumu.” Tetapi kata raja Israel kepadanya, “Jangan begitu. TUHAN telah mengumpulkan kami, tiga orang raja ini, untuk diserahkan ke dalam tangan orang Moab.” Kata Elisa, “Demi TUHAN alam semesta, yang hidup dan yang kepada-Nya aku mengabdikan diri, jika aku tidak menghormati Yosafat, raja Yehuda, maka aku tidak sudi memandang atau melihat engkau. Sekarang, jemputlah seorang pendendang bagiku.” Pada waktu pendendang itu bermain kecapi, turunlah kuasa TUHAN ke atas Elisa, lalu berkatalah dia, “Beginilah firman TUHAN, ‘Penuhkanlah lembah ini dengan parit,’ kerana beginilah firman TUHAN, ‘Kamu tidak akan melihat angin ataupun hujan, tetapi lembah ini akan dipenuhi air sehingga kamu, ternakanmu, dan binatangmu dapat minum.’ Itu hanyalah perkara ringan di mata TUHAN. Dia juga akan menyerahkan orang Moab ke dalam tanganmu. Kamu akan mengalahkan semua kota berkubu, juga semua kota pilihan. Kamu akan menumbangkan semua pokok yang baik, menutup semua mata air, dan merosakkan semua ladang yang baik dengan batu.” Pada pagi esok, kira-kira pada waktu orang mempersembahkan persembahan bahan makanan, tiba-tiba datanglah air dari arah Edom sehingga negeri itu dipenuhi air. Semua orang Moab sudah mendengar bahawa ketiga-tiga raja itu datang untuk memerangi mereka. Maka dikerahkanlah semua orang yang dapat menggunakan senjata, baik tua ataupun muda, lalu ditempatkanlah mereka di perbatasan. Ketika orang Moab itu bangun pagi-pagi lagi, permukaan air di hadapan mereka yang terkena sinar matahari kelihatan seolah-olah merah seperti darah. Lalu kata mereka, “Itu darah! Pasti raja-raja itu saling membunuh, yang satu menghentam yang lain. Sekarang, ayuh kita menjarah, wahai orang Moab!” Akan tetapi, ketika mereka sampai di perkhemahan orang Israel, mereka langsung diserang oleh orang Israel sehingga mereka lari dari hadapan orang Israel itu. Kemudian orang Israel menerobos masuk ke negeri Moab serta membantai orang Moab. Mereka meruntuhkan kota-kota yang ada, dan setiap orang melempar batu atas kesemua ladang yang baik sehingga ladang-ladang itu tertutup. Mereka menutup semua mata air dan menumbangkan semua pokok yang baik, sampai hanya Kir-Hareset sahaja yang tertinggal dengan tembok batunya. Namun demikian, akhirnya kota ini pun dikepung dan diserang oleh para pengendali alat tarbil. Ketika raja Moab melihat bahawa peperangan itu terlalu berat baginya, dia mengambil tujuh ratus orang penyandang pedang untuk menerobos ke arah raja Edom, tetapi tidak berhasil. Lalu raja Moab mengambil anak sulungnya, yang akan menaiki takhta menggantikannya, dan mempersembahkannya di atas pagar tembok sebagai korban bakaran. Maka kemarahan yang sebegitu besar melanda orang Israel, sehingga mereka mundur meninggalkan dia dan pulang ke negeri mereka.