2 RAJA-RAJA 22:1-2,8-13
2 RAJA-RAJA 22:1-2 Alkitab Berita Baik (BM)
Raja Yosia berusia lapan tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda. Baginda memerintah di Yerusalem selama tiga puluh satu tahun. Bonda baginda bernama Yedida anak Adaya dari kota Bozkat. Raja Yosia melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN. Baginda mengikut teladan nenek moyang baginda, Raja Daud, yang taat setia kepada semua hukum Allah.
2 RAJA-RAJA 22:8-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Safan menyampaikan titah raja kepada Hilkia, dan Hilkia memberitahu Safan bahawa dia telah menemukan kitab Taurat di dalam Rumah TUHAN. Hilkia memberikan kitab itu kepada Safan, lalu Safan membacanya. Kemudian Safan kembali dan memberikan laporan kepada raja, katanya, “Hamba-hamba tuanku telah mengambil wang yang ada di dalam Rumah TUHAN dan memberikannya kepada orang yang mengawasi pekerjaan perbaikan di situ.” Katanya lagi, “Lihatlah kitab ini yang diberikan oleh Hilkia kepada hamba.” Lalu Safan membaca kitab itu di hadapan raja. Apabila raja mendengar kandungan kitab itu, baginda mengoyakkan pakaian baginda kerana dukacita. Baginda bertitah kepada Imam Hilkia, kepada Ahikam anak Safan, Akhbor anak Mikha, Safan, iaitu setiausaha istana, dan kepada Asaya, iaitu ajutan raja, “Pergilah meminta petunjuk daripada TUHAN bagi beta dan bagi segenap penduduk Yehuda tentang ajaran kitab ini. TUHAN murka kepada kita kerana nenek moyang kita tidak melakukan apa yang tercatat di dalam kitab ini.”
2 RAJA-RAJA 22:1-2 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yosia berumur lapan tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama tiga puluh satu tahun di Yerusalem. Nama ibunya ialah Yedida anak Adaya, dari Bozkat. Dia melakukan apa yang benar di mata TUHAN dan hidup mengikuti segala jejak Daud, leluhurnya, tanpa menyimpang ke kanan ataupun ke kiri.
2 Raja-Raja 22:8-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Imam Besar Hilkia berkata kepada jurutulis Safan, “Aku menemui semula Kitab Suci Taurat di dalam Bait TUHAN.” Hilkia menyerahkan kitab itu kepada Safan lalu Safan membacanya. Setelah itu, jurutulis Safan pergi menghadap raja dan menyampaikan khabar itu kepada raja, katanya, “Hamba-hambamu ini telah mengosongkan wang yang ada di Bait dan menyerahkannya kepada para pekerja yang diangkat untuk mengawasi Bait TUHAN.” Seterusnya jurutulis Safan memberitahu raja, “Imam Hilkia telah menyerahkan sebuah kitab kepada hamba.” Lalu Safan membacakannya di hadapan raja. Apabila raja mendengar perkataan Kitab Suci Taurat itu, dia pun mengoyakkan pakaiannya. Lalu raja memberikan perintah kepada Imam Hilkia, Ahikam anak Safan, Akhbor anak Mikha, jurutulis Safan, dan Asaya, pegawai raja, demikian, “Pergilah, carilah petunjuk TUHAN bagiku, bagi rakyat, dan bagi semua orang Yehuda tentang perkataan kitab yang ditemukan ini. Besarlah murka TUHAN yang menyala-nyala terhadap kita, kerana para bapa kita tidak mendengar perkataan kitab ini dan tidak berbuat selaras dengan semua yang tertulis di dalamnya mengenai kita.”