2 RAJA-RAJA 20:1-19
2 RAJA-RAJA 20:1-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Kira-kira pada masa itu Raja Hizkia gering dan hampir mangkat. Nabi Yesaya anak Amos menemui raja lalu berkata kepada baginda, “Menurut firman TUHAN, hendaklah tuanku selesaikan segala urusan tuanku, kerana tuanku tidak akan sembuh. Tuanku akan mangkat.” Raja Hizkia memalingkan mukanya ke tembok lalu berdoa, “Ingatlah, ya TUHAN, bahawa aku telah mengabdi kepada-Mu dengan taat dan setia, dan bahawa aku sentiasa berusaha untuk melakukan kehendak-Mu.” Lalu raja menangis dengan pilu. Yesaya meninggalkan raja, tetapi sebelum Yesaya keluar melalui halaman tengah istana itu, TUHAN menyuruh dia kembali kepada Raja Hizkia, raja umat TUHAN. Yesaya menyampaikan firman ini kepadanya, “Demikianlah firman TUHAN, Allah nenek moyang tuanku Daud, ‘Aku telah mendengarkan doamu. Aku nampak air matamu. Aku akan menyembuhkan engkau dan dalam tiga hari engkau akan pergi ke Rumah TUHAN. Aku akan menambah usiamu selama lima belas tahun. Aku akan menyelamatkan engkau dan kota Yerusalem ini daripada raja Asyur. Aku akan membela kota ini demi kehormatan-Ku sendiri dan juga kerana janji-Ku kepada hamba-Ku Daud.’ ” Selepas itu Yesaya menyuruh orang melumatkan buah ara dan mengoleskannya pada bisul raja supaya baginda sembuh. Raja Hizkia bertanya, “Apakah tandanya bahawa TUHAN akan menyembuhkan beta dan tiga hari kemudian beta dapat pergi ke Rumah TUHAN?” Yesaya menjawab, “TUHAN akan memberikan satu tanda kepada tuanku untuk membuktikan bahawa Dia akan menepati janji-Nya. Manakah yang tuanku lebih sukai: bayangan pada penunjuk jam matahari maju sepuluh garis atau undur sepuluh garis?” Raja Hizkia menjawab, “Lebih mudah untuk membuat bayangan maju sepuluh garis. Buatlah supaya bayangan undur sepuluh garis!” Yesaya berdoa kepada TUHAN, lalu TUHAN membuat bayangan itu undur sepuluh garis pada penunjuk jam matahari yang dibina oleh Raja Ahas. Kira-kira pada masa itu, Raja Merodakh-Baladan anak Baladan, raja Babilonia, mendengar bahawa Raja Hizkia gering. Oleh itu raja Babilonia mengirim sepucuk surat dan sebuah hadiah kepada Raja Hizkia. Raja Hizkia menyambut kedatangan para utusan itu dan menunjukkan segala kekayaannya kepada mereka - perak dan emasnya, rempah-rempah dan minyak wangi, serta segala perlengkapan tenteranya. Tiada satu pun di gudang atau di seluruh kerajaan baginda yang tidak ditunjukkan kepada mereka. Kemudian Nabi Yesaya menghadap Raja Hizkia dan bertanya, “Dari manakah semua orang ini, dan apa kata mereka?” Raja Hizkia menjawab, “Mereka datang dari Babilonia, negeri yang sangat jauh.” “Apakah yang dilihat mereka di istana?” “Mereka melihat segala-galanya. Tiada satu pun di gudang yang tidak beta tunjukkan kepada mereka,” jawab Raja Hizkia. Lalu Yesaya berkata kepada raja, “Menurut firman TUHAN, masanya akan tiba apabila segala sesuatu yang ada di istana tuanku, segala yang telah dikumpulkan nenek moyang tuanku hingga hari ini, akan dibawa ke Babilonia. Tiada satu pun yang tinggal. Beberapa orang daripada keturunan tuanku sendiri akan dibawa dan dijadikan sida-sida untuk bertugas di istana raja Babilonia.” Raja Hizkia berfikir bahawa selama hidup baginda, kerajaan baginda akan aman dan damai. Oleh itu Raja Hizkia menjawab, “Firman TUHAN yang kamu sampaikan itu baik.”
2 RAJA-RAJA 20:1-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada waktu itu Hizkia jatuh sakit dan hampir mati. Datanglah Nabi Yesaya anak Amos menemuinya dan berkata kepadanya, “Beginilah firman TUHAN, ‘Uruskanlah rumah tanggamu, kerana engkau akan mati dan tidak akan sembuh lagi.’ ” Kemudian Hizkia memalingkan mukanya ke dinding dan berdoa kepada TUHAN, katanya, “Ya TUHAN, semoga Engkau ingat betapa aku telah hidup di hadapan-Mu dengan setia dan tulus hati, serta melakukan apa yang baik di mata-Mu.” Lalu Hizkia menangis tersedu-sedu. Yesaya belum keluar dari pelataran tengah ketika firman TUHAN datang kepadanya demikian, “Kembalilah dan katakanlah kepada Hizkia, pemimpin umat-Ku, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah Daud, leluhurmu, “Telah Kudengar doamu dan telah Kulihat air matamu. Sesungguhnya, Aku akan menyembuhkan engkau. Pada hari ketiga engkau akan pergi ke Bait TUHAN. Aku akan menambah umurmu lima belas tahun lagi. Aku pun akan melepaskan engkau dan kota ini daripada tangan raja Asyur. Aku akan melindungi kota ini demi diri-Ku sendiri dan demi Daud, hamba-Ku.” ’ ” Lalu berkatalah Yesaya, “Ambillah ramasan buah ara.” Kemudian orang mengambilnya dan menaruhnya pada bisul Hizkia itu, maka dia pun sembuh. Sebelumnya Hizkia bertanya kepada Yesaya, “Apakah tandanya bahawa TUHAN akan menyembuhkan aku dan bahawa aku akan pergi ke Bait TUHAN pada hari ketiga?” Jawab Yesaya, “Inilah tanda bagimu daripada TUHAN, bahawa TUHAN akan melaksanakan firman yang telah disampaikan-Nya itu. Yang mana kaukehendaki: Bayang-bayang itu maju sepuluh tapak atau mundur sepuluh tapak?” Jawab Hizkia, “Tentunya mudah bagi bayang-bayang itu memanjang sepuluh tapak. Kalau begitu, biarlah bayang-bayang itu mundur ke belakang sepuluh tapak.” Maka Nabi Yesaya pun berseru kepada TUHAN, dan Dia memundurkan bayang-bayang penanda yang jatuh pada penunjuk matahari buatan Ahas, sepuluh tapak ke belakang. Pada waktu itu, Merodakh-Baladan anak Baladan, raja Babel, mengirim surat serta pemberian kepada Hizkia, kerana dia mendengar bahawa Hizkia sakit. Hizkia bergembira atas kedatangan mereka. Diperlihatkannya kepada mereka seluruh gedung harta bendanya, perak dan emas, rempah-ratus dan minyak yang berharga, seluruh gedung persenjataannya dan segala sesuatu yang terdapat dalam perbendaharaannya. Tidak ada barang dalam istana dan seluruh daerah kekuasaannya yang tidak diperlihatkan kepada mereka oleh Hizkia. Setelah itu, Nabi Yesaya datang menghadap Raja Hizkia dan bertanya kepadanya, “Apakah yang dikatakan orang itu? Dari manakah mereka datang?” Jawab Hizkia, “Mereka datang dari negeri yang jauh, dari Babel.” Tanya Yesaya lagi, “Apakah yang dilihat mereka di dalam istanamu?” Jawab Hizkia, “Segala sesuatu yang ada dalam istanaku telah mereka lihat. Tidak ada barang dalam perbendaharaanku yang tidak kuperlihatkan kepada mereka.” Lalu kata Yesaya kepada Hizkia, “Dengarlah firman TUHAN, ‘Sesungguhnya, akan datang harinya apabila segala sesuatu yang ada dalam istanamu dan yang disimpan oleh nenek moyangmu sampai hari ini akan diangkut ke Babel. Tidak ada barang yang akan ditinggalkan,’ demikianlah firman TUHAN. Selain itu, daripada kalangan anak yang akan dilahirkan bagimu, iaitu keturunanmu, beberapa orang akan diambil untuk menjadi para sida di istana raja Babel.” Kata Hizkia kepada Yesaya, “Firman TUHAN yang kausampaikan itu baik.” Kerana fikirnya, “Bukankah itu bererti ada kedamaian dan keamanan pada zamanku?”