2 RAJA-RAJA 2:7-14
2 RAJA-RAJA 2:7-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Lima puluh orang daripada kumpulan nabi mengikuti mereka ke Sungai Yordan. Elia dan Elisa berhenti di tepi sungai, dan lima puluh orang nabi itu berdiri tidak berapa jauh dari situ. Kemudian Elia menanggalkan jubahnya, menggulungnya, lalu memukul air sungai dengan gulungan itu. Kemudian air sungai itu terbelah dua sehingga Elia dan Elisa dapat menyeberangi sungai dengan berjalan di atas dasar yang kering. Di situ Elia berkata kepada Elisa, “Katakanlah apa yang engkau mahu aku lakukan untukmu sebelum aku dibawa pergi.” Elisa menjawab, “Benarkanlah saya mewarisi kuasa tuan supaya saya boleh menjadi pengganti tuan.” Elia berkata, “Permintaan itu susah dikabulkan. Tetapi jika engkau nampak aku ketika aku dibawa pergi, engkau akan menerima permintaanmu. Jika tidak, engkau tidak akan menerimanya.” Mereka terus bercakap-cakap sambil meneruskan perjalanan. Tiba-tiba sebuah kereta kuda berapi yang ditarik oleh beberapa kuda berapi memisahkan mereka, lalu Elia diangkat ke syurga oleh angin puting beliung. Elisa nampak hal itu, lalu berseru kepada Elia, “Bapaku, bapaku! Pembela kuat Israel! Bapa sudah pergi!” Maka hilanglah Elia dari pemandangan Elisa. Dengan dukacita Elisa mengoyak jubahnya menjadi dua sobekan. Kemudian dia mengambil jubah Elia yang telah terjatuh. Lalu Elisa kembali dan berdiri di tepi Sungai Yordan. Dia memukul air sungai itu dengan jubah Elia, lalu berkata, “Di manakah TUHAN, Allah Elia?” Kemudian dia memukul air sungai itu lagi, dan air itu terbelah dua, lalu Elisa berjalan ke seberang sungai itu.
2 RAJA-RAJA 2:7-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lima puluh orang daripada rombongan nabi juga ikut berjalan, tetapi mereka berdiri jauh-jauh di seberang sementara Elia dan Elisa berdiri di tepi Sungai Yordan. Elia mengambil jubahnya, menggulungnya, dan memukulkannya ke air sungai itu. Maka air itu pun terbelah ke sebelah kiri dan kanan, lalu kedua-dua orang itu menyeberang di tengah-tengah iaitu di atas tanah kering. Setelah mereka sampai di seberang, Elia berkata kepada Elisa, “Mintalah apa yang patut kulakukan kepadamu sebelum aku diambil daripadamu.” Jawab Elisa, “Wariskanlah hamba dua bahagian daripada roh tuan.” Kata Elia, “Yang kauminta itu sukar. Akan tetapi, jika engkau dapat melihat aku ketika aku diambil daripadamu, maka hal itu akan berlaku ke atasmu. Jika tidak, maka hal itu tidak akan berlaku.” Sementara mereka berjalan terus dan berbicara, tiba-tiba muncullah sebuah rata berapi dengan kuda berapi memisahkan kedua-duanya. Elia pun naik ke syurga dalam puting beliung. Melihat hal itu, berserulah Elisa, “Bapaku, bapaku! Rata Israel dengan pasukan berkudanya!” Setelah itu, dia tidak melihatnya lagi. Direnggutnya pakaiannya dan dikoyakkannya menjadi dua. Lalu dipungutnya jubah Elia yang terjatuh, dan kembali berdiri di tepi Sungai Yordan. Setelah dia mengambil jubah Elia yang terjatuh itu, dipukulkannya jubah itu ke air dan berkata, “Di manakah TUHAN, Allah Elia?” Apabila air itu dipalu, terbelahlah air itu ke sebelah kiri dan kanan, lalu Elisa pun menyeberang.