2 RAJA-RAJA 19:1-37

2 RAJA-RAJA 19:1-37 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila Raja Hizkia mendengar laporan mereka, baginda mengoyakkan pakaiannya kerana sedih. Baginda memakai kain guni, lalu pergi ke Rumah TUHAN. Baginda menyuruh Elyakim, pengurus istana, dan Sebna, setiausaha istana, serta imam-imam yang tua untuk berjumpa dengan Nabi Yesaya anak Amos. Mereka juga memakai kain guni. Raja Hizkia menyuruh mereka menyampaikan berita ini kepada Yesaya, “Hari ini hari penderitaan. Kita dihukum dan dipermalukan. Kita seperti perempuan yang hampir bersalin tetapi kehabisan tenaga. Raja Asyur telah mengutus pegawai tertingginya untuk menghina Allah yang hidup. Semoga TUHAN, Allahmu mendengar hinaan itu dan menghukum mereka yang mengucapkannya. Oleh itu berdoalah kepada Allah untuk rakyat kita yang masih hidup.” Apabila Yesaya menerima berita daripada Raja Hizkia, dia memberikan jawapan ini, “TUHAN berfirman bahawa tuanku tidak usah takut terhadap orang Asyur yang mengatakan TUHAN tidak dapat menyelamatkan tuanku. TUHAN akan menyebabkan raja Asyur mendengar suatu khabar angin sehingga baginda lari pulang ke negerinya sendiri. TUHAN akan membiarkan baginda dibunuh di sana.” Pegawai Asyur itu mendengar bahawa raja Asyur telah meninggalkan Lakhis dan sedang berperang menentang Libna, sebuah kota yang berdekatan. Maka dia pergi ke sana untuk meminta nasihat. Pada masa itu Raja Asyur mendengar berita bahawa tentera Mesir yang dipimpin oleh Raja Tirhaka dari Etiopia datang untuk menyerang mereka. Apabila raja Asyur mendengar berita itu, baginda mengirim sepucuk surat kepada Raja Hizkia di Yehuda. Demikianlah bunyi surat itu, “Allah yang raja percayai itu berjanji bahawa raja tidak akan jatuh ke dalam tangan beta, tetapi jangan ditipu oleh janji itu. Raja telah mendengar apa yang dilakukan oleh raja Asyur terhadap setiap negeri apa sahaja yang hendak dimusnahkannya. Jangan sangka raja akan terlepas! Nenek moyang beta memusnahkan kota Gozan, Haran, dan Rezef, serta membunuh orang Eden yang tinggal di Telasar. Tidak satu pun daripada dewa mereka dapat menyelamatkan mereka. Di manakah raja-raja kota Hamat, Arpad, Sefarwaim, Hena, dan Iwa sekarang?” Raja Hizkia mengambil surat itu daripada para utusan, lalu membacanya. Kemudian baginda pergi ke Rumah TUHAN dan membentangkan surat itu di hadirat TUHAN, lalu berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, Engkau yang bersemayam di atas kerub; Engkau satu-satunya Allah yang memerintah semua kerajaan di dunia. Engkau mencipta langit dan bumi. Sekarang lihatlah hal yang berlaku kepada kami. Dengarlah segala hinaan yang diucapkan oleh Raja Sanherib terhadap-Mu, ya Allah yang hidup. Kami semua tahu, ya TUHAN, bahawa raja Asyur telah memusnahkan banyak bangsa dan menghancurkan negeri mereka, serta membakar dewa-dewa mereka. Tetapi dewa-dewa itu tidak berkuasa kerana semuanya hanya patung daripada kayu dan batu yang dibuat oleh manusia. Oleh itu selamatkanlah kami daripada orang Asyur, ya TUHAN, Allah kami supaya semua bangsa di dunia tahu bahawa Engkau, TUHAN satu-satunya Allah.” Kemudian Yesaya mengirim perkhabaran kepada Raja Hizkia bahawa TUHAN, Allah Israel telah mendengar doanya. Demikianlah firman TUHAN, “Kota Yerusalem mentertawakan serta menghinakan engkau, hai Sanherib. Pada sangkamu, siapakah yang engkau cela dan hina itu? Engkau telah bersikap sombong terhadap Aku, Allah Israel, Allah yang suci. Engkau mengirim para utusanmu untuk membesar-besarkan dirimu di hadapan-Ku, bahawa dengan kereta kudamu engkau telah menaklukkan gunung-gunung tertinggi di Lebanon. Engkau bercakap besar bahawa di sana engkau telah menebang pokok sedar yang tertinggi dan pokok sipres yang terbaik, dan bahawa engkau telah menembusi hutan Lebanon yang paling lebat. Engkau bercakap besar bahawa engkau telah menggali perigi dan meminum air di negeri-negeri asing, dan bahawa tenteramu memijak-mijak Sungai Nil sehingga kering. Belum pernahkah engkau mendengar bahawa Akulah yang merancangkan semua itu sejak dahulu? Sekarang Aku sudah melaksanakannya. Akulah yang memberi engkau kuasa untuk memusnahkan kota-kota berkubu sehingga menjadi puing-puing. Penduduk di situ tidak berdaya; mereka ketakutan dan bingung. Mereka seperti rumput di padang atau rumpai yang tumbuh di atas bumbung rumah, yang layu apabila ditiup oleh angin timur yang panas. Tetapi Aku tahu akan segala halmu; segala perbuatanmu dan ke mana sahaja engkau pergi. Aku tahu bahawa engkau marah sekali terhadap Aku. Aku telah mendengar tentang kemarahanmu dan kesombonganmu. Sekarang Aku akan menaruh kait pada hidungmu, dan kekang pada mulutmu. Aku akan menarik engkau pulang melalui jalan yang engkau ikuti ketika datang.” Kemudian Yesaya mengirim perkhabaran ini kepada Raja Hizkia, “Perkara ini akan menjadi satu tanda bagi tuanku: Pada tahun ini dan tahun yang akan datang, tuanku akan makan gandum yang tumbuh sendiri. Tetapi pada tahun yang berikutnya, tanamlah gandum dan anggur, dan nikmatilah hasilnya. Penduduk Yehuda yang terselamat akan makmur seperti tumbuhan yang berakar umbi dan berbuah. Baik di Yerusalem mahupun di Bukit Sion akan ada orang yang terselamat, kerana TUHAN telah tentukan bahawa perkara ini akan berlaku. Inilah firman TUHAN tentang raja Asyur, ‘Dia tidak akan masuk ke Yerusalem, atau melepaskan anak panah ke arahnya. Askar-askar yang berperisai tidak akan mendekati kota ini. Mereka tidak akan membuat timbunan tanah untuk mengepungnya. Raja Asyur akan pulang melalui jalan yang diikutinya ketika datang, tanpa memasuki kota ini. Aku, TUHAN, telah berfirman. Demi kehormatan-Ku sendiri dan demi janji-Ku kepada hamba-Ku Daud, Aku akan membela kota ini serta melindunginya.’ ” Pada malam itu satu malaikat TUHAN pergi ke perkhemahan orang Asyur dan membunuh 185,000 orang askar. Pagi-pagi keesokan harinya, mereka semua sudah mati! Kemudian Raja Sanherib dari Asyur, berundur dari sana dan pulang ke Niniwe. Pada suatu hari, ketika baginda sedang bersembahyang di dalam kuil Nisrokh, dewanya, dua orang putera baginda, Adramelekh dan Sarezer, membunuh baginda dengan pedang. Selepas itu mereka lari ke tanah Ararat. Esarhadon, puteranya yang lain, menggantikan baginda sebagai raja.

2 RAJA-RAJA 19:1-37 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah Raja Hizkia mendengar hal itu, dia pun mengoyakkan pakaiannya, mengenakan kain kabung, lalu masuk ke Bait TUHAN. Kemudian dia mengutus Elyakim, ketua istana, Sebna, jurutulis negara, dan para tua-tua antara para imam untuk menemui Nabi Yesaya anak Amos dengan mengenakan kain perkabungan. Kata mereka kepadanya, “Beginilah titah Hizkia, ‘Hari ini hari kesesakan, hukuman, dan kenistaan, kerana anak sudah hampir dilahirkan, tetapi kekuatan untuk melahirkannya tidak ada pula. Mudah-mudahan TUHAN, Allahmu, mendengar semua yang dikatakan Rabshakeh, yang telah diutus oleh tuannya, raja Asyur, untuk mencela Allah yang hidup. Mudah-mudahan TUHAN, Allahmu, menjatuhkan hukuman selaras dengan kata-kata yang telah didengar-Nya. Oleh sebab itu, panjatkanlah doa bagi saki-baki orang yang masih ada.’ ” Setelah para pegawai Raja Hizkia menyampaikan pesan kepada Yesaya, berkatalah Yesaya kepada mereka, “Beginilah harus kamu katakan kepada Tuanmu, ‘Beginilah firman TUHAN, “Jangan takut dengan kata-kata yang kaudengar itu, yang diucapkan oleh hamba-hamba raja Asyur untuk mengkufuri Aku. Sesungguhnya, Aku akan menaruh suatu roh dalam dirinya, sehingga dia mendengar suatu khabar lalu pulang ke negerinya. Aku akan membuat dia tewas oleh pedang di negerinya sendiri.” ’ ” Ketika Rabshakeh kembali, didapatinya raja Asyur sedang berperang melawan Libna, kerana dia memang telah mendengar bahawa raja sudah berangkat dari Lakhis. Pada waktu itu raja menerima laporan tentang Tirhaka, raja Kush, demikian, “Ketahuilah, dia sedang mara untuk berperang dengan tuanku.” Lalu dikirimnya semula para utusan kepada Hizkia dengan pesan, “Beginilah harus kamu katakan kepada Hizkia, raja Yehuda, ‘Jangan biarkan Allahmu yang kauandalkan itu menipu kamu dengan janji, “Yerusalem tidak akan diserahkan ke dalam tangan raja Asyur.” Sesungguhnya, engkau telah mendengar apa yang dilakukan oleh raja-raja Asyur terhadap semua negeri. Negeri-negeri itu telah ditumpaskan mereka sama sekali. Masakan engkau akan terlepas? Dapatkah tuhan-tuhan bangsa-bangsa yang dimusnahkan oleh nenek moyangku, iaitu bangsa Gozan, Haran, Rezef, dan bani Eden yang tinggal di Telasar melepaskan mereka? Di manakah raja Hamat, raja Arpad, raja kota Sefarwaim, Hena, dan Iwa?’ ” Hizkia menerima surat itu daripada tangan para utusan lantas membacanya. Kemudian Hizkia pergi ke Bait TUHAN dan membentangkan surat itu di hadapan TUHAN. Lalu berdoalah Hizkia kepada TUHAN, “Ya TUHAN, Allah Israel, yang bersemayam di atas malaikat-malaikat kerubin! Hanya Engkaulah Allah atas segala kerajaan di bumi. Engkaulah yang menjadikan langit dan bumi. Berikanlah perhatian, ya TUHAN, dan dengarlah. Sudilah, memandang, ya TUHAN, dan lihatlah. Dengarlah kata-kata Sanherib yang telah dikirimnya untuk mencela Allah yang hidup. Ya TUHAN, memang benar bahawa raja-raja Asyur telah memusnahkan bangsa-bangsa itu dan negeri mereka dan mencampakkan tuhan mereka ke dalam api, kerana semua itu bukan Allah melainkan buatan tangan manusia, daripada kayu dan batu, sehingga dapat dibinasakan. Sekarang ya TUHAN, Allah kami, selamatkanlah kami daripada tangannya, supaya semua kerajaan di bumi tahu bahawa hanya Engkaulah Allah, ya TUHAN.” Kemudian Yesaya anak Amos menghantar seorang utusan kepada Hizkia untuk mengatakan, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku telah mendengar apa yang telah kaudoakan kepada-Ku tentang Sanherib, raja Asyur.’ Inilah firman yang disampaikan TUHAN mengenai dia, ‘Anak dara, iaitu puteri Sion, menghina dan mengolok-olokkan engkau. Yerusalem menggeleng-gelengkan kepala di belakangmu. Siapakah yang kaucela dan kaukufuri? Terhadap siapakah engkau meninggikan suara dan melayangkan pandang dengan sombong? Terhadap Yang Maha Suci, Allah Israel! Dengan perantaraan para utusanmu engkau telah mencela TUHAN dan engkau berkata, “Dengan rataku yang banyak aku naik ke gunung-gunung yang tertinggi, ke hujung-hujung Lebanon. Aku menebang pokok-pokok araznya yang tinggi, pokok-pokok sanubarnya yang terpilih. Aku telah memasuki tempat persinggahannya yang terjauh dan hutannya yang lebat. Aku telah menggali perigi di negeri asing dan minum air di sana. Dengan telapak kakiku kukeringkan semua anak sungai di Mesir.” Belum pernahkah kaudengar, bahawa Aku telah menetapkannya sejak dahulukala, dan menentukannya sejak zaman purbakala? Sekarang Aku mewujudkannya, bahawa engkau meruntuhkan kota-kota berkubu sehingga menjadi timbunan puing. Penduduknya yang tidak berdaya menjadi kecut hati dan malu. Mereka menjadi seperti tumbuh-tumbuhan di padang, seperti rumput muda yang hijau, seperti rumput di atas bumbung rumah, yang layu sebelum bertumbuh. Tetapi Aku tahu ketika engkau duduk, dan ketika engkau keluar masuk, dan amarahmu terhadap Aku. Kerana engkau marah kepada-Ku, dan kerana ketakburanmu telah sampai kepada pendengaran-Ku, maka Aku akan memasang kelikir-Ku pada hidungmu dan kekang-Ku pada mulutmu. Aku akan mengembalikan engkau melalui jalan yang kautempuh ketika engkau datang.’ Inilah tandanya bagimu, wahai Hizkia: Pada tahun ini kamu akan makan apa yang tumbuh dengan sendirinya, dan pada tahun kedua, apa yang tumbuh daripada tanaman tadi. Tetapi pada tahun ketiga, kamu harus menyemai, menuai, menanami kebun anggur, dan memakan buahnya. Kalangan yang terselamat daripada keturunan kaum Yehuda, iaitu orang yang tertinggal, akan berakar ke bawah dan berbuah lagi ke atas. Kerana dari Yerusalem akan keluar saki-baki kalangan itu, dan dari Gunung Sion orang yang terselamat. Semangat TUHAN alam semesta akan membuat hal ini terwujud. Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN mengenai raja Asyur, ‘Dia tidak akan masuk ke dalam kota ini dan tidak akan menembakkan anak panah di sini. Dia tidak akan maju menghampiri kota ini dengan perisai dan tidak akan menimbunkan tanggul pengepung terhadapnya. Dia akan kembali melalui jalan yang ditempuhnya ketika dia datang dan tidak akan masuk ke kota ini,’ demikianlah firman TUHAN. ‘Aku akan melindungi kota ini dan menyelamatkannya demi diri-Ku sendiri dan demi Daud, hamba-Ku.’ ” Pada malam itu malaikat TUHAN keluar dan menewaskan 185,000 orang di perkhemahan Asyur. Apabila orang bangun pada pagi esoknya, didapati mayat-mayat belaka! Maka berangkatlah Sanherib, raja Asyur, berjalan pulang, lalu dia tinggal di Niniwe. Pada suatu hari, ketika dia sedang bersembahyang di dalam kuil Nisrokh, tuhannya, Adramelekh dan Sarezer, anak-anaknya, membunuhnya dengan pedang lalu mereka melarikan diri ke Tanah Ararat. Maka Esarhadon, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.