2 RAJA-RAJA 17:7-18

2 RAJA-RAJA 17:7-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Kota Samaria jatuh kerana umat Israel berdosa terhadap TUHAN, Allah mereka, yang telah menyelamatkan mereka daripada raja Mesir dan membawa mereka keluar dari negeri Mesir. Mereka menyembah tuhan-tuhan lain, serta mengikut kebiasaan bangsa yang telah diusir oleh TUHAN ketika umat Israel menduduki negeri itu. Umat Israel mengikut adat istiadat yang ditetapkan oleh raja-raja Israel. Mereka melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh TUHAN, Allah mereka. Mereka membina tempat-tempat penyembahan berhala di semua kota mereka, dari kampung yang terkecil sampai ke kota yang terbesar. Di semua bukit dan di bawah tiap-tiap pokok yang rendang, mereka mendirikan tiang-tiang batu dan patung-patung Dewi Asyera. Mereka membakar kemenyan di atas semua mazbah untuk dewa, mengikut kebiasaan bangsa yang telah diusir oleh TUHAN dari negeri itu. Mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN kerana segala perbuatan mereka yang jahat itu, dan tidak taat kepada TUHAN yang melarang mereka menyembah berhala. TUHAN telah mengutus beberapa orang utusan dan nabi-Nya untuk memberikan amaran kepada Israel dan Yehuda. Firman TUHAN, “Berhentilah berbuat jahat dan taatlah kepada perintah-Ku yang terkandung dalam Taurat yang Aku berikan kepada nenek moyang kamu dan juga kamu melalui para nabi, hamba-hamba-Ku.” Tetapi mereka tidak mahu taat; mereka degil seperti nenek moyang mereka yang tidak percaya kepada TUHAN, Allah mereka. Mereka tidak mahu taat kepada perintah-Nya. Mereka tidak mengendahkan perjanjian yang dibuat TUHAN dengan nenek moyang mereka. Mereka tidak menghiraukan amaran-amaran TUHAN. Mereka menyembah berhala-berhala yang tidak berguna, sehingga mereka sendiri menjadi tidak berguna. Mereka mengikut kebiasaan bangsa-bangsa di sekeliling mereka, walaupun TUHAN telah melarang perbuatan itu. Mereka melanggar semua hukum TUHAN, Allah mereka, serta membuat dua patung lembu daripada logam untuk disembah. Mereka juga membuat patung Dewi Asyera, menyembah bintang-bintang, dan Baal. Mereka mempersembahkan anak-anak mereka sebagai korban yang dibakar kepada dewa-dewa. Mereka minta petunjuk daripada dukun dan tukang tilik. Mereka sangat giat melakukan apa yang jahat di sisi TUHAN, lalu membangkitkan kemurkaan-Nya. TUHAN murka terhadap umat Israel sehingga mereka dibuang dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka; hanya kerajaan Yehuda yang tinggal.

2 RAJA-RAJA 17:7-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Hal itu terjadi kerana orang Israel berdosa terhadap TUHAN, Allah mereka, yang telah menuntun mereka keluar dari Tanah Mesir, daripada genggaman Firaun, raja Mesir. Mereka menyembah tuhan-tuhan lain dan hidup menurut kebiasaan bangsa-bangsa yang telah dihalau TUHAN dari hadapan orang Israel, serta menuruti kebiasaan yang dilakukan oleh raja-raja Israel. Secara bersembunyi-sembunyi, orang Israel melakukan hal-hal yang tidak benar di mata TUHAN, Allah mereka. Mereka membina bukit-bukit pemujaan di semua kota mereka, dari menara tinjau sampai ke kota yang berkubu. Mereka mendirikan tiang-tiang berhala dan patung-patung Asyera di atas setiap bukit yang tinggi, juga di bawah setiap pokok yang rimbun. Di sana, di atas segala bukit pemujaan, mereka membakar dupa, seperti yang dilakukan oleh bangsa-bangsa yang telah dibuang TUHAN dari hadapan mereka. Mereka melakukan hal-hal yang jahat, sehingga mereka membangkitkan murka TUHAN. Mereka beribadat kepada berhala-berhala, padahal TUHAN telah berfirman kepada mereka, “Jangan lakukan hal itu.” TUHAN telah mengingatkan Israel dan Yehuda dengan perantaraan semua nabi dan pelihat, firman-Nya, “Berbaliklah daripada jalan hidupmu yang jahat itu dan berpeganglah teguh pada perintah-perintah serta ketetapan-ketetapan-Ku, selaras dengan hukum Taurat yang telah Kuperintahkan kepada nenek moyangmu dan yang telah Kusampaikan kepadamu dengan perantaraan hamba-hamba-Ku, para nabi.” Namun demikian, mereka tidak mahu mendengar malahan mereka mengeraskan hati seperti nenek moyang mereka yang tidak percaya kepada TUHAN, Allah mereka. Mereka menolak segala ketetapan-Nya dan perjanjian yang telah diikat-Nya dengan nenek moyang mereka, juga peraturan-peraturan yang telah disampaikan-Nya kepada mereka. Mereka mengejar kesia-siaan, sehingga mereka menjadi sia-sia. Mereka mengikuti bangsa-bangsa yang ada di sekeliling mereka, padahal TUHAN telah memerintah mereka supaya jangan berlaku seperti kalangan itu. Mereka meninggalkan segala perintah TUHAN, Allah mereka, dan membuat patung tuangan berbentuk dua ekor anak lembu. Mereka membuat patung Asyera, sujud menyembah segala benda langit, dan beribadat kepada Baal. Mereka mempersembahkan anak lelaki dan perempuan mereka sebagai korban yang dibakar. Mereka melakukan tenung dan nujum, serta menjual diri untuk melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, sehingga mereka membangkitkan murka-Nya. Oleh sebab itu TUHAN sangat murka terhadap Israel, lalu membuang mereka daripada hadirat-Nya. Tidak ada yang tertinggal kecuali suku Yehuda.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami