2 RAJA-RAJA 12:1-15

2 RAJA-RAJA 12:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada tahun ketujuh pemerintahan Raja Yehu di Israel, Raja Yoas menjadi raja Yehuda. Raja Yoas memerintah di Yerusalem selama empat puluh tahun. Bondanya bernama Zibya, orang dari kota Bersyeba. Seumur hidupnya Raja Yoas melakukan perkara-perkara yang diperkenankan TUHAN, kerana Imam Yoyada menasihati baginda. Walaupun demikian, tempat penyembahan dewa tidak dimusnahkan, dan rakyat masih mempersembahkan korban serta membakar kemenyan di situ. Raja Yoas memanggil para imam dan memerintah mereka mengumpulkan wang yang diterima sebagai persembahan di Rumah TUHAN, baik wang pembayaran penyelenggaraan korban, mahupun wang persembahan sukarela. Tiap-tiap imam bertanggungjawab terhadap wang yang diterima daripada orang yang dilayaninya, dan wang itu akan digunakan untuk memperbaiki Rumah TUHAN. Tetapi hingga tahun kedua puluh tiga pemerintahan Raja Yoas, imam-imam itu masih belum memperbaiki kerosakan-kerosakan di Rumah TUHAN. Oleh itu Raja Yoas memanggil Yoyada dan imam-imam yang lain, lalu bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu tidak memperbaiki Rumah TUHAN? Mulai sekarang kamu tidak dibenarkan menyimpan wang yang kamu terima. Kamu harus menyerahkan semuanya untuk memperbaiki Rumah TUHAN.” Imam-imam itu bersetuju untuk tidak mengumpulkan wang rakyat dan juga bersetuju untuk tidak bertanggungjawab terhadap perbaikan Rumah TUHAN. Kemudian Yoyada mengambil sebuah peti dan membuat lubang pada penutupnya, lalu meletakkannya di sisi mazbah, di sebelah kanan pintu masuk Rumah TUHAN. Imam-imam yang bertugas di pintu itu memasukkan semua wang persembahan yang diterima daripada orang ramai ke dalam peti itu. Setiap kali, apabila wang di dalam peti itu sudah banyak, setiausaha raja dan Imam Agung datang untuk mengira wang yang ada di situ, lalu memasukkannya ke dalam kantung. Setelah mencatat jumlah wang dengan tepat, mereka menyerahkan wang itu kepada para pegawai yang mengawasi perbaikan Rumah TUHAN. Para pegawai itu pula membayar upah tukang kayu, jurubina, tukang batu, dan pemahat batu. Mereka juga membeli kayu dan batu untuk memperbaiki Rumah TUHAN, serta membayar semua perbelanjaan lain. Wang itu tidak digunakan untuk membayar pembuatan cawan perak, mangkuk, trompet, atau alat-alat pelita, atau perkakas lain yang dibuat daripada perak atau emas. Semua wang itu digunakan untuk membayar upah tukang dan untuk membeli bahan-bahan yang diperlukan. Pegawai-pegawai yang mengawasi pekerjaan itu sangat jujur. Oleh itu mereka tidak diminta membuat laporan kewangan.

2 RAJA-RAJA 12:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada tahun ketujuh pemerintahan Yehu, Yoas menaiki takhta. Empat puluh tahun lamanya dia bertakhta di Yerusalem. Nama ibunya ialah Zibya, dari Bersyeba. Yoas melakukan apa yang benar di mata TUHAN seumur hidupnya, selama Imam Yoyada mengajar dia. Hanya, bukit-bukit pemujaan tidak disingkirkannya. Rakyat masih mempersembahkan korban dan membakar dupa di bukit-bukit pemujaan itu. Berkatalah Yoas kepada para imam, “Hendaklah semua wang persembahan suci yang dibawa ke Bait TUHAN, iaitu wang yang masuk daripada pendaftaran penduduk, wang tebusan jiwa menurut penilaian yang berlaku bagi setiap orang, dan semua wang yang dibawa ke Bait TUHAN kerana niat seseorang, diterima sendiri oleh para imam daripada kenalan masing-masing. Hendaklah mereka memakainya untuk memperbaik kerosakan Bait, di mana sahaja terdapat kerosakan.” Akan tetapi, hingga tahun kedua puluh tiga pemerintahan Raja Yoas, para imam masih belum lagi memperbaik kerosakan Bait itu. Oleh sebab itu Raja Yoas memanggil Imam Yoyada dan para imam lain serta berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu belum juga memperbaik kerosakan Bait itu? Sekarang, jangan lagi terima wang daripada para dermawan kenalanmu, tetapi serahkanlah itu untuk memperbaik kerosakan Bait.” Para imam setuju untuk tidak lagi menerima wang daripada rakyat, dan mereka pun tidak lagi harus memperbaik kerosakan Bait itu sendiri. Kemudian Imam Yoyada mengambil sebuah peti dan membuat lubang pada tutupnya. Ditaruhnya peti itu di sisi mazbah, letaknya di sebelah kanan apabila orang masuk ke Bait TUHAN. Lalu imam-imam penjaga pintu memasukkan ke dalamnya semua wang yang dibawa orang ke Bait TUHAN. Apabila mereka melihat bahawa jumlah wang di dalam peti itu sudah banyak, maka datanglah jurutulis raja bersama imam besar untuk menghitung wang yang terdapat dalam Bait TUHAN itu dan membungkusnya. Wang yang ditimbang itu kemudian diserahkan kepada para pekerja yang dipilih untuk mengawasi Bait TUHAN. Selanjutnya para pengawas itu membayarkannya kepada tukang kayu serta tukang binaan yang mengerjakan Bait TUHAN, juga kepada tukang tembok serta tukang pahat batu. Wang itu juga digunakan untuk membeli kayu dan batu pahat bagi memperbaik kerosakan Bait TUHAN, serta untuk segala perbelanjaan bagi pembaikan Bait itu. Tetapi wang yang dibawa ke dalam Bait TUHAN itu tidak digunakan untuk membuat mangkuk perak, sepit, bokor, nafiri, atau perkakas emas dan perak lainnya bagi Bait TUHAN, kerana wang itu diserahkan kepada para pekerja untuk digunakan memperbaik Bait TUHAN. Para imam penjaga pintu itu tidak mengadakan perhitungan dengan para pengawas yang diserahi wang untuk kemudian memberikannya kepada para pekerja, kerana para pengawas itu bekerja dengan jujur.