2 KORINTUS 9:1-15
2 KORINTUS 9:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Sebenarnya tidak perlu lagi aku menulis kepada kamu tentang derma yang sedang dikirim kepada umat Allah di Yudea. Aku tahu bahawa kamu suka menolong, dan aku sudah membanggakan kamu kepada orang di Makedonia. Aku berkata kepada mereka, “Saudara seiman di Akhaya telah bersedia menolong sejak tahun lalu.” Semangat kamu sudah mengobarkan semangat kebanyakan daripada mereka. Sekarang aku mengutus Titus dan dua orang saudara seiman itu, supaya apa yang telah kami bangga-banggakan tentang kamu bukanlah cakap angin belaka. Oleh itu, hendaklah kamu siap menolong, kerana aku sudah berkata bahawa kamu bersedia menolong. Apabila aku datang bersama-sama beberapa orang Kristian dari Makedonia, aku tidak ingin mereka mendapati kamu belum menyediakan wang derma itu. Jika hal itu berlaku, alangkah malunya kami kerana kami begitu yakin akan kamu. Kamu sendiri pun akan malu. Oleh itu, aku fikir perlu juga menggesa saudara-saudara itu supaya pergi kepada kamu lebih dahulu daripada aku untuk mengurus derma yang kamu janjikan itu. Dengan demikian derma itu telah tersedia apabila aku tiba. Hal itu menunjukkan bahawa derma itu kamu berikan dengan rela hati dan bukan kerana terpaksa. Ingatlah! Orang yang menanam sedikit benih, akan mendapat tuaian yang sedikit. Tetapi orang yang menanam banyak benih, akan mendapat tuaian yang banyak juga. Masing-masing harus memberi sebanyak yang telah ditentukannya. Orang harus memberi dengan rela dan sukacita, kerana Allah mengasihi orang yang memberi dengan senang hati. Allah berkuasa memberkati kamu dengan berlimpah-limpah, sehingga kamu mempunyai apa yang kamu perlukan. Bahkan kamu akan mempunyai lebih daripada cukup untuk mengamalkan perbuatan baik. Di dalam Alkitab tertulis, “Dia bermurah hati kepada orang miskin, kebaikan hatinya kekal selama-lamanya.” Allah menyediakan benih untuk ditabur dan makanan untuk dimakan. Dia juga akan membekali kamu benih yang dapat kamu tanam, dan akan menyebabkan tanaman kamu tumbuh. Dengan demikian kamu semakin murah hati. Allah akan menjadikan kamu berkecukupan supaya kamu sentiasa dapat bermurah hati. Dengan demikian banyak orang akan bersyukur kepada Allah kerana derma yang kamu kirim melalui kami. Hal itu demikian, kerana perbuatan baik yang kamu lakukan itu bukan sahaja akan mencukupi keperluan umat Allah, tetapi juga menyebabkan banyak orang bersyukur kepada Allah. Dengan perbuatan baik yang kamu tunjukkan itu, banyak orang Kristian di Yudea akan memuliakan Allah kerana kesetiaan dan ketaatan kamu kepada Berita Baik tentang Kristus. Mereka juga akan memuji Allah kerana dengan murah hati kamu berkongsi milik dengan mereka dan semua orang lain. Mereka akan berdoa untuk kamu dengan penuh kasih sayang, kerana Allah sangat mengasihi kamu. Marilah kita bersyukur kepada Allah bagi pemberian-Nya yang tidak terhingga.
2 KORINTUS 9:1-15 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
ADAPUN spŭrti deri hal mŭmliharakan orang orang salih itu, apalah buat aku mŭnyurat lagi kapada kamu. Kŭrna kukŭtahuilah hati kamu ada sŭdia dalam hal itu, sŭbab itu aku mŭmŭgahkan akan kamu dihadapan orang Makadonia, bahwa orang Akaia tŭlah bŭrlangkaplah sa’tahun sudah; adapun rajin kamu itu tŭlah mŭnghulu hulukan banyak orang. Akan tŭtapi aku tŭlah mŭnyurohkan juga saudara saudara itu, asal jangan kŭmŭgahan kami deri hal kamu itu mŭnjadi sia sialah; sŭbab itu spŭrti aku bŭrkata, supaya kamu bŭrsŭdialah. Asal jangan kŭlak jikalau orang Makadonia datang bŭsŭrta dŭngan aku, maka didapatinya kamu bŭlom sŭdia, maka kami (bukannya kata kami kamu,) mŭnjadi malulah kŭlak dalam sama kŭmŭgahan yang dipŭrchayai ini. Maka sŭbab itulah aku tŭlah bŭrfikir, patutlah aku mŭminta kapada sagala saudara itu, supaya iya datang mŭndapatkan kamu tŭrdahulu, dan sŭdiakan dahulu akan pŭmbrian kamu yang dahulu tŭlah dibri tahu itu, supaya bulih sŭdia iya itulah kŭlak akan mŭnjadi suatu pŭmbrian bukannya tŭmaa. Tŭtapi pŭrkataanku ini, Adapun orang yang mŭnabor dŭngan kikir itu, maka dŭngan kikir juga iya kŭlak mŭnuwie; maka orang yang mŭnabor dŭngan kamurahan itu, maka dŭngan kamurahan juga iya kŭlak mŭnuwie. Masing masing biarlah mŭmbri sŭkŭdar karelaan hatinya, bukannya dŭngan sŭgan, atau dŭngan paksa: kŭrna dikasihi Allah akan orang yang mŭmbri dŭngan bŭrsuka suka. Maka Allah itu bŭrkwasa iya akan mŭlempahkan sagala anugrah itu bagie kamu; supaya kamu kŭlak, sŭbab slalu mŭndapati skalian dŭngan sŭchukopnya sagala pŭrkara itu, bulihlah tŭrlempahkan dalam sagala pŭrbuatan yang baik adanya. Spŭrti yang tŭlah tŭrsurat, Adapun iyalah tŭlah mŭnaborkan kliling; iyalah tŭlah mŭmbrikan kapada orang mŭskin: maka kabŭnarannya itupun tinggal sampie slama lamanya. Adapun skarang Tuhan yang mŭmbri bŭnih kapada orang yang mŭnabor itu juga mŭmbri rŭzki akan makanan kamu pun: sŭrta mŭmbanyakkan bŭnih kamu yang ditanam itu, dan mŭnambahkan buah buahan kabajikan kamu. Sŭbab kamu adalah kaya dalam sagala sŭsuatu sampie mŭndatangkan dŭrmawan yang mŭmbangkitkan dalam hati orang shukor kapada Allah. Kŭrna pŭkŭrjaan pŭmbrian ini, bukannya mŭnulong akan kakorangan orang salih sahja, mŭlainkan bŭrtambahlah pula kabanyakkan shukor kapada Allah pun. Adapun ulih sŭbab dalil pŭkŭrjaan inilah marika itu mŭmuliakan Allah deri kŭrna pŭngakuan ibadat kamu kapada Injil Almasih, dan deri kŭrna kamurahan pŭmbrian kamu kapada marika itu, dan kapada sagala orang. Maka dŭngan tulong doa marika itu akan kamu, yang ada rindu akan kamu deri kŭrna anugrah Allah yang amat lempah atas kamu. Shukorlah kiranya kapada Allah deri kŭrna anugrahnya yang tiada tŭrkata kata lagi.
2 KORINTUS 9:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tentang pemberian bantuan kepada orang salih, aku tidak perlu menulis kepadamu, kerana aku tahu kesediaanmu. Malah aku berbangga tentangmu di hadapan orang Makedonia dengan berkata bahawa Akhaya sudah siap memberi sejak tahun lalu; semangatmu telah banyak memberikan perangsang. Aku mengutus saudara-saudara kita itu supaya kebanggaan kami terhadapmu dalam hal ini tidak sia-sia. Oleh itu, kamu hendaklah benar-benar siap sedia, seperti yang telah kukatakan kepada mereka. Kalau ada orang Makedonia yang datang bersama aku dan mereka mendapati kamu belum siap, maka kami (tentulah juga kamu!) akan berasa malu, kerana kami begitu yakin. Dengan demikian aku telah meminta saudara-saudara kita pergi terlebih dahulu menemui kamu dan mengatur pemberian yang telah kamu janjikan itu; biar pemberian itu terkumpul dari kemurahan hatimu, bukan kerana terpaksa. Ingatlah firman ini: Orang yang menyemai sedikit akan menuai sedikit, dan orang yang menyemai banyak akan menuai banyak. Masing-masing hendaklah memberi setulus hati, jangan dengan rasa enggan atau terpaksa, kerana Allah mengasihi orang yang memberi dengan gembira. Allah berkuasa melimpahkan kasih kurnia-Nya kepadamu, supaya kamu dapat memenuhi segala keperluanmu dan berlebihan pula untuk amal kebajikan. Sebagaimana tersurat, “Dia telah menaburkan kurnia-Nya di merata-rata dalam kalangan orang miskin; Perbenaran-Nya kekal selama-lamanya.” Allah telah menyediakan benih untuk disemai dan roti untuk dimakan. Semoga Allah melipatgandakan benih yang telah kamu semai dan memperbanyak buah hasil perbenaranmu, serta memperkaya kamu dalam segala hal, sehingga kamu dapat terus-menerus bermurah hati. Pemberianmu yang disampaikan melalui kami akan menimbulkan rasa syukur kepada Allah. Kerana pekerjaan mulia yang sedang kita usahakan ini bukan sahaja akan menampung kekurangan orang salih, tetapi juga menyebabkan ramai orang mengucap syukur kepada Allah. Melalui pekerjaan mulia ini, kamu membuktikan imanmu dan mereka memuliakan Allah kerana melihat kesetiaan pengakuanmu terhadap Injil Kristus serta kemurahan hati yang kamu tunjukkan dengan pemberian kepada mereka dan semua orang. Mereka berdoa untukmu dan ingin berdamping denganmu kerana kasih kurnia Allah yang melebihi segala-galanya memenuhi dirimu. Segala puji dan syukur kepada Allah kerana kurnia-Nya yang tidak terperikan.