2 KORINTUS 11:1-4,12-15
2 KORINTUS 11:1-4 Alkitab Berita Baik (BM)
Benarkanlah aku bersikap agak bodoh sedikit. Boleh, bukan? Aku mengambil berat tentang kamu, seperti Allah pun mengambil berat tentang kamu. Kamu seperti anak dara yang suci yang sudah aku janjikan untuk dikahwinkan dengan seorang sahaja, iaitu Kristus. Aku khuatir fikiran kamu akan dirosakkan sehingga kamu tidak lagi setia kepada Kristus. Hal itu berlaku kepada Hawa yang ditipu oleh kelicikan ular. Aku lihat betapa relanya kamu menyambut sesiapa sahaja yang datang kepada kamu dan mengkhabarkan berita tentang Yesus yang lain, bukan Yesus yang kami perkenalkan itu. Kamu juga menyambut roh dan berita baik yang sama sekali berlainan dengan Roh Allah dan Berita Baik yang kamu terima daripada kami.
2 KORINTUS 11:12-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Apa yang aku lakukan sekarang akan aku lakukan terus-menerus supaya “rasul-rasul” yang lain itu tidak mempunyai alasan untuk berbangga dan berkata bahawa mereka bekerja seperti kami. Mereka rasul palsu. Mereka berdusta tentang kerja mereka dan mereka menyamar seperti rasul Kristus. Hal itu tidak menghairankan! Iblis pun dapat menyamar seperti malaikat yang gilang-gemilang. Oleh itu, tidaklah menghairankan jika hamba-hamba Iblis menyamar seperti hamba yang melakukan kehendak Allah. Akhirnya mereka akan menerima balasan yang setimpal dengan semua perbuatan mereka.
2 KORINTUS 11:1-4 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
HANDAKLAH kiranya kamu bulih mŭnahani sŭdikit akan bodohku, maka sungguh tahanlah akan daku. Kŭrna aku chŭmbruan akan kamu dŭngan chŭmbruan kŭrna Allah, sŭbab aku tŭlah bŭrtunangkan kamu dŭngan suatu swami, supaya aku kŭlak mŭnghadapkan kamu sa’orang anak darah yang suchi kapada Almasih. Tŭtapi aku takot jangan kŭlak ulih sŭsuatu sŭbab, spŭrti ular tŭlah mŭnipu akan Hawa dŭngan daya upayanya itu, maka dŭmkian pula sŭsatlah sagala ingatan kamu pun kŭlak deripada tulos yang ada dalam Almasih itu. Kŭrna jikalau kiranya ada orang yang datang mŭngajar derihal Isa yang lain, yang bŭlom kami mŭngajar, atau jikalau kamu mŭnŭrima roh yang lain, yang bŭlom kamu mŭnŭrima, atau Injil yang lain yang kamu bŭlom mŭnŭrima dia, maka bulihlah juga kamu sabar akan dia.
2 Korinthus 11:12-15 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Tŭtapi barang apa yang kupŭrbuat itu kupŭrbuat juga, supaya kŭlak aku mŭmutoskan sŭbab akan sagala orang yang mŭnghandaki sŭbab, supaya bagimana marika itu mŭmŭgahkan dirinya, maka iya kŭlak didapati sama dŭngan kami juga. Kŭrna orang orang yang dŭmkian itulah rasul rasul yang dusta, tukang tukang pŭnipu, bŭrubahkan dirinya spŭrti rasul rasul Almasih. Maka iya itu bukannya hieran, kŭrna shietan pun ada mŭngubahkan dirinya spŭrti sa’orang mŭliekat yang suchi. Maka sŭbab itu bukannya suatu pŭrkara bŭsar kalau utus utusannya pun mŭngubahkan dirinya spŭrti utus utusan kabŭnaran, maka kasudahannya itu dibalas kŭlak spŭrti pŭkŭrjaannya juga.
2 KORINTUS 11:1-4 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku harap kamu akan bersabar dengan satu kebodohan kecilku. Sememangnya kamu bersabar denganku. Aku cemburu terhadapmu dengan cemburu ilahi; kerana aku telah menunangkan kamu dengan Kristus dan ingin menyerahkanmu kepada-Nya sebagai anak dara yang suci. Tetapi aku takut kalau-kalau fikiranmu akan dicemari sebagaimana Hawa telah diperdaya oleh ular dengan kepintarannya, sehingga kamu berpaling daripada kesetiaanmu yang murni kepada Kristus. Jika seseorang datang menyebarkan perkhabaran tentang Yesus yang lain daripada yang kami ajarkan; atau kamu memperoleh roh yang lain daripada yang telah kamu peroleh, atau Injil yang lain daripada yang telah kamu terima; mungkin sekali kamu bersabar sahaja terhadapnya.
2 Korintus 11:12-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tetapi aku akan terus melakukan apa yang kulakukan sekarang, untuk menutup peluang bagi mereka yang mencari peluang supaya dianggap sama dengan kami dalam hal-hal yang dibanggakan mereka. Mereka ialah rasul palsu. Mereka berusaha dengan tipu daya dan menyamar sebagai rasul Kristus. Ini tidaklah menghairankan, kerana Iblis sendiri menyamar sebagai malaikat cahaya. Oleh itu, bukanlah suatu hal yang menakjubkan jika pelayan-pelayannya menyamar sebagai pelayan-pelayan yang benar. Akhirnya mereka akan menerima balasan setimpal dengan apa yang dikerjakan mereka.