2 KORINTUS 1:18-22
2 KORINTUS 1:18-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Demi Allah yang dapat dipercayai, janjiku kepada kamu bukanlah “Ya” dan “Tidak.” Hal itu demikian kerana Yesus Kristus, Anak Allah yang diisytiharkan kepada kamu oleh Silas, Timotius dan aku sendiri bukanlah “Ya” dan “Tidak.” Sebaliknya Dia itu jawapan “Ya” daripada Allah, kerana melalui Dia, Allah sudah mengatakan “Ya” kepada semua janji-Nya. Itulah sebabnya melalui Yesus Kristus, kata “Amin” kita ucapkan untuk memuliakan Allah. Allah sendirilah yang menjadikan kami dan kamu teguh bersatu dengan Kristus. Dia juga sudah memilih kita khas untuk diri-Nya sendiri. Untuk mengesahkan kita sebagai milik Allah, Allah mengurniai kita Roh Allah di dalam hati kita. Roh itu jaminan bahawa Allah akan mengurniakan semua yang sudah dijanjikan-Nya kepada kita.
2 KORINTUS 1:18-22 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka adapun bagimana Allah itu bŭnar adanya, bahwa pŭrkataan kami yang datang kapada kamu itupun bukannya iya, bukannya tidak. Kŭrna deri hal Anak Allah, Isa Almasih itu, yang kami mashorkan antara kamu, maskipun ulih aku, dan Silvanus, dan Timothius, bukannya iya, dan bukannya tidak, mŭlainkan dalamnya itu iya adanya. Kŭrna sagala pŭrjanjian Allah dalamnya itu iya adanya, dan dalamnya itu Amin, kapada kamulian Allah deripada kami. Adapun skarang iya itu yang tŭlah mŭnŭtapkan kami bŭsŭrta dŭngan kamu dalam Almasih, dan lagi pun yang tŭlah mŭlantekkan kami, iya itulah Allah adanya. Dan iyalah yang tŭlah mŭmutriekan kami, dan tŭlah mŭngurniakan haluan Roh dalam hati kami.
2 KORINTUS 1:18-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Demi Allah Yang Maha Setia, apa yang kami katakan kepadamu bukanlah “ya” atau “tidak.” Sebabnya Yesus Kristus, Anak Allah yang telah disampaikan berita-Nya kepadamu oleh aku, Silwanus dan Timotius, bukanlah “ya” dan “tidak,” tetapi pada-Nya ada “ya” semata-mata. Yesus adalah “ya” bagi semua janji Allah. Oleh itulah melalui-Nya kita menyebut “Amin” demi kemuliaan Allah. Allah telah menentukan kami bersama kamu dalam Kristus. Dia telah melantik kita, menandakan kita dengan materai-Nya, dan mengurniakan Roh-Nya untuk masuk ke hati kita sebagai jaminan.