2 KORINTUS 1:12-16
2 KORINTUS 1:12-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Kami merasa bangga kerana hati nurani kami meyakinkan kami bahawa hidup kami di dunia ini, terutama sekali hubungan kami dengan kamu, dikuasai oleh keikhlasan dan ketulusan yang dikurniakan oleh Allah. Kami melakukannya bukan dengan kebijaksanaan manusia, tetapi dengan kebolehan yang diberikan oleh Allah. Kami menulis kepada kamu hanya tentang perkara yang dapat kamu baca dan fahami. Aku berharap kamu akan betul-betul memahami kami kelak, walaupun sekarang kamu kurang memahami kami. Dengan demikian pada hari Tuhan Yesus datang kelak, kamu akan bangga dengan kami, seperti kami pun akan bangga dengan kamu. Aku begitu yakin akan semua itu, sehingga pada mulanya aku bercadang hendak melawat kamu, supaya kamu boleh menerima berkat dua kali ganda. Aku bercadang hendak melawat kamu dalam perjalananku ke Makedonia dan juga dalam perjalanan kembali supaya kamu dapat membantu aku meneruskan perjalanan ke Yudea.
2 KORINTUS 1:12-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Kŭrna kasukaan kami dŭmkianlah, bahwa angan angan kami mŭnjadi saksi, ada pun dŭngan tulos dan ekhlas, kŭrna Allah bukannya dŭngan hikmat manusia, mŭlainkan dŭngan hikmat Allah juga, kami tŭlah bŭrlakukan diri kita dalam dunia, maka tŭrutama pula diantara kamu skalian. Kŭrna tiadalah kami tuliskan barang apa yang lain pada kamu, mŭlainkan barang yang kamu bacha atau yang kamu akui; bahwa haraplah aku pula kamu akan mŭngakui, iya itu sampie kapada kasudahannya. Adapun spŭrti kamu pun sudah mŭngaku akan kami sparoh, iya itu kami mŭnjadi kasukaan kamu, dŭmkian lagi kamu pun mŭnjadi kasukaan kami pada hari Tuhan Isa. Maka dŭngan harap dŭmkianlah niatku dahulu handak datang mŭndapatkan kamu supaya kamu bŭrulih fiedah yang kadua; Dan handak mŭlalui nŭgri kamu mŭnuju kaMakadonia, dan balik pula deri Makadonia handak datang kapada kamu, supaya kamu mŭnghantarkan aku kapada pŭrjalananku katanah Yahuda.
2 KORINTUS 1:12-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Inilah kebanggaan kami, dan hati nurani kami bersaksi demikian, iaitu dalam kalangan semua orang, terutamanya dalam kalanganmu, kami hidup di dunia dengan kesucian dan keikhlasan yang datang daripada Allah. Kami melakukan ini bukan dengan kebijaksanaan kami sebagai manusia, tetapi dengan kasih kurnia Allah. Segala yang kami tuliskan kepadamu dalam surat ini tidak mengandungi erti yang lain daripada yang kamu baca dan fahami. Aku berharap bahawa walaupun kamu baru memahami sebahagian tentang diri kami, kamu akan memahami kami sepenuhnya nanti, dan kamu akan berbangga dengan kami sebagaimana kami berbangga dengan kamu pada hari kedatangan Tuhan kita Yesus. Oleh sebab keyakinan itulah maka aku pernah berniat ke tempatmu lebih dahulu, supaya kamu mendapat berkat dua kali. Niatku dahulu ialah singgah di tempatmu dalam perjalanan ke Makedonia, dan dari Makedonia datang ke tempatmu lagi untuk meminta kamu menolongku meneruskan perjalanan ke Yudea.