2 TAWARIKH 7:1-22

2 TAWARIKH 7:1-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Selepas Raja Salomo berdoa, api turun dari langit dan membakar korban-korban yang dipersembahkan, lalu cahaya hadirat TUHAN memenuhi Rumah TUHAN. Oleh sebab Rumah TUHAN penuh dengan cahaya hadirat TUHAN, maka para imam tidak dapat masuk ke dalamnya. Apabila umat Israel nampak api turun dari langit dan cahaya hadirat TUHAN memenuhi Rumah TUHAN, mereka bersujud di lantai lalu menyembah Allah. Mereka memuji Dia bagi kebaikan-Nya dan kasih-Nya yang kekal. Selepas itu Raja Salomo dan segenap umat mempersembahkan korban kepada TUHAN. Raja Salomo mempersembahkan 22,000 ekor lembu dan 120,000 ekor domba sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. Demikianlah Raja Salomo dan segenap umat mentahbiskan Rumah TUHAN. Para imam berdiri di tempat yang ditetapkan bagi mereka, dan orang Lewi berdiri berhadapan dengan mereka. Orang Lewi memuji TUHAN dengan alat-alat muzik yang disediakan oleh Raja Daud, sambil menyanyikan lagu “Kasih-Nya Kekal Abadi!” menurut arahan Raja Daud. Para imam meniup trompet sementara segenap rakyat berdiri. Raja Salomo mentahbiskan bahagian tengah halaman, iaitu di kawasan sebelah depan Rumah TUHAN. Di situ baginda mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban bijirin, dan lemak binatang daripada korban untuk memohon berkat TUHAN. Raja mempersembahkan semuanya di situ kerana mazbah gangsa yang dibuatnya terlalu kecil untuk semua korban itu. Raja Salomo dan segenap umat Israel merayakan Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari. Banyak sekali orang yang datang untuk merayakan perayaan itu. Mereka datang dari daerah sejauh Genting Hamat di utara dan sempadan negeri Mesir di selatan. Mereka berkumpul selama tujuh hari untuk merayakan pentahbisan mazbah, lalu mereka merayakan Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari lagi. Pada hari yang terakhir mereka mengadakan perayaan penutupan. Pada keesokannya, hari kedua puluh tiga bulan ketujuh, Raja Salomo menyuruh semua orang itu pulang. Mereka semua bersukacita kerana berkat-berkat yang telah diberikan TUHAN kepada umat-Nya Israel, kepada Raja Daud, dan Raja Salomo. Apabila Raja Salomo selesai membina Rumah TUHAN dan istana, serta segala yang dirancangkannya, TUHAN menampakkan diri lagi kepada Raja Salomo pada malam hari. Dia berfirman kepada Raja Salomo, “Aku telah mendengar doamu, dan Aku menerima Rumah ini sebagai tempat khas untuk mempersembahkan korban kepada-Ku. Apabila Aku menahan hujan, atau menyuruh belalang memakan habis tanaman, atau mendatangkan wabak kepada umat-Ku, tetapi jika mereka berdoa kepada-Ku lalu bertaubat dan berhenti melakukan perbuatan jahat, maka dari syurga Aku akan mendengarkan mereka, dan mengampunkan dosa mereka, serta menjadikan negeri mereka makmur semula. Aku akan menjaga Rumah-Ku ini dan bersedia mendengarkan semua doa yang diucapkan di sini, kerana Aku telah memilihnya dan mengekhaskannya sebagai tempat orang beribadat kepada-Ku selama-lamanya. Aku akan sentiasa menjaga dan melindunginya. Jika engkau mengabdi kepada-Ku dengan setia seperti bapamu Daud, taat kepada hukum-hukum-Ku, serta melakukan segala yang telah Aku perintahkan kepadamu, Aku akan menepati janji-Ku kepada bapamu Daud, ketika Aku berfirman kepadanya bahawa Israel akan sentiasa diperintah oleh keturunannya. Tetapi jika engkau dan rakyatmu tidak taat kepada hukum dan perintah yang telah Aku berikan kepada kamu, lalu menyembah tuhan-tuhan lain, maka Aku akan membuang kamu dari negeri yang meninggalkan Rumah ini yang telah Kukhaskan sebagai tempat beribadat kepada-Ku. Orang di merata tempat akan mengolok-olok dan menghina Rumah ini. Sekarang Rumah ini sangat dihormati orang, tetapi kelak tiap-tiap orang yang lalu akan hairan dan bertanya, ‘Mengapakah TUHAN berbuat demikian terhadap negeri dan Rumah ini?’ Kemudian orang akan menjawab, ‘Kerana mereka telah meninggalkan TUHAN, Allah mereka, yang telah membawa nenek moyang mereka keluar dari Mesir. Mereka menyembah tuhan-tuhan lain dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain. Itulah sebabnya TUHAN mendatangkan bencana ini kepada mereka.’ ”

2 TAWARIKH 7:1-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah Salomo selesai berdoa, tiba-tiba turunlah api dari langit melahap korban bakaran dan korban-korban sembelihan itu, lalu kemuliaan TUHAN memenuhi bait itu. Para imam tidak dapat memasuki Bait TUHAN kerana kemuliaan TUHAN memenuhi Bait TUHAN itu. Ketika seluruh orang Israel melihat api itu turun dan kemuliaan TUHAN meliputi bait itu, berlututlah mereka di atas lantai batu dengan menyembamkan muka ke tanah. Mereka sujud menyembah dan mengucap syukur kepada TUHAN, “Kerana Dia baik, kasih-Nya kekal selama-lamanya!” Kemudian raja dan seluruh bangsa mempersembahkan korban sembelihan di hadapan TUHAN. Raja Salomo mempersembahkan 22,000 ekor lembu serta 120,000 ekor domba sebagai korban sembelihan. Demikianlah raja dan seluruh umat merasmikan Rumah Allah. Para imam berdiri menurut tugas masing-masing, begitu juga bani Lewi dengan alat-alat muzik untuk memuliakan TUHAN. Alat-alat itu dibuat oleh Raja Daud untuk mengucap syukur kepada TUHAN ketika dia memuji-muji Allah dengan iringan mereka, “Kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya!” Para imam meniup nafiri di hadapan mereka, manakala semua orang Israel berdiri. Selanjutnya Salomo menyucikan bahagian tengah pelataran yang terletak di depan Bait TUHAN. Di situlah dia mempersembahkan korban bakaran dan lemak korban kedamaian, kerana mazbah daripada gangsa yang dibuat oleh Salomo tidak dapat memuat kesemua korban bakaran, persembahan bahan makanan, serta lemak korban itu. Pada waktu itu juga Salomo mengadakan perayaan selama tujuh hari bersama-sama semua orang Israel, yang datang dari jalan masuk Hamat sampai ke Wadi Mesir — suatu jemaah yang sangat besar. Pada hari kelapan mereka mengadakan perhimpunan raya kerana mereka telah merayakan pentahbisan mazbah selama tujuh hari dan perayaan Pondok Daun selama tujuh hari juga. Pada hari kedua puluh tiga pada bulan ketujuh dia melepaskan bangsa itu pulang ke khemah masing-masing dengan gembira dan dengan hati yang riang kerana kebaikan yang telah ditunjukkan TUHAN kepada Daud, kepada Salomo, serta kepada Israel, umat-Nya. Demikianlah Salomo menyelesaikan Bait TUHAN serta istana raja. Dia berhasil melaksanakan segala sesuatu yang terlintas dalam hatinya untuk Bait TUHAN serta istananya. Kemudian TUHAN menampakkan diri kepada Salomo pada malam hari dan berfirman kepadanya, “Aku telah mendengar doamu dan telah memilih bait ini bagi-Ku untuk kaujadikan tempat mempersembahkan korban. Jika Kututup langit sehingga tidak ada hujan, jika Kuperintahkan belalang melahap hasil bumi, dan jika Kulepaskan wabak penyakit di antara umat-Ku, lalu umat-Ku, yang dipanggil atas nama-Ku, merendahkan diri, berdoa, mencari wajah-Ku, dan berpaling daripada jalan mereka yang jahat, maka Aku akan mendengar dari syurga, mengampunkan dosa mereka serta memulihkan negeri mereka. Sekarang mata-Ku terbuka dan telinga-Ku siap mendengar doa yang dipanjatkan di tempat ini. Aku telah memilih dan menyucikan bait ini, supaya nama-Ku tinggal di sana untuk selama-lamanya. Mata-Ku dan hati-Ku akan ada di sana sepanjang masa. Mengenai engkau, jika engkau hidup di hadapan-Ku sama seperti Daud, ayahmu, dan bertindak selaras dengan segala sesuatu yang Kuperintahkan kepadamu, juga berpegang teguh pada segala ketetapan serta segala peraturan-Ku, maka Aku akan meneguhkan takhta kerajaanmu selaras dengan perjanjian yang Kuikat dengan Daud, ayahmu, demikian, ‘Tidak akan terputus keturunanmu yang berkuasa di Israel.’ Akan tetapi, jika kamu (atau para anakmu) berbalik dan meninggalkan ketetapan-ketetapan serta perintah-perintah yang telah Kuberikan kepadamu, lalu pergi beribadat kepada tuhan-tuhan lain dan sujud menyembahnya, maka Aku akan mencabut kamu dari tanah-Ku yang telah Kukurniakan kepadamu, lalu bait yang telah Kusucikan bagi nama-Ku ini akan Kubuang daripada hadirat-Ku dan akan Kujadikan suatu ibarat serta sindiran antara segala bangsa. Setiap orang yang lalu di bait yang ditinggikan ini akan tercengang dan berkata, ‘Mengapa TUHAN berbuat demikian terhadap negeri ini serta terhadap bait ini?’ Lalu orang akan menjawab, ‘Kerana mereka meninggalkan TUHAN, Allah nenek moyang mereka, yang membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Mereka berpaut kepada tuhan-tuhan lain, sujud menyembahnya, dan beribadat kepadanya. Itulah sebabnya Dia mendatangkan segala malapetaka ini kepada mereka.’ ”