2 TAWARIKH 6:1-42

2 TAWARIKH 6:1-42 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Raja Salomo berdoa, “Ya TUHAN, Engkau lebih suka tinggal dalam kegelapan awan. Sekarang aku telah membina sebuah rumah yang megah bagi-Mu, sebagai tempat kediaman-Mu selama-lamanya.” Segenap umat Israel sedang berdiri di sana. Kemudian raja berpaling untuk menghadap mereka, dan memohon Allah memberkati mereka. Raja bertitah, “Terpujilah TUHAN, Allah Israel! Dia telah menepati janji yang dibuat-Nya kepada ayahanda beta, Raja Daud, ketika Dia berfirman kepada Raja Daud demikian, ‘Semenjak Aku membawa umat-Ku keluar dari Mesir, Aku belum pernah memilih kota mana pun di seluruh Israel sebagai tempat pembinaan sebuah rumah, tempat beribadat kepada-Ku, dan Aku tidak pernah memilih sesiapa pun untuk memimpin umat-Ku Israel. Tetapi sekarang Aku telah memilih Yerusalem sebagai tempat beribadat kepada-Ku, dan engkau hai Daud, akan memerintah umat-Ku.’ ” Raja Salomo bertitah lagi, “Ayahanda beta, Raja Daud, bercadang untuk membina sebuah rumah sebagai tempat beribadat kepada TUHAN, Allah Israel. Tetapi TUHAN berfirman kepadanya, ‘Maksudmu untuk membina sebuah rumah bagi-Ku memang baik, tetapi engkau tidak akan membinanya. Anakmu, anakmu sendiri, akan membina rumah-Ku.’ Sekarang TUHAN telah menepati janji-Nya. Beta telah menggantikan ayahanda beta sebagai raja Israel dan beta telah membina sebuah rumah sebagai tempat beribadat kepada TUHAN, Allah Israel. Beta telah meletakkan Tabut Perjanjian di dalam Rumah TUHAN, Tabut yang mengandungi batu-batu perjanjian yang dibuat antara TUHAN dengan umat Israel.” Kemudian di hadapan rakyat, Raja Salomo berdiri menghadap mazbah. Baginda mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdoa. ( Raja Salomo telah membina sebuah pentas daripada gangsa dan meletakkannya di tengah-tengah halaman itu. Ukurannya 2.2 meter persegi, dan tingginya 1.3 meter. Di hadapan semua orang yang hadir, baginda naik ke atas pentas itu lalu berlutut. Kemudian baginda mengangkat kedua-dua tangannya ke langit.) Baginda berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, tiada yang seperti Engkau di langit atau di bumi. Engkau menepati perjanjian-Mu dengan umat-Mu, dan Engkau menunjukkan kasih-Mu kepada mereka apabila mereka taat kepada-Mu dengan segenap hati. Engkau telah menepati janji-Mu kepada bapaku Daud. Pada hari ini, Engkau menepati apa yang telah Engkau janjikan. Oleh itu, ya TUHAN, Allah Israel, tepatilah juga janji yang satu lagi kepada bapaku. Engkau berfirman kepadanya bahawa daripada keturunannya, akan sentiasa ada seorang untuk memerintah sebagai raja Israel, asalkan mereka taat kepada Taurat-Mu seperti Raja Daud. Oleh itu, ya TUHAN, Allah Israel, tepatilah semua yang telah Engkau janjikan kepada bapaku Raja Daud, hamba-Mu itu. Tetapi, ya Allah, sungguhkah Engkau sudi tinggal di bumi ini, di kalangan manusia? Bahkan seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu, apalagi Rumah yang telah aku bina! Ya TUHAN, Allahku, aku hamba-Mu. Dengarkanlah doaku, dan kabulkanlah permohonanku. Lindungilah Rumah ini siang dan malam. Engkau telah berjanji bahawa inilah tempat orang beribadat kepada-Mu. Dengarkanlah aku apabila aku menghadap Rumah ini dan berdoa kepada-Mu. Dengarkanlah doaku dan doa umat-Mu Israel apabila mereka menghadap tempat ini dan berdoa. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah kami dan ampunilah kami. Apabila seseorang dituduh bersalah terhadap orang lain, lalu disuruh bersumpah di hadapan mazbah di Rumah ini bahawa dia tidak bersalah, dengarkanlah, ya TUHAN dari syurga, dan adililah hamba-hamba-Mu. Hukumlah orang yang bersalah dan bebaskanlah orang yang tidak bersalah. Apabila umat-Mu Israel dikalahkan oleh musuh kerana mereka telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka kembali kepada-Mu dan datang ke Rumah ini serta berdoa kepada-Mu dengan rendah hati dan minta diampuni, semoga Engkau di syurga mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa umat-Mu, dan bawalah mereka kembali ke negeri yang telah Engkau berikan kepada mereka dan nenek moyang mereka. Apabila Engkau menahan hujan kerana umat-Mu telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka bertaubat dan menghadap Rumah ini serta berdoa kepada-Mu dengan rendah hati, ya TUHAN di syurga, kabulkanlah permintaan mereka dan ampunkanlah dosa hamba-hamba-Mu, umat Israel. Ajarlah mereka melakukan apa yang benar, lalu turunkanlah hujan ke atas negeri-Mu ini, yang telah Engkau berikan kepada umat-Mu sebagai pusaka mereka selama-lamanya. Apabila kebuluran atau wabak berlaku di negeri ini, atau tanaman musnah kerana angin panas, hama, atau serangan belalang; ataupun apabila umat-Mu diserang oleh musuh, atau penyakit, dengarkanlah doa mereka. Jika ada orang di kalangan umat-Mu Israel, dengan bersedih hati mengangkat tangan dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap Rumah ini, dengarkanlah doa mereka. Dengarkanlah mereka dari tempat kediaman-Mu di syurga dan ampunilah mereka. Hanya Engkau yang mengetahui isi hati manusia. Oleh itu perlakukanlah setiap orang setimpal dengan perbuatannya, supaya umat-Mu takut dan taat kepada-Mu selama mereka tinggal di negeri yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami. Apabila seorang bangsa asing yang tinggal di negeri jauh mendengar tentang keagungan dan kekuatan-Mu, dan bahawa Engkau sentiasa sedia bertindak, lalu dia datang ke Rumah ini dan berdoa kepada-Mu, dengarkanlah doanya. Dengarkanlah dia dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan kabulkanlah permintaannya, supaya semua bangsa di dunia mengenal Engkau dan taat kepada-Mu, seperti umat-Mu Israel. Barulah mereka tahu bahawa Rumah yang telah aku bina ini ialah tempat untuk beribadat kepada-Mu. Apabila Engkau memerintah umat-Mu bertempur untuk melawan musuh, dan mereka berdoa kepada-Mu di mana sahaja mereka berada, sambil menghadap kota yang telah Engkau pilih dan Rumah yang telah aku bina untuk-Mu, dengarkanlah doa mereka. Engkau yang di syurga, dengarkanlah mereka, dan berilah mereka kemenangan. Apabila umat-Mu berdosa terhadap-Mu - kerana tiada sesiapa pun yang tidak berdosa - dan kerana kemurkaan-Mu Engkau membiarkan mereka dikalahkan, ditawan oleh musuh, dan dibawa ke negeri lain, walaupun negeri itu jauh, dengarkanlah doa umat-Mu. Jika mereka bertaubat dan berdoa kepada-Mu di negeri itu, serta mengaku bahawa mereka telah berdosa dan berbuat jahat, dengarkanlah doa mereka, ya TUHAN. Jika di negeri itu mereka bertaubat dengan tulus dan ikhlas, dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap ke arah negeri ini yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami, dan ke arah kota yang telah Engkau pilih, serta Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu, dengarkanlah doa mereka. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah mereka dan kasihanilah mereka. Ampunkanlah semua dosa umat-Mu. Sekarang, ya Allahku, pandanglah kami dan dengarkanlah doa yang disampaikan kepada-Mu di tempat ini. Bangkitlah sekarang, ya TUHAN Allah, dan dengan Tabut Perjanjian lambang kekuasaan-Mu itu, masuklah ke Rumah ini dan tinggallah di sini selama-lamanya. Berkatilah para imam-Mu dalam segala pekerjaan mereka, dan semoga segenap umat-Mu bersukacita kerana kebaikan-Mu kepada mereka. Ya TUHAN Allah, janganlah tolak raja yang telah Engkau pilih. Ingatlah akan kasih-Mu kepada hamba-Mu Daud.”

2 TAWARIKH 6:1-42 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada waktu itu berkatalah Salomo, “TUHAN telah berfirman bahawa Dia bersemayam dalam kelam pekat. Aku telah membina bait agung bagi hadirat-Mu, tempat Engkau hadir selama-lamanya.” Kemudian raja berpaling dan memohonkan berkat untuk seluruh jemaah Israel, ketika seluruh jemaah Israel berdiri. Dia berkata, “Segala puji bagi TUHAN, Allah Israel! Dia sendiri telah berfirman kepada Daud, ayahku, dan telah menggenapinya dengan kuasa-Nya. Firman-Nya, ‘Sejak Aku membawa umat-Ku keluar dari Tanah Mesir, tidak ada kota yang Kupilih di antara semua suku Israel untuk membina sebuah bait supaya nama-Ku tinggal di sana, dan tidak ada orang yang Kupilih untuk menjadi pemimpin atas umat-Ku Israel. Tetapi kemudian Aku memilih Yerusalem supaya nama-Ku tinggal di sana, dan Aku memilih Daud untuk mengepalai umat-Ku Israel.’ Daud, ayahku, berniat membina sebuah bait bagi nama TUHAN, Allah Israel, Tetapi TUHAN berfirman kepada Daud, ayahku, ‘Niatmu untuk membina bait bagi nama-Ku itu memang baik. Akan tetapi, bukan engkau yang akan membina bait itu, melainkan anak kandungmu yang akan lahir kelak. Dialah yang akan membina bait bagi nama-Ku.’ Sekarang TUHAN telah menepati firman yang disampaikan-Nya, kerana aku telah bangkit untuk menggantikan Daud, ayahku. Aku telah duduk di atas takhta kerajaan Israel, seperti yang difirmankan TUHAN, dan telah membina bait bagi nama TUHAN, Allah Israel. Di sana telah kutempatkan tabut berisi perjanjian TUHAN, yang diikat-Nya dengan orang Israel.” Salomo berdiri menghadap mazbah TUHAN, di hadapan seluruh jemaah Israel, lalu menadahkan tangannya. Memang Salomo telah membuat mimbar gangsa yang sepanjang lima hasta, selebar lima hasta, dan setinggi tiga hasta. Dia meletakkan mimbar itu di tengah-tengah halaman, berdiri di atasnya, lalu berlutut di hadapan seluruh jemaah Israel sambil menadahkan tangannya ke langit. Katanya, “Ya TUHAN, Allah Israel, tidak ada Allah yang seperti Engkau, baik di langit mahupun di bumi. Engkau berpegang teguh pada perjanjian dan kasih abadi bagi hamba-hamba-Mu yang hidup di hadapan-Mu dengan segenap hati mereka. Engkau yang berpegang teguh pada apa yang Kaujanjikan kepada hamba-Mu Daud, ayahku. Engkau sendiri telah berfirman lalu mengotakannya dengan kuasa-Mu, seperti yang terjadi pada hari ini. Sekarang, ya TUHAN, Allah Israel, peganglah apa yang telah Kaujanjikan kepada hamba-Mu Daud, ayahku, dengan berfirman, ‘Di hadapan-Ku, tidak akan terputus keturunanmu yang akan duduk di atas takhta kerajaan Israel, asalkan anak-anakmu tetap hidup menurut hukum Taurat, sebagaimana engkau telah hidup di hadapan-Ku.’ Sekarang, ya TUHAN, Allah Israel, biarlah terbukti firman yang Kausampaikan kepada hamba-Mu Daud. Akan tetapi, sungguhkah Allah mahu tinggal bersama-sama manusia di atas bumi? Sesungguhnya, langit bahkan langit di atas segala langit pun tidak dapat memuat Engkau, apa lagi bait yang kubangunkan ini! Tiliklah doa dan permohonan hamba-Mu ini, ya TUHAN, Allahku. Dengarlah seruan dan doa yang hamba-Mu panjatkan di hadirat-Mu ini. Semoga siang dan malam mata-Mu terbuka terhadap bait ini, terhadap tempat yang Kaufirmankan bahawa Engkau akan menegakkan nama-Mu di sini. Dengarlah doa yang dipanjatkan hamba-Mu dengan menghadap ke tempat ini. Dengarlah kiranya permohonan hamba-Mu dan umat-Mu Israel ketika mereka berdoa dengan menghadap ke tempat ini. Dengarlah dari tempat tinggal-Mu di syurga, dan ampunilah kami ketika Engkau mendengarkannya. Jika seseorang berdosa terhadap sesamanya, dia harus mengangkat sumpah, dan datang bersumpah di depan mazbah-Mu di bait ini, maka dengarlah kiranya di syurga dan bertindaklah. Adililah hamba-hamba-Mu, balaslah orang yang bersalah, dan timpakanlah perbuatannya pada dirinya sendiri. Pertahankanlah orang benar, dan ganjarlah dia selaras dengan perbenarannya. Jika umat-Mu Israel dikalahkan oleh musuh kerana mereka berdosa terhadap Engkau, kemudian mereka berbalik kepada-Mu, mengakui keagungan nama-Mu, berdoa, dan memohon belas kasihan di hadapan-Mu di bait ini, maka dengarlah kiranya di syurga. Ampunkanlah dosa umat-Mu Israel dan bawalah mereka kembali ke tanah yang telah Kaukurniakan kepada mereka serta nenek moyang mereka. Apabila langit tertutup dan hujan tidak kunjung turun kerana mereka telah berdosa terhadap Engkau, lalu mereka berdoa dengan menghadap ke tempat ini, mengakui keagungan nama-Mu, dan berbalik daripada dosa mereka kerana Engkau telah menindas mereka, maka dengarlah kiranya di syurga. Ampunkanlah dosa hamba-hamba-Mu dan umat-Mu, Israel — kerana Engkaulah yang mengajar mereka jalan baik yang patut ditempuh mereka — dan turunkanlah hujan ke tanah-Mu, yang telah Kaukurniakan kepada umat-Mu sebagai harta pusaka. Jika ada bencana kebuluran di negeri, penyakit sampar, kelayuan tanaman, penyakit bijirin, belalang besar, dan belalang pemusnah; jika musuh mengepung salah sebuah kota di negeri mereka; jika ada wabak atau penyakit apa-apa pun, lalu seseorang atau seluruh umat-Mu Israel memanjatkan suatu doa atau permohonan sambil menadahkan tangan dengan menghadap ke bait ini kerana masing-masing mengetahui kesusahan dan penderitaan sendiri, maka dengarlah dari tempat tinggal-Mu di syurga. Ampunilah, dan balaslah setiap orang selaras dengan segala jalan hidupnya kerana Engkau mengetahui isi hatinya — hanya Engkaulah yang mengetahui isi hati anak-anak manusia. Dengan demikian mereka akan takut kepada-Mu dan hidup menurut jalan-Mu selama mereka hidup di tanah yang telah Kaukurniakan kepada nenek moyang kami. Juga bagi orang asing yang tidak termasuk umat-Mu Israel, yang datang dari negeri jauh kerana nama-Mu yang besar, tangan-Mu yang perkasa, dan lengan-Mu yang terhulur, apabila dia datang berdoa dengan menghadap ke bait ini, maka dengarlah kiranya dari syurga, tempat tinggal-Mu. Bertindaklah selaras dengan semua yang diserukan kepada-Mu oleh orang asing itu. Dengan demikian, segala bangsa di bumi dapat mengenal nama-Mu serta takut kepada-Mu seperti umat-Mu, Israel, dan mereka tahu bahawa nama-Mu diserukan atas bait yang kubangunkan ini. Jika umat-Mu maju berperang melawan musuh-musuh mereka, ke mana-mana pun Kausuruh mereka, dan jika mereka berdoa kepada-Mu dengan berkiblat ke kota yang Kaupilih serta ke bait yang kubangunkan bagi nama-Mu, maka dengarlah kiranya di syurga doa dan permohonan mereka. Belalah perkara mereka. Jika mereka berdosa terhadap Engkau — kerana tidak ada manusia yang tidak berdosa — dan Engkau murka terhadap mereka serta menyerahkan mereka kepada musuh sehingga mereka dibuang sebagai tawanan ke negeri yang jauh atau yang dekat, dan jika mereka sedar akan diri di negeri tempat mereka tertawan, lalu berbalik serta memohon belas kasihan kepada-Mu di negeri tempat mereka tertawan itu dengan berkata, ‘Kami telah berdosa, bersalah, dan berbuat fasiq;’ jika mereka berbalik kepada-Mu dengan segenap hati dan dengan segenap jiwa di negeri tempat mereka tertawan, iaitu tempat kalangan yang menawan mereka; dan jika mereka berdoa dengan berkiblat ke negeri yang telah Kaukurniakan kepada nenek moyang mereka, ke kota yang telah Kaupilih, serta ke bait yang telah kubangunkan bagi nama-Mu, maka dengarlah kiranya doa dan permohonan mereka dari tempat tinggal-Mu di syurga. Belalah perkara mereka, dan ampunilah umat-Mu yang telah berdosa terhadap Engkau. Sekarang, ya Allahku, biarlah mata-Mu terbuka dan telinga-Mu mendengar doa yang dipanjatkan di tempat ini: Ya TUHAN Allah, segeralah hadir di tempat Engkau bersemayam, Engkau dengan tabut kekuatan-Mu. Biarlah para imam-Mu, ya TUHAN Allah, menyarungkan penyelamatan, dan biarlah orang salih-Mu bersorak-sorai kerana kebaikan-Mu. Ya TUHAN Allah, janganlah berpaling daripada orang yang telah Kaulantik. Ingatlah kasih abadi-Mu kepada Daud, hamba-Mu itu.”