2 TAWARIKH 6:1-11

2 TAWARIKH 6:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Raja Salomo berdoa, “Ya TUHAN, Engkau lebih suka tinggal dalam kegelapan awan. Sekarang aku telah membina sebuah rumah yang megah bagi-Mu, sebagai tempat kediaman-Mu selama-lamanya.” Segenap umat Israel sedang berdiri di sana. Kemudian raja berpaling untuk menghadap mereka, dan memohon Allah memberkati mereka. Raja bertitah, “Terpujilah TUHAN, Allah Israel! Dia telah menepati janji yang dibuat-Nya kepada ayahanda beta, Raja Daud, ketika Dia berfirman kepada Raja Daud demikian, ‘Semenjak Aku membawa umat-Ku keluar dari Mesir, Aku belum pernah memilih kota mana pun di seluruh Israel sebagai tempat pembinaan sebuah rumah, tempat beribadat kepada-Ku, dan Aku tidak pernah memilih sesiapa pun untuk memimpin umat-Ku Israel. Tetapi sekarang Aku telah memilih Yerusalem sebagai tempat beribadat kepada-Ku, dan engkau hai Daud, akan memerintah umat-Ku.’ ” Raja Salomo bertitah lagi, “Ayahanda beta, Raja Daud, bercadang untuk membina sebuah rumah sebagai tempat beribadat kepada TUHAN, Allah Israel. Tetapi TUHAN berfirman kepadanya, ‘Maksudmu untuk membina sebuah rumah bagi-Ku memang baik, tetapi engkau tidak akan membinanya. Anakmu, anakmu sendiri, akan membina rumah-Ku.’ Sekarang TUHAN telah menepati janji-Nya. Beta telah menggantikan ayahanda beta sebagai raja Israel dan beta telah membina sebuah rumah sebagai tempat beribadat kepada TUHAN, Allah Israel. Beta telah meletakkan Tabut Perjanjian di dalam Rumah TUHAN, Tabut yang mengandungi batu-batu perjanjian yang dibuat antara TUHAN dengan umat Israel.”

2 TAWARIKH 6:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada waktu itu berkatalah Salomo, “TUHAN telah berfirman bahawa Dia bersemayam dalam kelam pekat. Aku telah membina bait agung bagi hadirat-Mu, tempat Engkau hadir selama-lamanya.” Kemudian raja berpaling dan memohonkan berkat untuk seluruh jemaah Israel, ketika seluruh jemaah Israel berdiri. Dia berkata, “Segala puji bagi TUHAN, Allah Israel! Dia sendiri telah berfirman kepada Daud, ayahku, dan telah menggenapinya dengan kuasa-Nya. Firman-Nya, ‘Sejak Aku membawa umat-Ku keluar dari Tanah Mesir, tidak ada kota yang Kupilih di antara semua suku Israel untuk membina sebuah bait supaya nama-Ku tinggal di sana, dan tidak ada orang yang Kupilih untuk menjadi pemimpin atas umat-Ku Israel. Tetapi kemudian Aku memilih Yerusalem supaya nama-Ku tinggal di sana, dan Aku memilih Daud untuk mengepalai umat-Ku Israel.’ Daud, ayahku, berniat membina sebuah bait bagi nama TUHAN, Allah Israel, Tetapi TUHAN berfirman kepada Daud, ayahku, ‘Niatmu untuk membina bait bagi nama-Ku itu memang baik. Akan tetapi, bukan engkau yang akan membina bait itu, melainkan anak kandungmu yang akan lahir kelak. Dialah yang akan membina bait bagi nama-Ku.’ Sekarang TUHAN telah menepati firman yang disampaikan-Nya, kerana aku telah bangkit untuk menggantikan Daud, ayahku. Aku telah duduk di atas takhta kerajaan Israel, seperti yang difirmankan TUHAN, dan telah membina bait bagi nama TUHAN, Allah Israel. Di sana telah kutempatkan tabut berisi perjanjian TUHAN, yang diikat-Nya dengan orang Israel.”