2 TAWARIKH 3:1-14
2 TAWARIKH 3:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Raja Daud, ayahanda Raja Salomo, telah menyediakan tapak bagi Rumah TUHAN. Tapak itu di Yerusalem, di atas Bukit Moria, yang telah digunakan oleh Arauna, orang Yebusi itu, sebagai tempat mengirik gandum. Di situ TUHAN telah menyatakan diri kepada Raja Daud. Raja Salomo memulakan pembinaan pada bulan kedua tahun keempat pemerintahannya. Rumah TUHAN yang dibina oleh Raja Salomo itu panjangnya 27 meter dan lebarnya 9 meter. Bilik depan lebarnya sama dengan lebar Rumah TUHAN, iaitu 9 meter, dan tingginya 54 meter. Bahagian dalam bilik itu dilapisi emas tulen. Bilik utamanya dilapisi kayu sedar, lalu dilapis lagi dengan emas tua. Pada lapisan emas itu terdapat ukiran pokok-pokok palma dan untaian rantai. Raja Salomo menghias Rumah TUHAN dengan batu-batu permata yang indah dan dengan emas yang diimport dari tanah Parwaim. Baginda menggunakan emas itu untuk melapisi dinding-dinding, kasau-kasau, ambang-ambang pintu, dan pintu-pintu Rumah TUHAN. Pada dindingnya para pengukir mengukir gambar-gambar kerub. Bilik sebelah dalam, yang disebut Bilik Maha Suci, panjangnya 9 meter, dan lebarnya juga 9 meter, iaitu selebar Rumah TUHAN. Dinding Bilik Maha Suci dilapisi emas yang beratnya lebih daripada 20 tan, dan 570 gram emas digunakan untuk membuat paku. Dinding bilik-bilik di tingkat atas juga dilapisi emas. Raja juga memerintah tukang-tukangnya untuk membuat dua buah patung kerub daripada logam, lalu melapisi kedua-duanya dengan emas, dan meletakkannya di Bilik Maha Suci. Di situ patung-patung kerub itu didirikan dengan berdampingan dan menghadap pintu. Kedua-duanya mempunyai dua sayap, dan setiap sayap panjangnya 2.2 meter. Sayap-sayap itu terbentang sehingga hujungnya saling bersentuhan di tengah-tengah bilik, dan hujung di sebelah lain mengenai dinding di sebelah-menyebelah bilik itu. Sayap-sayap itu terbentang selebar 9 meter, iaitu selebar bilik itu. Tirai untuk Bilik Maha Suci itu dibuat daripada kain linen dan kain-kain lain yang berwarna biru, ungu, dan merah; tirai itu bersulamkan gambar-gambar kerub.
2 TAWARIKH 3:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian Salomo memulakanlah pembinaan Bait TUHAN di tempat yang telah disediakan Daud, iaitu di tempat pembantingan Ornan orang Yebus di Yerusalem, Gunung Moria. Di situlah dahulu Allah menampakkan diri kepada Daud, ayahnya. Pembinaan dimulai oleh Salomo pada hari kedua pada bulan kedua dalam tahun keempat pemerintahannya. Inilah ukuran bagi asas Rumah Allah yang dibangunkan Salomo: Panjangnya enam puluh hasta, menurut ukuran hasta lama, dan lebarnya dua puluh hasta. Manakala serambi di depan bait itu sepanjang dua puluh hasta, menurut lebar bait itu, dan setinggi seratus dua puluh hasta. Dia menyalut bahagian dalam bait itu dengan emas tulen. Kemudian dipapankannya ruang besar dengan kayu sanubar, yang disalut dengan emas mutu tinggi, lalu padanya dipasang hiasan pokok kurma dan untaian rantai. Ruang itu dihiasinya dengan segala jenis batu permata mahal-mahal, sedangkan emasnya ialah emas dari Parwaim. Demikianlah dia menyalut ruang itu dengan emas — segala alangnya, bendulnya, dindingnya, dan pintunya. Pada dinding-dindingnya diukirnya malaikat kerubin. Selanjutnya dibuatnya Tempat Yang Maha Suci. Panjangnya 20 hasta, menurut lebar bait itu, dan lebarnya pun 20 hasta. Dia menyaluti ruang itu dengan emas mutu tinggi seberat 600 talenta. Berat paku-pakunya ialah 50 syikal emas. Dia juga menyalut bilik-bilik atas dengan emas. Dalam Tempat Yang Maha Suci itu dibuatnya dua pahatan malaikat kerubin yang kemudian disaluti emas. Sayap malaikat-malaikat kerubin itu sepanjang 20 hasta. Sebelah sayap daripada malaikat kerubin pertama sepanjang lima hasta, menyentuh dinding bait sebelah sini, sedangkan sayapnya yang sebelah lagi, sepanjang lima hasta juga, menyentuh sayap malaikat kerubin kedua. Demikian jugalah sebelah sayap daripada malaikat kerubin kedua itu sepanjang lima hasta, menyentuh dinding bait sebelah sana, sedang sayapnya yang sebelah lagi, sepanjang lima hasta juga, bersinggungan dengan sayap malaikat kerubin pertama. Sayap kedua-dua malaikat kerubin itu terkembang sepanjang 20 hasta. Kedua-dua malaikat itu tegak di atas kakinya dan menghadap ke ruang besar. Selain itu dibuatnya tabir daripada kain biru, kain ungu, kain kirmizi, dan linen halus, lalu dipasangnya hiasan malaikat-malaikat kerubin pada tabir itu.