2 TAWARIKH 20:5-12,15
2 TAWARIKH 20:5-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Bersama-sama penduduk Yerusalem, mereka berkumpul di halaman baru di Rumah TUHAN. Raja Yosafat berdiri di hadapan rakyat lalu berdoa dengan suara kuat, “Ya TUHAN, Allah nenek moyang kami, dari takhta-Mu di syurga, Engkau memerintah bangsa-bangsa di bumi ini. Engkau berkuasa dan perkasa! Tiada sesiapa pun dapat melawan Engkau. Engkaulah Allah kami. Ketika umat-Mu Israel pindah ke negeri ini, Engkau mengusir bangsa yang tinggal di sini dan memberikan tanah ini kepada keturunan Abraham, sahabat-Mu, untuk menjadi pusaka mereka selama-lamanya. Mereka sudah tinggal di sini dan membina sebuah rumah ibadat untuk menghormati Engkau. Mereka tahu bahawa jika mereka dihukum dengan bencana, sama ada peperangan, wabak, atau kelaparan, mereka dapat datang kepada-Mu dan berdiri di hadapan rumah ibadat ini. Ketika dalam kesusahan, mereka dapat berdoa kepada-Mu dan Engkau akan mendengar serta menolong mereka. Sekarang orang Amon, Moab, dan Edom menyerang kami. Ketika nenek moyang kami keluar dari Mesir dahulu, Engkau tidak membenarkan mereka masuk ke negeri-negeri itu. Oleh itu mereka mengambil jalan keliling dan tidak membinasakan bangsa-bangsa itu. Sekarang lihatlah cara mereka membalas kami - mereka datang untuk mengusir kami dari tanah yang Engkau berikan kepada kami. Engkaulah Allah kami! Hukumlah mereka, kerana kami tidak berdaya melawan tentera besar yang menyerang kami. Kami tidak tahu apa yang harus kami lakukan, tetapi kami datang kepada-Mu meminta tolong.”
2 TAWARIKH 20:15 Alkitab Berita Baik (BM)
Yahaziel berkata, “Tuanku dan semua penduduk Yehuda dan Yerusalem, TUHAN berfirman bahawa kamu tidak boleh putus asa atau takut menghadapi pasukan yang besar ini, kerana yang bertempur bukan kamu, melainkan Allah.
2 TAWARIKH 20:5-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian Yosafat berdiri di tengah-tengah jemaah Yehuda dan Yerusalem di Bait TUHAN, di depan pelataran yang baru. Dia berkata, “Ya TUHAN, Allah nenek moyang kami, bukankah Engkau Allah di syurga? Bukankah Engkau berkuasa atas segala kerajaan bangsa-bangsa? Di tangan-Mu ada kuasa dan keperkasaan, sehingga tidak ada yang dapat bertahan melawan Engkau. Ya Allah kami, bukankah Engkau yang menghalau penduduk negeri ini dari hadapan umat-Mu Israel dan mengurniakannya kepada keturunan Abraham, sahabat-Mu itu, untuk selama-lamanya? Mereka telah menetap di sini dan membina tempat suci bagi nama-Mu. Kata mereka, ‘Jika malapetaka, iaitu pedang, hukuman, wabak penyakit, atau bencana kebuluran menimpa kami, maka kami akan berdiri di depan Bait ini dan di hadapan-Mu, kerana nama-Mu ditegakkan di dalam Bait ini. Kami akan berseru kepada-Mu dalam keperitan kami, dan Engkau akan mendengar serta menyelamatkan kami.’ Sekarang, lihatlah bani Amon, Moab, dan orang Pergunungan Seir ini! Engkau tidak mengizinkan orang Israel mendatangi mereka ketika mereka keluar dari Tanah Mesir, sehingga orang Israel menyingkir mereka dan tidak membinasakan mereka. Tetapi lihatlah, sebagai balasan mereka terhadap kami, mereka datang untuk menghalau kami dari tanah milik-Mu yang telah Kauwariskan kepada kami. Ya Allah kami, masakan Engkau tidak menghukum mereka? Kami tidak punya kekuatan untuk menghadapi pasukan besar yang datang menyerang kami ini. Kami tidak tahu apa yang harus kami lakukan, tetapi mata kami tertuju kepada-Mu.”
2 Tawarikh 20:15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dia berkata, “Dengarlah, wahai semua orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, juga Tuanku Raja Yosafat! Beginilah firman TUHAN kepadamu, ‘Jangan takut dan jangan kecut hati dengan pasukan besar itu, kerana bukan kamu yang akan berperang melainkan Allah.