2 TAWARIKH 20:21-26
2 TAWARIKH 20:21-26 Alkitab Berita Baik (BM)
Setelah berunding dengan rakyat, raja memerintah beberapa orang penyanyi supaya memakai pakaian yang biasanya dipakai pada upacara-upacara agama. Para penyanyi itu mesti berjalan di hadapan tentera sambil menyanyi, “Pujilah TUHAN! Kasih-Nya kekal abadi!” Apabila mereka mula menyanyi, TUHAN menimbulkan kekacauan di tengah-tengah musuh yang hendak menyerang mereka. Tentera Amon dan Moab menyerang tentera Edom dan memusnahkannya sama sekali. Kemudian mereka pula menyerang satu sama lain dengan sengit. Apabila tentera Yehuda sampai di sebuah menara di padang gurun, mereka memandang ke arah musuh dan nampak semua musuh mati terlentang di tanah. Tiada seorang pun daripada tentera musuh yang hidup. Raja Yosafat dan tenteranya pergi menjarah harta barang-barang musuh. Mereka mendapat banyak ternakan, bekalan, pakaian, dan barang-barang berharga. Selama tiga hari mereka mengumpulkan barang jarahan itu, tetapi mereka tidak dapat mengambil semuanya kerana barang-barang itu terlalu banyak. Pada hari keempat, mereka berkumpul di Lembah Beraka, lalu memuji TUHAN bagi segala yang telah dilakukan-Nya. Itulah sebabnya lembah itu dinamakan Lembah Beraka.
2 TAWARIKH 20:21-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah berunding dengan rakyat, dia mengangkat kalangan yang akan menyanyi bagi TUHAN dan memuji Dia dengan pakaian suci sambil berjalan di depan kalangan yang bersenjata; demikianlah nyanyian mereka, “Mengucap syukurlah kepada TUHAN, kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya.” Pada waktu mereka mulai bersorak-sorai dan menyanyikan puji-pujian, TUHAN mengadakan pengadangan terhadap bani Amon, bani Moab, dan orang Pergunungan Seir yang datang menyerang Yehuda, sehingga mereka semua dikalahkan. Bani Amon dan Moab bangkit melawan penduduk Pergunungan Seir lalu menumpas dan membinasakan mereka. Setelah memusnahkan penduduk Seir, mereka saling membinasakan sesama sendiri. Ketika orang Yehuda sampai ke tempat peninjauan di gurun dan memandang ke arah pasukan itu, tampaklah mayat bergelimpangan di tanah. Tidak ada yang terselamat. Kemudian Yosafat dan pasukannya datang untuk menjarah barang-barang musuh. Mereka mendapati banyak harta benda di situ, juga barang-barang berharga. Semuanya diambil mereka bagi diri mereka sendiri sampai mereka tidak dapat membawanya lagi. Tiga hari lamanya mereka menjarah barang-barang itu kerana begitu banyaknya. Pada hari keempat mereka berkumpul di Lembah Berkat, lalu di sana mereka memuji-muji TUHAN. Itulah sebabnya tempat itu dinamai Lembah Berkat sampai hari ini.