2 TAWARIKH 20:1-23

2 TAWARIKH 20:1-23 Alkitab Berita Baik (BM)

Beberapa lama kemudian, tentera Moab dan Amon bersama-sama sekutu mereka, tentera Meunim, menyerang Yehuda. Beberapa orang utusan menghadap Raja Yosafat dan memberitahu baginda, “Angkatan perang yang besar dari Edom telah datang dari seberang Laut Mati untuk menyerang tuanku. Mereka telah merebut Hazezon-Tamar.” (Hazezon-Tamar ialah nama lain bagi En-Gedi.) Raja Yosafat takut lalu berdoa kepada TUHAN meminta petunjuk. Kemudian baginda memerintah penduduk negeri supaya berpuasa. Dari tiap-tiap kota di Yehuda, rakyat pergi ke Yerusalem untuk minta pertolongan daripada TUHAN. Bersama-sama penduduk Yerusalem, mereka berkumpul di halaman baru di Rumah TUHAN. Raja Yosafat berdiri di hadapan rakyat lalu berdoa dengan suara kuat, “Ya TUHAN, Allah nenek moyang kami, dari takhta-Mu di syurga, Engkau memerintah bangsa-bangsa di bumi ini. Engkau berkuasa dan perkasa! Tiada sesiapa pun dapat melawan Engkau. Engkaulah Allah kami. Ketika umat-Mu Israel pindah ke negeri ini, Engkau mengusir bangsa yang tinggal di sini dan memberikan tanah ini kepada keturunan Abraham, sahabat-Mu, untuk menjadi pusaka mereka selama-lamanya. Mereka sudah tinggal di sini dan membina sebuah rumah ibadat untuk menghormati Engkau. Mereka tahu bahawa jika mereka dihukum dengan bencana, sama ada peperangan, wabak, atau kelaparan, mereka dapat datang kepada-Mu dan berdiri di hadapan rumah ibadat ini. Ketika dalam kesusahan, mereka dapat berdoa kepada-Mu dan Engkau akan mendengar serta menolong mereka. Sekarang orang Amon, Moab, dan Edom menyerang kami. Ketika nenek moyang kami keluar dari Mesir dahulu, Engkau tidak membenarkan mereka masuk ke negeri-negeri itu. Oleh itu mereka mengambil jalan keliling dan tidak membinasakan bangsa-bangsa itu. Sekarang lihatlah cara mereka membalas kami - mereka datang untuk mengusir kami dari tanah yang Engkau berikan kepada kami. Engkaulah Allah kami! Hukumlah mereka, kerana kami tidak berdaya melawan tentera besar yang menyerang kami. Kami tidak tahu apa yang harus kami lakukan, tetapi kami datang kepada-Mu meminta tolong.” Semua kaum lelaki Yehuda, bersama-sama anak isteri mereka, berdiri di Rumah TUHAN. Lalu Roh TUHAN menguasai seorang Lewi yang hadir di tengah-tengah orang ramai itu. Namanya Yahaziel anak Zakharia, seorang daripada puak Asaf, iaitu keturunan Benaya, Yeiel, dan Matanya. Yahaziel berkata, “Tuanku dan semua penduduk Yehuda dan Yerusalem, TUHAN berfirman bahawa kamu tidak boleh putus asa atau takut menghadapi pasukan yang besar ini, kerana yang bertempur bukan kamu, melainkan Allah. Esok seranglah mereka, pada masa mereka mendaki Genting Zis. Kamu akan menemui mereka di hujung lembah yang menuju ke padang gurun dekat Yeruel. Kamu tidak perlu bertempur dalam peperangan ini. Ambillah tempat kamu lalu tunggulah. Kamu akan melihat TUHAN memberi kamu kemenangan. Janganlah takut atau ragu-ragu, hai penduduk Yehuda dan Yerusalem! Hadapilah musuh; TUHAN akan menyertai kamu!” Selepas itu Raja Yosafat bersujud dan semua rakyat pun bersujud bersama-sama baginda dan menyembah TUHAN. Puak Kehat dan Korah daripada suku Lewi berdiri, lalu bersorak memuji TUHAN, Allah Israel. Keesokan paginya mereka semua pergi ke padang gurun dekat Tekoa. Ketika mereka berangkat, Raja Yosafat bertitah kepada mereka, “Hai penduduk Yehuda dan Yerusalem, percayalah kepada TUHAN, Allah kamu, maka kamu akan sanggup bertahan! Percayalah kepada nasihat nabi-nabi-Nya, maka kamu akan berjaya.” Setelah berunding dengan rakyat, raja memerintah beberapa orang penyanyi supaya memakai pakaian yang biasanya dipakai pada upacara-upacara agama. Para penyanyi itu mesti berjalan di hadapan tentera sambil menyanyi, “Pujilah TUHAN! Kasih-Nya kekal abadi!” Apabila mereka mula menyanyi, TUHAN menimbulkan kekacauan di tengah-tengah musuh yang hendak menyerang mereka. Tentera Amon dan Moab menyerang tentera Edom dan memusnahkannya sama sekali. Kemudian mereka pula menyerang satu sama lain dengan sengit.

2 TAWARIKH 20:1-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sesudah itu bani Moab dan bani Amon datang bersama orang Meunim untuk berperang melawan Yosafat. Maka datanglah beberapa orang memberitahu Yosafat, “Suatu pasukan besar datang dari Edom di seberang Laut Mati hendak menyerang tuanku. Sesungguhnya, mereka sudah berada di Hazezon-Tamar,” iaitu En-Gedi. Yosafat menjadi takut, lalu dia menetapkan hati untuk mencari hadirat TUHAN. Dimaklumkannya puasa bagi seluruh Yehuda. Orang Yehuda pun berkumpul untuk memohon pertolongan daripada TUHAN. Ya, dari semua kota Yehuda mereka yang datang untuk mencari hadirat TUHAN. Kemudian Yosafat berdiri di tengah-tengah jemaah Yehuda dan Yerusalem di Bait TUHAN, di depan pelataran yang baru. Dia berkata, “Ya TUHAN, Allah nenek moyang kami, bukankah Engkau Allah di syurga? Bukankah Engkau berkuasa atas segala kerajaan bangsa-bangsa? Di tangan-Mu ada kuasa dan keperkasaan, sehingga tidak ada yang dapat bertahan melawan Engkau. Ya Allah kami, bukankah Engkau yang menghalau penduduk negeri ini dari hadapan umat-Mu Israel dan mengurniakannya kepada keturunan Abraham, sahabat-Mu itu, untuk selama-lamanya? Mereka telah menetap di sini dan membina tempat suci bagi nama-Mu. Kata mereka, ‘Jika malapetaka, iaitu pedang, hukuman, wabak penyakit, atau bencana kebuluran menimpa kami, maka kami akan berdiri di depan Bait ini dan di hadapan-Mu, kerana nama-Mu ditegakkan di dalam Bait ini. Kami akan berseru kepada-Mu dalam keperitan kami, dan Engkau akan mendengar serta menyelamatkan kami.’ Sekarang, lihatlah bani Amon, Moab, dan orang Pergunungan Seir ini! Engkau tidak mengizinkan orang Israel mendatangi mereka ketika mereka keluar dari Tanah Mesir, sehingga orang Israel menyingkir mereka dan tidak membinasakan mereka. Tetapi lihatlah, sebagai balasan mereka terhadap kami, mereka datang untuk menghalau kami dari tanah milik-Mu yang telah Kauwariskan kepada kami. Ya Allah kami, masakan Engkau tidak menghukum mereka? Kami tidak punya kekuatan untuk menghadapi pasukan besar yang datang menyerang kami ini. Kami tidak tahu apa yang harus kami lakukan, tetapi mata kami tertuju kepada-Mu.” Sementara itu semua orang Yehuda berdiri di hadapan TUHAN, bersama-sama isteri dan anak muda serta anak-anak kecil mereka. Maka Roh TUHAN turun di tengah-tengah jemaah itu ke atas Yahaziel anak Zakharia anak Benaya anak Yeiel anak Matanya, seorang Lewi daripada bani Asaf. Dia berkata, “Dengarlah, wahai semua orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, juga Tuanku Raja Yosafat! Beginilah firman TUHAN kepadamu, ‘Jangan takut dan jangan kecut hati dengan pasukan besar itu, kerana bukan kamu yang akan berperang melainkan Allah. Esok, turunlah dan datangi mereka. Ketahuilah, mereka akan naik melalui pendakian Zis. Kamu akan menemukan mereka di hujung lembah, di Gurun Yeruel. Kamu tidak usah berperang dalam pertempuran ini. Berdirilah tegak di tempatmu dan lihatlah kemenangan daripada TUHAN yang menyertai kamu, wahai orang Yehuda dan Yerusalem. Jangan takut dan jangan kecut hati! Majulah esok dan hadapi mereka, TUHAN akan menyertai kamu.’ ” Yosafat membongkok dengan muka sampai ke tanah. Semua orang Yehuda dan penduduk Yerusalem pun bersujud di hadapan TUHAN dan menyembah TUHAN. Lalu bani Lewi daripada bani Kehat dan bani Korah bangkit untuk memuji TUHAN, Allah Israel, dengan suara yang sangat nyaring. Keesokan harinya mereka bangun pagi-pagi lalu pergi ke kawasan gersang Tekoa. Ketika mereka hendak pergi, berdirilah Yosafat dan berkata, “Dengarlah aku, wahai orang Yehuda dan penduduk Yerusalem! Percayalah kepada TUHAN, Allahmu, maka kamu akan tetap teguh. Percayalah kepada para nabi-Nya, maka kamu akan berjaya.” Setelah berunding dengan rakyat, dia mengangkat kalangan yang akan menyanyi bagi TUHAN dan memuji Dia dengan pakaian suci sambil berjalan di depan kalangan yang bersenjata; demikianlah nyanyian mereka, “Mengucap syukurlah kepada TUHAN, kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya.” Pada waktu mereka mulai bersorak-sorai dan menyanyikan puji-pujian, TUHAN mengadakan pengadangan terhadap bani Amon, bani Moab, dan orang Pergunungan Seir yang datang menyerang Yehuda, sehingga mereka semua dikalahkan. Bani Amon dan Moab bangkit melawan penduduk Pergunungan Seir lalu menumpas dan membinasakan mereka. Setelah memusnahkan penduduk Seir, mereka saling membinasakan sesama sendiri.