2 TAWARIKH 18:9-16
2 TAWARIKH 18:9-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Kedua-dua orang raja itu, dengan berpakaian kebesaran, bersemayam di atas takhta, di tempat mengirik gandum, di luar pintu gerbang Samaria. Semua nabi sedang bernubuat di hadapan mereka berdua. Zedekia anak Kenaana, salah seorang nabi itu, membuat beberapa buah tanduk besi lalu berkata kepada Raja Ahab, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Dengan tanduk-tanduk besi ini engkau akan melawan orang Siria sehingga mereka kalah sama sekali.’ ” Semua nabi yang lain juga berkata demikian. Mereka berkata, “Majulah menyerang Ramot. Tuanku pasti menang. TUHAN akan memberi tuanku kemenangan.” Sementara itu, pegawai yang pergi menjemput Mikha berkata kepadanya, “Semua nabi yang lain telah bernubuat bahawa raja akan menang. Sebaiknya engkau pun bernubuat demikian.” Tetapi Mikha menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, saya berjanji bahawa saya hanya akan mengatakan apa yang difirmankan Allah saya!” Apabila Mikha menghadap Raja Ahab, raja bertanya kepadanya, “Mikha, bolehkah Raja Yosafat dan beta menyerang Ramot atau tidak?” “Seranglah!” jawab Mikha. “Tentu tuanku akan menang. TUHAN akan memberikan kemenangan kepada tuanku.” Tetapi Raja Ahab bertitah, “Jika engkau berkata-kata kepada beta atas nama TUHAN, katakanlah yang benar. Berapa kali harus beta peringatkan engkau tentang hal ini?” Mikha menjawab, “Hamba nampak tentera Israel tercerai-cerai di bukit-bukit seperti kawanan domba yang tidak mempunyai gembala. TUHAN berfirman, ‘Semua orang ini tidak mempunyai pemimpin; biarlah mereka pulang dengan selamat.’ ”
2 TAWARIKH 18:9-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada waktu itu, dengan menyarung pakaian kebesaran, raja Israel dan Yosafat, raja Yehuda, duduk di atas takhta masing-masing di tempat pembantingan, di depan pintu gerbang Samaria, sementara semua nabi itu bernubuat di hadapan mereka. Zedekia anak Kenaana membuat bagi dirinya tanduk-tanduk daripada besi lalu berkata, “Beginilah firman TUHAN, ‘Dengan inilah tuanku akan menanduk orang Aram sampai mereka tumpas.’ ” Semua nabi pun bernubuat demikian, kata mereka, “Majulah ke Ramot-Gilead dan raihlah kejayaan, kerana TUHAN akan menyerahkannya ke dalam tangan Raja.” Sementara itu utusan yang pergi memanggil Mikha berkata kepada Mikha, “Ketahuilah, nabi-nabi itu bersatu hati mengatakan hal yang baik kepada raja. Jadi, hendaklah kata-katamu sama dengan kata-kata seorang daripada kalangan mereka. Katakanlah hal yang baik.” Jawab Mikha, “Demi TUHAN yang hidup, sesungguhnya apa yang difirmankan Allahku, itulah yang akan kukatakan.” Setelah dia sampai di hadapan raja, berkatalah raja kepadanya, “Mikha, bolehkah kami pergi berperang ke Ramot-Gilead, atau haruskah aku membatalkannya?” Jawabnya, “Majulah dan raihlah kejayaan. Mereka akan diserahkan ke dalam tangan tuanku.” Tetapi kata raja kepadanya, “Sampai berapa kali aku harus menyuruh engkau bersumpah untuk tidak mengatakan apa-apa kepadaku selain kebenaran dalam nama TUHAN?” Kata Mikha, “Aku melihat semua orang Israel tercerai-berai di gunung-gunung seperti domba yang tidak bergembala. Lalu TUHAN berfirman, ‘Mereka ini tidak bertuan. Biarlah mereka pulang ke rumah masing-masing dengan selamat.’ ”