2 TAWARIKH 16:1-9

2 TAWARIKH 16:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada tahun ketiga puluh enam zaman pemerintahan Asa, majulah Baesa, raja Israel, menyerang Yehuda. Dia membina Rama untuk mencegah orang keluar atau masuk ke wilayah Asa, raja Yehuda. Maka Asa mengambil perak dan emas daripada perbendaharaan Bait TUHAN dan dari istana raja. Dia mengirimkannya kepada Benhadad, raja Aram yang tinggal di Damsyik, dengan pesan, “Ada perjanjian antara aku dengan tuan, antara ayahku dengan ayah tuan. Lihatlah, aku mengirimkan kepada tuan perak dan emas. Batalkanlah perjanjian tuan dengan Baesa, raja Israel, supaya dia berundur daripadaku.” Benhadad mendengar Raja Asa. Lalu disuruhnya para panglima pasukannya menyerang kota-kota Israel. Mereka mengalahkan Iyon, Dan, Abel-Maim, dan semua kota perbekalan di Naftali. Pada waktu Baesa mendengar hal itu, berhentilah dia membina Rama dan dia juga membatalkan pekerjaan itu. Kemudian Raja Asa mengerahkan semua orang Yehuda. Mereka mengangkut batu dan kayu yang digunakan oleh Baesa untuk membina Rama, lalu dengan semua itu dia membangunkan Geba serta Mizpa. Pada waktu itu datanglah Hanani, pelihat itu, menghadap Asa, raja Yehuda, dan berkata kepadanya, “Kerana engkau bersandar kepada raja Aram dan tidak bersandar kepada TUHAN, Allahmu, maka luputlah pasukan raja Aram daripada tanganmu. Bukankah dahulu orang Kush dan orang Libia merupakan pasukan besar dengan banyak sekali rata dan pasukan berkuda? Tetapi ketika engkau bersandar kepada TUHAN, Dia menyerahkan mereka ke dalam tanganmu. Sesungguhnya, mata TUHAN menjelajah seluruh bumi untuk memberikan kekuatan kepada orang yang tulus hati terhadap-Nya. Dalam hal ini engkau telah bertindak bodoh, kerana itu mulai sekarang engkau akan mengalami peperangan.”

2 TAWARIKH 16:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada tahun ketiga puluh enam pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Raja Baesa dari Israel menyerang Yehuda lalu mula memperkuat kota Rama untuk menutup jalan keluar masuk Yehuda. Oleh itu Raja Asa mengambil perak dan emas dari perbendaharaan di Rumah TUHAN dan di istana. Kemudian Raja Asa mengirimnya ke Damsyik kepada Raja Benhadad raja Siria, dengan pesan berikut, “Marilah kita mengikat persahabatan seperti yang dilakukan ayahanda kita dahulu. Emas dan perak ini hadiah untuk tuanku. Putuskanlah persahabatan tuanku dengan Raja Baesa di Israel, supaya raja Israel itu terpaksa menarik kembali tenteranya dari wilayah beta.” Raja Benhadad bersetuju dengan cadangan Raja Asa, lalu Raja Benhadad mengirim para panglima dan tentera mereka untuk menyerang kota-kota Israel. Mereka merebut Iyon, Dan, Abel-Bet-Maakha, dan semua kota di Naftali, iaitu tempat-tempat penyimpanan perbekalan negeri. Apabila Raja Baesa mendengar hal itu, baginda menghentikan usahanya untuk memperkuat Rama. Setelah itu Raja Asa memerintah orang dari seluruh Yehuda supaya membawa batu dan balak yang digunakan Raja Baesa di Rama, lalu mereka menggunakan semuanya untuk memperkuat kota Geba dan Mizpa. Pada waktu itu Nabi Hanani menghadap Raja Asa dan berkata, “Oleh sebab tuanku telah bersandar kepada raja Siria dan tidak bersandar kepada TUHAN, Allah tuanku, maka hilanglah kesempatan untuk mengalahkan tentera raja Siria. Bukankah tentera Etiopia dan Libia besar bilangannya? Mereka mempunyai kereta kuda dan pasukan berkuda, tetapi kerana tuanku bersandar kepada TUHAN, Dia memberi tuanku kemenangan menentang mereka. TUHAN sentiasa mengawasi seluruh bumi ini dan memberikan kekuatan kepada mereka yang setia kepada-Nya. Tuanku telah berlaku bodoh, oleh itu mulai sekarang tuanku akan sentiasa berperang.”