2 TAWARIKH 15:9-18
2 TAWARIKH 15:9-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Banyak orang datang dari Efraim, Manasye dan Simeon, lalu tinggal di dalam kerajaan Raja Asa, kerana mereka telah melihat bahawa TUHAN menolong Raja Asa. Raja Asa memanggil mereka semua bersama-sama penduduk Yehuda dan Benyamin. Mereka semua berkumpul di Yerusalem pada bulan ketiga tahun kelima belas pemerintahan Raja Asa. Pada hari itu mereka mempersembahkan 700 ekor lembu dan 7,000 ekor domba sebagai korban kepada TUHAN; semua itu adalah hasil jarahan. Mereka membuat perjanjian bahawa dengan segenap hati dan jiwa, mereka akan hidup menurut kehendak TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Sesiapa sahaja, baik tua atau muda, lelaki atau perempuan, yang tidak hidup menurut kehendak TUHAN, Allah Israel, harus dihukum mati. Dengan suara yang kuat dan atas nama TUHAN, mereka bersumpah untuk memegang perjanjian mereka itu. Selepas itu, mereka bersorak-sorak dan meniup trompet. Segenap penduduk Yehuda bersukacita kerana mereka telah membuat perjanjian itu dengan sepenuh hati. Mereka beribadat kepada TUHAN dengan sungguh-sungguh, maka mereka pun diperkenankan TUHAN dan diberikan keamanan di seluruh negeri. Raja Asa menurunkan kedudukan neneknya, Maakha sebagai bonda ratu, kerana baginda telah membuat sebuah patung cabul untuk Dewi Asyera, dewi kesuburan. Raja Asa merobohkan patung itu, menetaknya, lalu membakarnya di Lembah Kidron. Walaupun Raja Asa tidak memusnahkan semua tempat penyembahan berhala di negeri itu, namun baginda tetap setia kepada TUHAN seumur hidupnya. Baginda meletakkan semua benda yang telah ditahbiskan oleh ayahandanya, di dalam Rumah TUHAN. Di sana Raja Asa juga meletakkan benda-benda emas dan perak yang telah ditahbiskannya sendiri.
2 TAWARIKH 15:9-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
lalu dikumpulkannya semua orang Yehuda, orang Benyamin, dan para pendatang dari Efraim, Manasye, serta Simeon yang tinggal bersama-sama mereka, kerana ramai orang dari Israel yang membelot kepadanya ketika mereka melihat bahawa TUHAN, Allahnya, menyertai dia. Mereka berkumpul di Yerusalem pada bulan ketiga, dalam tahun kelima belas zaman pemerintahan Asa. Pada hari itu hasil jarahan yang dibawa pulang mereka disembelih sebagai korban untuk dipersembahkan kepada TUHAN, iaitu 700 ekor lembu dan 7,000 ekor domba. Mereka mengadakan perjanjian untuk mencari hadirat TUHAN, Allah nenek moyang mereka, dengan segenap hati dan dengan segenap jiwa. Sesiapa pun yang tidak mahu mencari hadirat TUHAN, Allah Israel, harus dihukum mati, baik kecil mahupun besar, baik lelaki mahupun perempuan. Mereka bersumpah setia kepada TUHAN dengan suara yang nyaring, dengan sorak-sorai, dan dengan bunyi nafiri serta sangkakala. Semua orang Yehuda bersukacita atas sumpah itu, kerana dengan segenap hati mereka telah bersumpah setia dan dengan keinginan yang bulat mereka mencari hadirat-Nya. TUHAN berkenan untuk ditemukan mereka dan Dia mengurniakan ketenteraman kepada mereka di segala penjuru. Raja Asa bahkan memecat Maakha, neneknya, daripada kedudukan bonda permaisuri, kerana Maakha membuat patung kekejian bagi Asyera. Asa menebang patung keji itu, menumbuknya, dan membakarnya di Lembah Kidron. Memang bukit-bukit pemujaan tidak disingkirkannya dari antara orang Israel, tetapi hati Asa tulus seumur hidupnya. Dia membawa ke dalam Rumah Allah persembahan suci ayahnya dan persembahan dirinya sendiri, iaitu perak, emas, dan berbagai-bagai kelengkapan.