2 TAWARIKH 1:1-6
2 TAWARIKH 1:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Raja Salomo, putera Raja Daud mengukuhkan pemerintahannya atas Israel, dan TUHAN, Allahnya memberkati baginda, serta menjadikan baginda sangat berkuasa. Raja Salomo memerintahkan semua pegawai yang mengetuai pasukan yang terdiri daripada seribu orang dan seratus orang, dan semua pegawai kerajaan, semua ketua keluarga, serta segenap rakyat supaya mengikut baginda ke tempat ibadat di Gibeon. Mereka pergi ke sana kerana Khemah TUHAN terletak di sana. Khemah TUHAN itu dibuat oleh Musa, hamba TUHAN, di padang gurun dahulu. ( Tetapi Tabut Perjanjian telah dibawa ke Yerusalem, dan disimpan di dalam khemah yang dibina oleh Raja Daud ketika baginda memindahkan Tabut itu dari Kiryat-Yearim.) Mazbah gangsa yang dibuat oleh Bezaleel anak Uri, cucu Hur, juga ada di Gibeon, di hadapan Khemah TUHAN. Raja Salomo dan segenap rakyat menyembah TUHAN di situ. Di hadapan Khemah itu raja menyembah TUHAN dengan mempersembahkan korban di atas mazbah gangsa. Baginda mempersembahkan seribu ekor binatang di atas mazbah itu, sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
2 TAWARIKH 1:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Salomo anak Daud memperkuat kedudukannya dalam kerajaannya, dan TUHAN, Allahnya, menyertai dia serta membuatnya sangat agung sekali. Salomo berbicara kepada seluruh Israel — kepada para pemimpin pasukan seribu dan pasukan seratus, kepada para hakim, serta kepada semua pemimpin di seluruh Israel, iaitu para ketua kaum keluarga — lalu bersama seluruh jemaah itu Salomo berangkat ke bukit pemujaan di Gibeon, kerana di sana ada Khemah Pertemuan yang dibuat Musa, hamba TUHAN itu, di gurun. Tabut perjanjian Allah memang telah diangkut oleh Daud dari Kiryat-Yearim ke tempat yang disediakan Daud untuk itu, kerana dia telah membentangkan khemah untuk tabut itu di Yerusalem. Namun demikian, mazbah daripada gangsa yang dibuat oleh Bezaleel anak Uri anak Hur masih ada di sana, di depan Khemah Suci TUHAN. Maka ke sanalah Salomo dan jemaah itu pergi mencari petunjuk TUHAN. Di sana, di hadapan TUHAN, Salomo mempersembahkan seribu korban bakaran di atas mazbah gangsa yang ada di depan Khemah Pertemuan itu.