2 TAWARIKH 1:1-17

2 TAWARIKH 1:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Raja Salomo, putera Raja Daud mengukuhkan pemerintahannya atas Israel, dan TUHAN, Allahnya memberkati baginda, serta menjadikan baginda sangat berkuasa. Raja Salomo memerintahkan semua pegawai yang mengetuai pasukan yang terdiri daripada seribu orang dan seratus orang, dan semua pegawai kerajaan, semua ketua keluarga, serta segenap rakyat supaya mengikut baginda ke tempat ibadat di Gibeon. Mereka pergi ke sana kerana Khemah TUHAN terletak di sana. Khemah TUHAN itu dibuat oleh Musa, hamba TUHAN, di padang gurun dahulu. ( Tetapi Tabut Perjanjian telah dibawa ke Yerusalem, dan disimpan di dalam khemah yang dibina oleh Raja Daud ketika baginda memindahkan Tabut itu dari Kiryat-Yearim.) Mazbah gangsa yang dibuat oleh Bezaleel anak Uri, cucu Hur, juga ada di Gibeon, di hadapan Khemah TUHAN. Raja Salomo dan segenap rakyat menyembah TUHAN di situ. Di hadapan Khemah itu raja menyembah TUHAN dengan mempersembahkan korban di atas mazbah gangsa. Baginda mempersembahkan seribu ekor binatang di atas mazbah itu, sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Pada malam itu Allah menampakkan diri kepada Raja Salomo dan bertanya kepadanya, “Apakah yang engkau ingin Aku berikan kepadamu?” Raja Salomo menjawab, “Engkau telah menunjukkan kasih yang besar kepada Daud, bapaku. Sekarang Engkau telah mengizinkan aku menggantikan dia sebagai raja. Ya TUHAN Allah, tepatilah janji yang Engkau buat kepada bapaku. Engkau telah melantik aku menjadi raja bagi satu umat yang begitu besar bilangannya sehingga tidak dapat dihitung. Oleh itu kurniailah aku kebijaksanaan dan pengetahuan yang aku perlukan untuk memerintah mereka. Jika tidak, aku tidak sanggup memerintah umat-Mu yang banyak ini.” Allah berfirman kepada Salomo, “Engkau telah membuat pilihan yang tepat. Engkau tidak meminta kekayaan, atau harta, atau kemasyhuran, atau kematian musuhmu, ataupun umur panjang untuk dirimu sendiri; sebaliknya engkau meminta kebijaksanaan dan pengetahuan supaya engkau dapat memerintah umat-Ku, dan engkau telah Kujadikan raja mereka. Aku akan mengurniakan kebijaksanaan dan pengetahuan kepadamu. Selain itu, Aku juga akan mengurniai engkau kekayaan dan harta yang lebih banyak lagi, serta menjadikan engkau lebih termasyhur daripada raja lain baik pada masa lampau mahupun pada masa hadapan.” Kemudian Raja Salomo meninggalkan tempat ibadat di Gibeon, iaitu tempat Khemah TUHAN, lalu baginda pulang ke Yerusalem. Di sana baginda memerintah Israel. Raja Salomo melengkapi angkatan perangnya dengan 1,400 buah kereta kuda, dan 12,000 ekor kuda untuk pasukan berkuda. Sebahagian angkatan itu ditempatkannya di Yerusalem, dan yang lain ditempatkan di berbagai-bagai kota lain. Pada masa pemerintahan Raja Salomo, perak dan emas menjadi barang biasa seperti batu di Yerusalem, dan kayu sedar pun banyak seperti kayu ara di kaki bukit di Yehuda. Para peniaga yang bertugas untuk raja, mengimport kuda dari Musri dan Kilikia, dan mengimport kereta kuda dari Mesir. Kemudian kuda dan kereta kuda itu dieksport kepada raja-raja Het dan raja-raja Siria dengan harga 150 keping wang perak untuk seekor kuda, dan 600 keping wang perak untuk sebuah kereta kuda.

2 TAWARIKH 1:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Salomo anak Daud memperkuat kedudukannya dalam kerajaannya, dan TUHAN, Allahnya, menyertai dia serta membuatnya sangat agung sekali. Salomo berbicara kepada seluruh Israel — kepada para pemimpin pasukan seribu dan pasukan seratus, kepada para hakim, serta kepada semua pemimpin di seluruh Israel, iaitu para ketua kaum keluarga — lalu bersama seluruh jemaah itu Salomo berangkat ke bukit pemujaan di Gibeon, kerana di sana ada Khemah Pertemuan yang dibuat Musa, hamba TUHAN itu, di gurun. Tabut perjanjian Allah memang telah diangkut oleh Daud dari Kiryat-Yearim ke tempat yang disediakan Daud untuk itu, kerana dia telah membentangkan khemah untuk tabut itu di Yerusalem. Namun demikian, mazbah daripada gangsa yang dibuat oleh Bezaleel anak Uri anak Hur masih ada di sana, di depan Khemah Suci TUHAN. Maka ke sanalah Salomo dan jemaah itu pergi mencari petunjuk TUHAN. Di sana, di hadapan TUHAN, Salomo mempersembahkan seribu korban bakaran di atas mazbah gangsa yang ada di depan Khemah Pertemuan itu. Pada malam itu Allah menampakkan diri kepada Salomo dan berfirman, “Mintalah apa yang kauingin Kukurniakan kepadamu.” Kata Salomo kepada Allah, “Engkau telah menunjukkan kasih yang besar kepada Daud, ayahku, dan Engkau telah mengangkat aku menjadi raja menggantikannya. Sekarang, ya TUHAN Allah, kiranya janji-Mu kepada Daud, ayahku, diteguhkan kerana Engkau telah mengangkat aku menjadi raja atas umat yang besar bilangannya seperti debu tanah. Berilah aku sekarang kebijaksanaan dan pengetahuan supaya aku dapat menangani ini dan itu sebagai pemimpin umat ini, kerana siapakah yang dapat memerintah umat-Mu yang besar ini?” Firman Allah kepada Salomo, “Kerana engkau menghendaki hal itu, dan engkau tidak meminta kekayaan, harta benda, kemuliaan, nyawa orang yang membencimu, atau umur panjang, melainkan meminta kebijaksanaan serta pengetahuan supaya dapat memerintah umat-Ku yang engkau telah Kuangkat menjadi raja, maka kebijaksanaan dan pengetahuan itu dikurniakan kepadamu. Selain itu, Kukurniakan juga kepadamu kekayaan, harta benda, dan kemuliaan yang belum pernah dimiliki raja mana-mana pun sebelum engkau dan tidak akan dimiliki seorang pun sesudah engkau.” Kemudian dari Gibeon itu, iaitu dari hadapan Khemah Pertemuan di bukit pemujaan, Salomo pulang ke Yerusalem, dan dia pun bertakhta atas Israel. Salomo mengumpulkan rata dan pasukan berkuda. Dia mempunyai seribu empat ratus buah rata dan dua belas ribu orang pasukan berkuda yang ditempatkannya di kota-kota rata dan juga di Yerusalem bersama-sama raja. Raja membuat perak dan emas di Yerusalem sama seperti batu kerana banyaknya, dan pokok araz sama banyaknya seperti pokok ara yang ada di Dataran Rendah. Kuda untuk Salomo dibawa masuk dari Mesir dan dari Kewe. Saudagar-saudagar raja membelinya dari Kewe dengan harga pasaran. Sebuah rata yang dibawa masuk dari Mesir berharga enam ratus syikal perak, manakala seekor kuda berharga seratus lima puluh syikal. Kemudian dengan perantaraan mereka semua itu dijual lagi kepada semua raja Het dan kepada raja-raja Aram.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami