1 TIMOTIUS 6:1-9
1 TIMOTIUS 6:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Orang Kristian yang menjadi abdi mesti menghormati tuan mereka, supaya orang tidak dapat memburukkan nama Allah ataupun ajaran kita. Abdi Kristian yang menjadi milik orang Kristian, tidak boleh menghina tuan mereka, kerana mereka saudara seiman. Sebaliknya, abdi harus melayani tuan mereka dengan lebih baik, kerana orang yang menikmati pelayanan itu saudara seiman yang dikasihi. Engkau harus mengajarkan perkara-perkara ini kepada jemaah dan menggalakkan mereka melakukannya. Sesiapa mengajarkan ajaran yang bertentangan dengan ajaran benar daripada Tuhan kita Yesus Kristus dan ajaran agama kita, dia sombong dan tidak tahu apa-apa! Keinginannya tidak wajar. Dia suka berdebat dan bertengkar tentang istilah sehingga mengakibatkan kecemburuan, perselisihan, penghinaan, kecurigaan, dan pertengkaran yang tidak habis-habis dengan semua orang yang tidak tahu berfikir dan tidak mengenal apa yang benar. Mereka menyangka dapat menjadi kaya kerana beragama. Agama memang menyebabkan orang menjadi kaya, jika orang puas dengan apa yang dimiliki. Adakah kita membawa sesuatu ke dalam dunia ini? Tidak! Dapatkah kita membawa sesuatu ke luar dunia ini? Tidak! Oleh itu, cukuplah jika kita mempunyai pakaian dan makanan. Orang yang ingin menjadi kaya tergoda dan terjerat oleh bermacam-macam keinginan yang sia-sia dan mencelakakan. Keinginan seperti itu menjatuhkan dan membinasakan orang.
1 TIMOTIUS 6:1-9 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA biarlah bŭbrapa hamba yang ada dibawah prentah itu mŭmbilangkan tuan tuannya sŭndiri itu layak dihormati, supaya jangan iya mŭndetangkan hujat akan nama Allah, dan pŭngajaran itu. Maka marika itu yang ada bŭrtuankan orang yang bŭriman, janganlah iya mŭmudahkan dia tŭgal iya bŭrsaudara, mŭlainkan tŭrlebih pula patut bŭrkhodmat akan dia sŭbab iya sŭtiawan, dan kasih, dan mŭndapat fiedah adanya. Maka ajarkanlah pŭrkara pŭrkara ini, dan brilah nasihat. Maka jikalau kiranya barang siapa mŭngajar barang pŭngajaran yang lain, dan tiada pula diturotnya akan sagala pŭrkataan yang baik, iya itu pŭrkataan Isa Almasih Tuhan kami, dan akan pŭngajaran yang mŭnuju kapada ibadat, Maka orang itulah chongkak, satu pun tiada iya tahu, mŭlainkan gila iya derihal bŭrsual sual, dan bŭrtŭngkar derihal pŭrkataan pŭrkataan, maka deri sŭbab itulah tŭrbit dŭngki, dan pŭrkŭliehan, dan jŭnis jŭnis maki, dan sangka sangka yang jahat; Dan bŭrbagie bagie pŭrsŭlisihan yang salah deripada orang orang yang rosak akalnya, dan tiada mŭmpunyai kabŭnaran, maka disangkanya laba itulah ibadat. Maka deri pada orang yang sŭmacham itulah undorkanlah dirimu. Adapun ibadat yang ada bŭsŭrta dŭngan shukor itu, iya itulah laba yang bŭsar adanya. Kŭrna barang suatu jua pun tiada kami mŭmbawa kadalam dunia, sŭsungguhnya tiadalah dapat kami bawa kluar barang apa deripadanya. Jikalau kami bŭrulih makanan dan pakiean, biarlah kami shukor dŭngan itu. Tŭtapi orang orang yang handak kaya itu, iya jatohlah kadalam pŭrchobaan dan jŭrat, dan kadalam bŭbrapa nafsu yang bodoh, dan binchana, yang mŭnŭngglamkan manusia kadalam karosakkan dan kabinasaan
1 TIMOTIUS 6:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Semua orang yang diperhamba sebagai abdi harus menganggap tuan mereka wajar mendapat segala penghormatan supaya orang tidak dapat mencela nama Allah dan ajaran kita. Apabila tuan mereka seorang beriman, mereka tidak harus memandang ringan kepadanya malah harus melayannya dengan lebih baik lagi, kerana yang mendapat manfaat layanan mereka itu saudara seiman yang dikasihi. Hal-hal ini harus kamu ajarkan dan sampaikan sebagai nasihat. Jika sesiapa mengajarkan sesuatu yang berlainan dan tidak menerima kata-kata yang benar iaitu kata-kata Yesus Kristus, Tuhan kita, dan ajaran yang selaras dengan kesalihan; dia bersifat angkuh dan jahil, asyik bertikai dan berbahas tentang kata-kata, sehingga menimbulkan iri hati, perkelahian, pencacian, syak wasangka yang buruk, pertengkaran sia-sia orang yang berfikiran keji dan tidak mengenal kebenaran. Sangkanya kesalihan itu satu cara mendapat keuntungan. Kesalihan yang disertai dengan rasa puas membawa keuntungan besar. Kita tidak membawa apa-apa ke dalam dunia ini, dan pasti sekali kita tidak dapat membawa apa-apa apabila kita meninggalkannya. Oleh itu, jika kita ada pakaian dan makanan, kita harus berasa puas. Orang yang mahu kaya tergoda dan terperangkap oleh pelbagai keinginan yang sia-sia dan berbahaya, yang menjerumuskannya ke dalam kerosakan dan kemusnahan.