1 TIMOTIUS 4:6-16
1 TIMOTIUS 4:6-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Jika engkau memberikan semua petunjuk ini kepada saudara-saudara seiman, engkau akan menjadi hamba Kristus Yesus yang baik. Teguhkanlah hidup kerohanianmu dengan ajaran iman Kristian dan ajaran benar yang telah engkau ikuti. Jauhkanlah dirimu daripada cerita-cerita tahayul yang jahat dan sia-sia. Latihlah dirimu untuk kehidupan yang beribadat. Latihan jasmani ada faedahnya, tetapi latihan rohani sangat berfaedah dalam segala hal, kerana latihan rohani memberikan faedah kepada hidup kita baik sekarang mahupun pada masa yang akan datang. Kata-kata ini sungguh benar dan harus benar-benar diterima serta dipercayai. Kita berjuang dan bekerja keras, kerana kita berharap sepenuhnya kepada Allah yang hidup, Penyelamat semua orang, terutama sekali orang yang percaya kepada-Nya. Ajarkanlah semua itu dan suruhlah mereka mentaatinya. Jangan biarkan sesiapa pun menghina engkau kerana engkau muda. Sebaliknya, hendaklah engkau menjadi teladan bagi semua orang yang percaya kepada Kristus dengan percakapanmu, kelakuanmu, kasihmu untuk orang lain, imanmu kepada Kristus dan cara hidupmu yang suci. Sementara itu sehingga aku datang kelak, gunakanlah masamu dengan membaca Alkitab kepada jemaah, dan berkhutbah serta mengajar. Janganlah abaikan pemberian yang dikurniakan oleh Allah kepadamu pada masa nabi-nabi menyampaikan perkhabaran Allah tentang dirimu, dan para pemimpin jemaah memberkatimu dengan meletakkan tangan pada kepalamu. Lakukanlah semuanya tanpa mengenal lelah, supaya kemajuanmu dilihat oleh semua orang. Berhati-hatilah dengan dirimu sendiri dan ajaranmu. Jika engkau selalu melakukannya, engkau akan menyelamatkan baik dirimu sendiri mahupun orang yang mendengar engkau.
1 TIMOTIUS 4:6-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka jikalau kiranya angkau mŭnginggatkan sagala pŭrkara ini pada saudara saudara itu, maka bahwasanya angkaulah mŭnjadi sa’orang utusan Isa Almasih yang baik, dan tŭrpliharalah dŭngan bŭbrapa pŭrkataan iman, dan pŭngajaran yang baik, yang tŭlah angkau dapat. Tŭtapi handaklah angkau tolakkan sagala pŭrkataan yang sia sia, dan chŭrtra yang bukan bukan, deripada pŭrampuan yang tua tua, dan usahakanlah dirimu dalam bŭrbuat ibadat. Kŭrna usaha tuboh itu sŭdikit sahja gunanya: tŭtapi ibadat itu bŭrguna kapada sagala pŭrkara, sŭbab iya itu ada mŭmpunyai pŭrjanjian hidop, dunia dan akhirat. Bahwa inilah pŭrkataan yang sŭtiawan, dan yang patut skali kali ditrima. Kŭrna deri sŭbab itulah kami bŭrlŭlah, dan kŭna umpat sŭbab kami harap juga kapada Allah; yang hidop yang mŭnjadi pŭnulong kapada sagala manusia, estimewa pula kapada orang yang bŭriman. Maka sagala pŭrkara inilah patut disurohkan dan diajarkan. Maka janganlah barang sa’orang mŭnghinakan mudamu; mŭlainkan handaklah angkau mŭnjadi tauladan bagie sagala orang yang bŭriman, iya itu baik dŭngan pŭrkataan, baik deripada klakuan, baik deri hal pŭngasihan, baik dŭngan Roh, baik dŭngan iman, atau baik dŭngan kasuchian. Maka handaklah angkau usahakan dirimu, dalam mŭmbacha, dan mŭmbri nasihat, dan mŭngajar, sahingga aku datang. Maka janganlah angkau alpakan akan anugrah, yang ada dalam dirimu yang tŭlah dikurniakan padamu, dŭngan nabuatan, sŭrta mŭmbuboh tangan pŭrhimponan orang tua tua ka’atasmu. Taroh tarohlah dalam fikiranmu akan sagala pŭrkara ini; sŭrta sŭrahkanlah dirimu bulat bulat kapadanya; supaya kauntonganmu itu nyata kapada sagala orang. Maka ingatlah akan dirimu, dan akan pŭngajaran itu; dan tŭtaplah angkau dalamnya: kŭrna apabila angkau bŭrbuat dŭmkian, maka angkau kŭlak akan tŭrplihara dirimu sŭndiri, sŭrta orang orang yang mŭnŭngar pŭrkataanmu itu.
1 TIMOTIUS 4:6-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Jika engkau mengajarkan hal-hal ini kepada saudara-saudara seiman, engkau akan menjadi hamba Kristus Yesus yang baik, yang dipupuk dengan kata-kata iman dan ajaran baik yang telah kauikut dengan teliti. Jauhilah cerita-cerita yang bercorak duniawi dan karut, serta latihlah diri menjadi orang yang salih. Latihan jasmani ada faedahnya, tetapi kesalihan berfaedah dalam segala hal, kerana memuat janji baik bagi kehidupan sekarang ataupun kehidupan akan datang. Kata-kata ini benar dan harus diterima sepenuhnya. Kita bekerja keras dan berjuang, kerana kita yakin kepada Allah yang hidup, Penyelamat semua manusia, terutamanya mereka yang beriman. Perintahkan dan ajarkanlah semua ini. Jangan biarkan sesiapa menghinamu kerana usiamu yang muda. Jadikan dirimu teladan kepada semua orang beriman dari segi kata-kata, kelakuan, kasih, iman dan kesucian. Hingga aku datang nanti, tumpukan perhatian kepada membaca Kitab Suci di khalayak ramai, menyampaikan firman dan mengajar orang. Jangan lalai dalam menggunakan kurnia yang diberikan kepadamu melalui nubuat ketika sekumpulan tua-tua jemaah meletakkan tangan ke atasmu. Lakukanlah hal-hal ini dengan rajin. Curahkan seluruh keupayaan dirimu kepadanya, supaya kemajuanmu jelas di mata semua orang. Berhematlah tentang dirimu dan ajaranmu. Lakukan terus-menerus, kerana dengan demikian engkau akan menyelamatkan dirimu dan mereka yang mendengar kata-katamu.