1 TIMOTIUS 3:1-16
1 TIMOTIUS 3:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Sungguh benar kata-kata ini, “Seseorang yang ingin menjadi pemimpin jemaah, dia menginginkan pekerjaan yang sangat baik.” Seorang pemimpin jemaah haruslah orang yang tidak bercela. Dia mesti mempunyai seorang isteri sahaja, bijaksana, tahu mengawal diri, dan tertib kelakuannya. Dia mesti suka menyambut orang ke rumahnya, dapat mengajar orang, dan bukan seorang pemabuk yang suka berkelahi. Sebaliknya, dia mesti lemah-lembut dan suka akan kedamaian. Dia tidak boleh tamak akan wang. Dia mesti tahu mengurus rumah tangganya dengan baik dan mendidik anak-anaknya agar menurut perintahnya serta menghormati dia. Jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia dapat mengurus jemaah Allah? Pemimpin jemaah seharusnya bukan orang yang baru sahaja menjadi Kristian, kerana nanti dia menjadi sombong lalu terkutuk seperti Iblis dahulu. Dia mestilah seorang yang dihormati oleh orang di luar jemaah, supaya dia tidak dipermalukan lalu jatuh ke dalam perangkap Iblis. Penolong jemaah mestilah juga orang yang baik sifatnya dan tulus. Mereka tidak boleh minum terlalu banyak wain atau tamak akan wang. Dengan hati nurani yang murni, mereka mesti berpegang kepada ajaran iman Kristian yang sudah dinyatakan oleh Allah. Mereka harus diuji dahulu dan jika terbukti mereka tidak bercela, barulah mereka boleh membantu. Isteri mereka pun mestilah orang yang baik sifatnya. Mereka tidak boleh mengumpat; mereka haruslah tahu mengawal diri dan jujur dalam segala perkara. Seorang penolong jemaah mesti mempunyai seorang isteri sahaja. Dia mesti tahu mendidik anak-anaknya dan mengurus rumah tangganya dengan baik. Pembantu jemaah yang menjalankan tugas dengan baik akan dihormati, dan mereka dapat bercakap dengan kewibawaan tentang kepercayaan mereka kepada Kristus Yesus. Semasa aku menulis surat ini kepadamu, aku berharap dapat segera pergi melawat engkau. Tetapi jika aku terlambat, surat ini akan memberitahu engkau bagaimana kita harus hidup sebagai orang Kristian. Kita anggota keluarga Allah, iaitu jemaah Allah yang hidup. Jemaah inilah tiang dan penunjang ajaran yang benar tentang Allah. Tidak seorang pun dapat menafikan betapa mulianya rahsia kepercayaan kita: Kristus Yesus menampakkan diri dengan rupa manusia, dan dinyatakan benar oleh Roh Allah, serta dilihat oleh para malaikat. Dia diisytiharkan antara bangsa-bangsa, dan Dia dipercayai di seluruh dunia, dan telah diangkat ke syurga.
1 TIMOTIUS 3:1-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA inilah pŭrkataan yang bŭnar, jikalau barang sa’orang bŭrkahandak jawatan guru Injil itu, maka iya bŭrkahandak satu pŭkŭrjaan yang baik. Adapun guru Injil itu patutlah sa’orang yang tiada bŭrsalah, dan yang mŭnaroh bŭristri sa’orang sahja, lagi hemat, dan suman, dan bŭradab, dan bŭrhati kasihan, dan yang tahu jalan mŭngajar, Dan yang tiada sangat pŭminum anggor, dan bukan orang pŭrkŭliehan, dan yang tiada gŭlojoh akan laba yang kŭji, mŭlainkan sabar, lagi yang tiada suka bŭrgadoh, dan tiada tŭmaa. Dan sa’orang yang mŭmrentahkan rumah tangganya dŭngan sŭpatutnya, dan anak buahnya ada tŭrta’lok dŭngan suman sŭmata mata. Kŭrna jikalau barang sa’orang yang tiada tahu mŭmrentahkan rumah tangganya sŭndiri, maka bagimana bulih iya mŭmrentahkan sidang jŭmaah Allah. Jangan iya sa’orang yang bahru masok agama, asal jangan iya tŭrhangat sŭbab chongkak, lalu jatohlah iya kŭlak kŭdalam kabinasaan iblis. Tambahan pula, dapat tiada patutlah iya mŭndapat namanya yang baik deripada orang kluaran, lamun jangan iya jatoh kŭdalam kachŭlaan, dan jŭrat iblis. Sŭbagie lagi, handaklah orang orang yang mŭnjadi bilal itupun bŭrlaku dŭngan suman, dan jangan orang lidah bŭrchabang, dan jangan orang yang sangat pŭminum anggor, dan jangan orang yang gŭlojoh akan laba yang kŭji. Maka handaklah marika itu pŭgangkan rahsia iman itu dalam angan angan yang suchi. Maka biarlah marika itu dinji dahulu; kumdian bahrulah bulih iya masok dalam jawatan bilal itu, jikalau tiada sŭsuatu kasalahan padanya. Dŭmkian lagi, handaklah istri istrinya itupun suman, jangan mŭnjadi sa’orang pŭngumpat, mŭlainkan sopan, dan sŭtiawanlah dalam sagala pŭrkara. Maka handaklah ada sagala orang orang bilal itu yang bŭristri satu, dan yang mŭmrentahkan anak buahnya, dan rumah tangganya dŭngan spatutnya. Kŭrna orang yang tŭlah mŭlakukan jawatan bilal itu, maka marika itu kŭlak bŭrulih bagie dirinya suatu pangkat yang baik, dan bŭsar brani dalam iman akan Isa Almasih. Pŭrkara pŭrkara inilah aku suratkan padamu, sŭrta dŭngan harap aku sŭgra datang kapadamu. Tutapi jikalau kiranya aku tŭrlambat, supaya dapat angkau mŭngatahui bagimana yang patut angkau bŭrlaku diantara orang isi rumah Allah, iya itu sidang jŭmaah Allah yang hidop, maka iyalah tiang dan alas kabŭnaran. Maka dŭngan tiada bŭrsŭlŭsie, bŭsarlah rahsia agama itu adanya; maka Allah tŭlah nyatalah dalam tuboh manusia, tŭlah dibŭnarkan ulih Roh, tŭlah dilihat ulih sagala mŭliekat, tŭlah dimashorkan diantara orang orang sŭsat, tŭlah dipŭrchayai didalam dunia, tŭlah ditrimalah ka’atas dalam kamuliaan.
1 TIMOTIUS 3:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kata-kata ini benar: Jika seseorang ingin menjadi penyelia jemaah, maka dia ingin akan pekerjaan yang baik. Seorang penyelia jemaah haruslah tidak bercela. Dia harus beristeri seorang sahaja, mengamalkan kesederhanaan dan penguasaan diri, dihormati, meraikan tetamu dengan tangan terbuka, dan berkebolehan mengajar. Dia seharusnya bukan pemabuk, tidak melakukan kekerasan, lemah lembut, bukan kaki gaduh, dan tidak tamak akan wang. Dia mesti tahu mengurus rumah tangganya dengan baik dan mendidik anak-anaknya supaya bersikap taat dan hormat. (Jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia hendak mengurus jemaah Allah?) Dia seharusnya bukan seorang yang baru beriman, takut kalau-kalau dia menjadi sombong dan dikutuk seperti Iblis dahulu. Dia mestilah mempunyai nama yang baik dan dihormati oleh orang di luar jemaah, supaya dia tidak dicela dan terjerumus ke dalam perangkap Iblis. Penolong jemaah juga haruslah orang yang dihormati, bukan orang yang lidah bercabang, pemabuk atau mengejar keuntungan secara haram. Mereka hendaklah berpegang teguh pada rahsia iman dengan hati nurani yang suci. Tetapi mereka harus diuji terlebih dahulu dan jika didapati mereka tidak bercela, barulah dijadikan penolong jemaah. Begitu juga isteri mereka, mestilah orang yang dihormati, tidak memfitnah orang, mengamalkan kesederhanaan dan penguasaan diri, dan jujur dalam semua hal. Setiap penolong jemaah haruslah orang yang hanya beristeri satu dan mendidik anak-anak serta mengurus rumah tangga dengan baik. Penolong jemaah yang telah menjalankan tugas dengan baik akan dihormati dan menjadi amat yakin dalam iman dalam Kristus Yesus. Aku menuliskan hal-hal ini kepadamu, sungguhpun aku berharap akan dapat mengunjungimu tidak lama lagi. Namun demikian, kalau-kalau aku tidak dapat datang dengan cepat, aku menuliskannya supaya engkau tahu bagaimana seharusnya berkelakuan dalam keluarga Allah, iaitu jemaah Allah yang hidup, tiang dan asas kebenaran. Tidak dapat dinafikan betapa mulianya rahsia iman: Dia telah menampakkan diri sebagai manusia, dinyatakan benar oleh Roh Kudus, dilihat oleh para malaikat, dikhabarkan kepada bangsa-bangsa, dipercayai di seluruh dunia, dinaikkan dengan kemuliaan.