1 TIMOTIUS 1:1-11
1 TIMOTIUS 1:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Surat ini daripada Paulus yang menjadi rasul Kristus Yesus dengan perintah Allah, Penyelamat kita dan Kristus Yesus, harapan kita. Aku menulis surat ini kepada Timotius, yang dalam iman kita kepada Kristus, bagaikan anakku sendiri. Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Tuhan kita mengurniai engkau berkat, rahmat dan kesejahteraan. Aku ingin engkau tinggal di Efesus sebagaimana aku tekankan pada waktu aku pergi ke Makedonia. Beberapa orang di Efesus sedang menyebarkan ajaran sesat, dan engkau mesti menyuruh mereka berhenti mengajarkannya. Suruhlah mereka berhenti mengajarkan dongeng dan senarai nenek moyang yang sangat panjang. Semua itu hanya menimbulkan pertengkaran dan tidak berguna bagi rancangan Allah yang dapat diketahui melalui kepercayaan kepada-Nya. Perintah ini bertujuan menjadikan kita saling mengasihi dengan kasih yang berasal daripada hati yang murni, hati nurani yang suci, dan kepercayaan yang sungguh-sungguh kepada Tuhan. Beberapa orang sudah menyimpang daripada hal-hal itu, lalu tersesat dalam perbincangan yang sia-sia. Mereka ingin menjadi guru Taurat, tetapi mereka tidak memahami kata-kata mereka sendiri ataupun hal-hal yang dikemukakan mereka dengan penuh keyakinan. Kita tahu bahawa Taurat baik, jika digunakan dengan betul. Perlu diingat bahawa hukum diadakan bukan untuk orang baik, tetapi untuk orang jahat dan pelanggar hukum, orang yang tidak mengenal Allah dan orang berdosa, orang yang tidak salih dan yang duniawi, orang yang membunuh ayah atau ibu, pembunuh, orang yang cabul dan yang memburit, pedagang abdi, pembohong, saksi palsu, dan sesiapa sahaja yang membuat perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran yang benar. Ajaran itu terdapat di dalam Berita Baik yang dipercayakan kepadaku untuk diisytiharkan. Berita Baik yang mulia itu diberikan oleh Allah yang patut dipuji.
1 TIMOTIUS 1:1-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
BAHWA Paulus, sa’orang rasul Isa Almasih dŭngan prentah Allah pŭnulong kami, dan Tuhan Isa Almasih, pŭngharapau kami. Iya itu datang kapada Timothius, anakku sŭndiri yang dalam iman: maka biarlah nihmat, dan rahmat, dan slamat, kiranya atasmu deripada Allah, iya itu Ayah kami, dan Isa Almasih Tuhan kami. Spŭrti yang tŭlah aku mŭminta kapadamu tinggallah lagi diEfesus, apabila aku pŭrgi kanŭgri Makadonia, supaya bulih angkau amanatkan barang orang jangan iya mŭngajar pŭngajaran yang lain. Dan jangan pula dŭngar dŭngarkan akan chŭrita yang bukan bukan, dan deri hal katuronan yang tiada bŭrkaputusan, yang mŭndatangkan bŭrsual sual lebih deripada ibadat kapada Allah yang ada dalam iman yang bŭrfiedah. Adapun kasudahan hukum itu pŭngasihan adanya, yang tŭrbit deripada hati yang suchi, dan angan angan hati yang baik, dan deripada iman yang jauh deripada pura pura. Maka deripada hal yang dŭmkianlah, ada orang yang tŭlah sŭsat tŭrbalik kapada pŭrbantahan yang sia sia. Maka dikahandakinya mŭnjadi alim alim dalam hukum tauret; tŭtapi tiadalah dikŭtahuinya apa yang dikatakannya itu, atau deri mana marika itu mŭndapat kanyataannya. Tŭtapi kami kŭtahui tauret itu baik adanya, jikalau orang mŭnggunakan dia itu dŭngan spatutnya; Sŭbab tŭlah dikŭtahui dŭmkian ini, iya itu hukum itu bukannya diadakan sŭbab orang bŭnar, mŭlainkan sŭbab kŭrna orang orang dŭrhaka, dan yang tiada mahu ta’lok, dan pada orang yang fasik, dan bŭrdosa, dan pada orang orang nŭjis, dan orang orang chabol, dan pada orang orang yang mŭmbunoh bapa, dan pada orang yang mŭmbunoh ibu, dan pada orang yang mŭmbunoh orang; Dan pada orang orang pŭrsundalan, dan pada orang orang liwat, dan pada orang orang mŭnchuri orang, dan pada orang orang pŭmbohong, dan pada orang orang bŭrsumpah dusta, dan jikalau ada barang pŭrkara lain lain yang mŭlawan pŭngajaran yang baik. Mŭnurot kamulian Injil deripada Allah yang bŭrahmat, yang tŭlah disŭrahkan padaku.
1 TIMOTIUS 1:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Daripada Paulus, rasul Kristus Yesus, dengan perintah Allah Penyelamat kita dan Kristus Yesus, harapan kita, Kepada Timotius, anak sejatiku dalam iman: Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Tuhan kita menganugerahimu kasih kurnia, belas kasihan dan kesejahteraan. Sebagaimana telah kutegaskan kepadamu ketika aku bertolak ke Makedonia, supaya kamu tinggal di Efesus untuk memerintahkan beberapa orang berhenti daripada menyebarkan ajaran sesat, mendengar cerita dongeng dan salasilah yang panjang. Semua itu hanya menimbulkan pertengkaran dan tidak membawa ke jalan Allah yang berasaskan iman. Tujuan perintah ini ialah kasih yang datang daripada hati yang suci, hati nurani yang bersih dan iman yang ikhlas. Sesetengah mereka telah menyimpang daripadanya dan berpaling kepada perbincangan yang sia-sia. Mereka hendak menjadi guru hukum, tetapi mereka tidak memahami apa yang dikatakan mereka dan hal-hal yang ditegaskan mereka dengan begitu yakin. Tetapi kita tahu bahawa hukum adalah baik jika digunakan dengan betul. Kita tahu bahawa hukum diadakan bukan untuk orang yang benar, tetapi untuk orang yang hidup berleluasa dan ingkar, untuk orang yang tidak taat akan Allah dan yang berbuat dosa, untuk orang yang tidak salih dan yang mengutamakan dunia, untuk pembunuh ibu bapa sendiri, serta untuk semua pembunuh. Selain itu juga untuk pencabul, untuk pemburit, untuk penculik, untuk pendusta, untuk saksi palsu, dan untuk orang yang melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan ajaran benar yang berasaskan Injil mulia Allah Yang Terpuji. Injil inilah yang diamanahkan kepadaku untuk disampaikan.