1 TESALONIKA 4:3-8
1 TESALONIKA 4:3-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Inilah kehendak Allah bagi kamu: Hendaklah kamu mengamalkan hidup yang suci, dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang cabul. Setiap orang lelaki antara kamu harus tahu bagaimana hidup bersama-sama isterinya dengan cara yang menyenangkan hati Allah dan manusia, serta tidak mengikut hawa nafsu, seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Allah. Dalam hal seperti ini, janganlah seorang pun berbuat salah terhadap saudaranya, ataupun memperdayakan dia. Kami telah memberitahu kamu hal ini dahulu dan telah memberikan amaran yang keras kepada kamu bahawa Tuhan akan menghukum orang yang melakukan kesalahan seperti itu. Allah tidak memanggil kita supaya hidup cabul, tetapi supaya kita hidup dengan cara yang menyenangkan hati Allah. Oleh itu, orang yang menolak ajaran ini, bukannya menolak manusia, tetapi menolak Allah yang mengurniai kamu Roh-Nya yang suci.
1 TESALONIKA 4:3-8 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Kŭrna inilah kahandak Allah, iya itu deri hal kasuchianmu, supaya kamu patut tŭrplihara deripada zinah. Supaya tiap tiap orang deripada kamu patut mŭngatahui bagimana mŭmpliharakan bŭjananya dalam kasuchian dan kamulian. Bukannya dŭngan kainginan hawa nafsu, spŭrti pŭrbuatan orang sŭsat yang tiada mŭngatahui Allah. Maka janganlah barang sa’orang juapun mŭliwat, dan mŭmpŭrdayakan saudaranya dalam barang pŭrkara: kŭrna Tuhanlah mŭnjadi pŭmbalas akan sagala orang yang dŭmkian, spŭrti kami pun sudah mŭngingatkan dan bŭrsaksi kapada kamu. Kŭrna bukannya kami ini dijŭmpot Allah akan bŭrbuat nŭjis, mŭlainkan bŭrbuat suchi. Maka sŭbab itu orang yang ŭnggau itu, maka bukannya iya ŭnggankan manusia, mŭlainkan Allah, yang tŭlah mŭngurniakan Rohnya yang suchi itu kapada kami.
1 TESALONIKA 4:3-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Allah menghendakimu hidup suci dan menjauhkan diri daripada perbuatan cabul. Hendaklah kamu masing-masing tahu bagaimana mengawal tubuh badan sendiri dan hidup dalam kesucian dan kehormatan, serta tidak menurut hawa nafsu seperti yang dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Allah. Janganlah sesiapa berbuat salah kepada saudaranya atau memperdayanya dalam hal ini. Kami telah menyatakan ini kepadamu dahulu dan memberikan amaran keras bahawa Tuhan akan menimpakan pembalasan kepada orang yang melakukan kesalahan demikian. Allah tidak memanggil kita supaya hidup cabul tetapi agar hidup dalam kesucian. Oleh yang demikian, sesiapa yang menolak ajaran ini bukanlah sekadar menolak manusia tetapi menolak Allah yang mengurniai kita Roh Kudus-Nya.