1 TESALONIKA 4:1-18
1 TESALONIKA 4:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Akhirnya, saudara-saudaraku, kami telah memberikan teladan kepada kamu tentang cara hidup yang menyenangkan hati Allah. Aku tahu bahawa memang demikianlah cara kamu hidup. Tetapi sekarang demi nama Tuhan Yesus, kami meminta dan menggesa kamu supaya berbuat lebih daripada hal itu. Aku berkata demikian kerana kamu mengetahui petunjuk-petunjuk yang telah kami berikan kepada kamu dengan kuasa Tuhan Yesus. Inilah kehendak Allah bagi kamu: Hendaklah kamu mengamalkan hidup yang suci, dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang cabul. Setiap orang lelaki antara kamu harus tahu bagaimana hidup bersama-sama isterinya dengan cara yang menyenangkan hati Allah dan manusia, serta tidak mengikut hawa nafsu, seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Allah. Dalam hal seperti ini, janganlah seorang pun berbuat salah terhadap saudaranya, ataupun memperdayakan dia. Kami telah memberitahu kamu hal ini dahulu dan telah memberikan amaran yang keras kepada kamu bahawa Tuhan akan menghukum orang yang melakukan kesalahan seperti itu. Allah tidak memanggil kita supaya hidup cabul, tetapi supaya kita hidup dengan cara yang menyenangkan hati Allah. Oleh itu, orang yang menolak ajaran ini, bukannya menolak manusia, tetapi menolak Allah yang mengurniai kamu Roh-Nya yang suci. Tidak perlu kami menulis tentang bagaimana kamu harus mengasihi saudara-saudara seiman. Kamu sendiri telah diajar oleh Allah bagaimana kamu harus saling mengasihi. Kamu sudah menunjukkan hal ini kepada semua saudara seiman di seluruh Makedonia. Oleh itu, saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya lebih saling mengasihi. Berusahalah hidup dengan tenang; janganlah campuri hal orang lain dan carilah nafkah sendiri, sebagaimana kami katakan kepada kamu dahulu. Dengan cara ini kamu akan dihormati oleh mereka yang tidak percaya kepada Kristus. Kamu pun tidak perlu bergantung kepada sesiapa pun bagi keperluan kamu. Saudara-saudaraku, kami ingin kamu mengetahui yang sebenarnya tentang mereka yang sudah meninggal dunia, supaya kamu tidak bersedih hati seperti orang yang tidak mempunyai harapan. Kita percaya bahawa Yesus sudah mati dan hidup semula. Demikian juga kita percaya bahawa mereka yang percaya kepada Yesus dan sudah meninggal dunia akan dihidupkan semula oleh Allah supaya hidup bersama-sama Yesus. Yang kami beritahukan kepada kamu ini ajaran Tuhan: Pada hari Tuhan datang kelak, kita yang masih hidup tidak akan mendahului mereka yang sudah meninggal dunia. Pada masa itu malaikat agung akan berseru dengan suara yang kuat dan trompet Allah dibunyikan, lalu Tuhan sendiri akan turun dari syurga. Mereka yang percaya kepada Kristus dan sudah meninggal dunia akan dihidupkan terlebih dahulu. Kemudian kita yang masih hidup pada waktu itu akan diangkat bersama-sama mereka ke awan untuk berjumpa dengan Tuhan di angkasa. Lalu kita akan bersama-sama Tuhan selama-lamanya. Oleh itu, hendaklah kamu saling membesarkan hati dengan kata-kata ini.
1 TESALONIKA 4:1-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
TAMBAHAN pula, saudara saudara, kami pinta sŭrta mŭnasihatkan kamu dŭngan bŭrkat Tuhan Isa, bahwa spŭrti yang kamu sudah mŭnŭrima deripada kami, iya itu bŭtapa patut kamu jalankan dan mŭmbuat kŭrelaan Allah, dŭmkianlah handaknya kamu bŭrtambah makin makin lebih. Kŭrna kamu tŭlah mŭngatahui, hukum hukum apakah yang kami tŭlah mŭmbri kapada kamu ulih Tuhan Isa. Kŭrna inilah kahandak Allah, iya itu deri hal kasuchianmu, supaya kamu patut tŭrplihara deripada zinah. Supaya tiap tiap orang deripada kamu patut mŭngatahui bagimana mŭmpliharakan bŭjananya dalam kasuchian dan kamulian. Bukannya dŭngan kainginan hawa nafsu, spŭrti pŭrbuatan orang sŭsat yang tiada mŭngatahui Allah. Maka janganlah barang sa’orang juapun mŭliwat, dan mŭmpŭrdayakan saudaranya dalam barang pŭrkara: kŭrna Tuhanlah mŭnjadi pŭmbalas akan sagala orang yang dŭmkian, spŭrti kami pun sudah mŭngingatkan dan bŭrsaksi kapada kamu. Kŭrna bukannya kami ini dijŭmpot Allah akan bŭrbuat nŭjis, mŭlainkan bŭrbuat suchi. Maka sŭbab itu orang yang ŭnggau itu, maka bukannya iya ŭnggankan manusia, mŭlainkan Allah, yang tŭlah mŭngurniakan Rohnya yang suchi itu kapada kami. Maka deri hal kasih antara saudara bŭrsaudara itu, ta’usahlah aku tuliskan pada kamu: kŭrna kamu sŭndiri tŭlah diunjokkan Allah akan mŭngasihi sa’orang akan sa’orang. Maka sungguh adalah kamu bŭrbuat yang dŭmkian kapada sagala saudara yang ada dalam sŭluroh Makadonia: tŭtapi kami mŭminta kapada kamu saudara saudara, supaya kamu bŭrtambah makin makin lebih. Dan lagi handaklah kamu bŭlajar mŭnjadi orang pŭndiam, dŭngan bŭrbuat pŭkŭrjaan sŭndiri sŭndiri sahja, dan bŭkŭrja dŭngan tanganmu sŭndiri, spŭrti yang kami tŭlah mŭnyuroh. Supaya kamu bŭrlakn dŭngan tulosnya kapada sagala orang kluaran, dan jangan kŭlak kamu bŭrkorangan dalam barang pŭrkara. Maka aku ta’mahu biarkan angkau mŭnjadi bodoh, saudara saudara, deri hal sagala orang yang mangkat bŭradu, supaya jangan kamu bŭrdukachita, spŭrti orang lain lain yang tiada mŭnaroh harap. Kŭrna jikalau kami pŭrchaya Isa itu tŭlah mati dan tŭlah hidop pula, maka dŭmkianlah juga kŭlak marika itupun yang mangkat bŭradu dŭngan bŭrkat Isa, iya itu dibawa Allah kapadanya. Kŭrna pŭrkataan kami ini kapada kamu dŭngan fŭrman Tuhan, adapun kami ini yang ada hidop sŭrta tinggal sampie kapada kadatangan Tuhan itu, tiada akan mŭndahului akan orang orang yang adalah mangkat bŭradu adanya. Kŭrna Tuhan sŭndiri akan datang deri dalam shorga dŭngan tŭmpek, dan dŭngan swara pŭnghulu mŭliekat, dan dŭngan sangkakala Allah, maka sagala orang yang tŭlah mati dŭngan bŭrkat Almasih itu akan bŭrbangkit dahulu. Kumdian kami ini pula yang ada hidop sŭrta tinggal, akan diangkatkan bŭrsama sama dŭngan marika itu dalam awan awan, akan bŭrtŭmu dŭngan Tuhan diudara: maka dŭmkianlah kŭlak kami ada bŭsŭrta dŭngan Tuhan slama lamanya. Maka sŭbab itu handaklah dihiburkan sa’orang akan sa’orang dŭngan pŭrkataan ini.
1 TESALONIKA 4:1-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Akhirnya, saudara-saudaraku, dengan nama Tuhan Yesus, kami meminta dan menyeru kamu sebagaimana yang kamu pelajari daripada kami supaya kamu menegakkan cara hidup yang diredai Allah. Sebagaimana yang telah kamu lakukan sedemikian, lakukannya dengan lebih bersungguh-sungguh. Kamu mengetahui petunjuk-petunjuk yang telah kami berikan kepadamu melalui Tuhan Yesus. Allah menghendakimu hidup suci dan menjauhkan diri daripada perbuatan cabul. Hendaklah kamu masing-masing tahu bagaimana mengawal tubuh badan sendiri dan hidup dalam kesucian dan kehormatan, serta tidak menurut hawa nafsu seperti yang dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Allah. Janganlah sesiapa berbuat salah kepada saudaranya atau memperdayanya dalam hal ini. Kami telah menyatakan ini kepadamu dahulu dan memberikan amaran keras bahawa Tuhan akan menimpakan pembalasan kepada orang yang melakukan kesalahan demikian. Allah tidak memanggil kita supaya hidup cabul tetapi agar hidup dalam kesucian. Oleh yang demikian, sesiapa yang menolak ajaran ini bukanlah sekadar menolak manusia tetapi menolak Allah yang mengurniai kita Roh Kudus-Nya. Kami tidak perlu menuliskan tentang kasih persaudaraan kerana Allah telah mengajarmu supaya kasih-mengasihi satu sama lain. Kamu telah pun mengamalkannya terhadap saudara-saudara seiman di serata Makedonia. Namun demikian, saudara-saudaraku, kami menyerumu supaya lebih kasih-mengasihi lagi. Berusahalah untuk hidup tenang, usah campuri hal orang dan carilah nafkah sendiri, sebagaimana yang kami katakan kepadamu dahulu. Dengan demikian kamu akan dihormati oleh mereka yang bukan pengikut Kristus dan kamu tidak akan kekurangan apa-apa. Saudara-saudaraku, kami mahu kamu mengetahui kebenaran tentang orang yang telah mati, agar kamu tidak bersedih seperti orang yang tidak mempunyai harapan. Kita percaya bahawa Yesus telah mati dan hidup semula. Kita juga percaya bahawa mereka yang beriman kepada Yesus dan kemudiannya mati akan dihidupkan semula oleh Allah untuk hidup bersama-Nya. Inilah ajaran Tuhan yang kami sampaikan kepadamu bahawa pada hari kedatangan Tuhan yang masih hidup tidak akan mendahului mereka yang sudah mati. Pada waktu itu, Tuhan akan turun dari syurga dengan satu seruan yang kuat, dengan suara malaikat agung, dan dengan sangkakala Allah. Mereka yang telah mati dalam Kristus akan dibangkitkan terlebih dahulu. Kemudian kita yang masih hidup ketika itu akan diangkat bersama mereka ke awan untuk bertemu dengan Tuhan di angkasa. Lantas kita akan bersama Tuhan selama-lamanya. Oleh itu, hendaklah kamu menyenangkan hati sesama sendiri dengan kata-kata ini.