1 SAMUEL 4:1-22

1 SAMUEL 4:1-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Setiap kali Samuel berkata-kata, semua orang Israel mendengarkan dia. Pada masa itu orang Filistin mengumpulkan tentera mereka untuk menyerang Israel. Oleh itu tentera Israel pun maju ke medan peperangan. Tentera Israel berkhemah di Eben-Haezer, dan tentera Filistin berkhemah di Afek. Tentera Filistin menyerang tentera Israel, dan setelah bertempur dengan sengit, tentera Israel kalah. Kira-kira 4,000 orang Israel dibunuh oleh tentera Filistin di medan peperangan. Apabila tentera Israel yang masih hidup pulang ke perkhemahan, para pemimpin Israel berkata, “Mengapakah TUHAN membiarkan tentera Filistin mengalahkan kita hari ini? Marilah kita membawa Tabut Perjanjian TUHAN dari Silo, supaya Dia akan menyertai kita dan menyelamatkan kita daripada musuh.” Oleh itu mereka mengutus orang ke Silo untuk mengambil Tabut Perjanjian TUHAN Yang Maha Kuasa, yang bertakhta di atas kerub. Kedua-dua orang anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas pun datang bersama-sama Tabut Perjanjian itu. Apabila Tabut Perjanjian itu sampai di perkhemahan, tentera Israel bersorak dengan sangat kuat kerana gembira, sehingga bumi bergoncang. Tentera Filistin juga mendengar bunyi sorak itu lalu berkata, “Mengapakah orang Ibrani itu bersorak-sorak?” Tetapi selepas mereka mengetahui bahawa Tabut Perjanjian TUHAN sudah tiba di perkhemahan orang Ibrani, mereka menjadi takut. Mereka berkata, “Ada dewa datang ke perkhemahan mereka! Celakalah kita! Belum pernah kita mengalami perkara seperti ini! Siapakah yang dapat menyelamatkan kita daripada dewa-dewa yang kuat itu? Dewa-dewa itulah yang telah membinasakan orang Mesir di padang gurun dahulu. Jangan takut, hai tentera Filistin! Berperanglah seperti lelaki! Jika tidak, kita akan menjadi hamba orang Ibrani seperti mereka dahulu menjadi hamba kita. Oleh itu berperanglah dengan gagah berani!” Tentera Filistin berperang dengan sekuat tenaga, lalu mereka mengalahkan tentera Israel. Tentera Israel lari ke khemah masing-masing kerana mereka kalah teruk; sebanyak 30,000 orang askar Israel terbunuh. Tabut Perjanjian Allah dirampas oleh musuh, dan kedua-dua orang anak Eli, Hofni dan Pinehas terbunuh. Seorang daripada suku Benyamin lari dari medan peperangan lalu pergi ke Silo. Dia tiba di Silo pada hari itu juga. Dia sudah mengoyak-ngoyakkan pakaiannya dan menaruh tanah di atas kepala sebagai tanda berdukacita. Eli, yang sangat cemas memikirkan keselamatan Tabut Perjanjian itu sedang duduk di atas kerusi di tepi jalan, sambil termenung. Apabila orang itu menyebarkan berita kekalahan Israel di seluruh kota, semua orang menangis dengan kuat. Eli mendengar keriuhan itu, lalu bertanya, “Keriuhan apakah itu?” Sementara itu orang tadi berlari kepada Eli dan menyampaikan berita buruk itu. Pada masa itu Eli sudah berumur sembilan puluh lapan tahun dan dia hampir buta. Orang itu berkata kepada Eli, “Saya lari dari medan peperangan hari ini dan baru saja sampai.” Eli bertanya kepadanya, “Apa khabar, hai anakku?” Pembawa khabar itu menjawab, “Tentera Israel lari daripada tentera Filistin. Kita mengalami kekalahan yang teruk sekali. Banyak orang terbunuh, termasuk kedua-dua orang anak tuan, Hofni dan Pinehas. Tabut Perjanjian Allah juga dirampas musuh!” Apabila orang itu menyebut tentang Tabut Perjanjian, Eli jatuh terlentang dari kerusinya, di tepi pintu gerbang. Dia sangat tua dan gemuk, sehingga apabila dia jatuh lehernya patah. Ketika itu juga dia meninggal. Dia menjadi pemimpin Israel selama empat puluh tahun. Pada masa itu, menantu Eli, iaitu isteri Pinehas, sedang mengandung dan telah hampir masanya untuk bersalin. Apabila dia mendengar bahawa Tabut Perjanjian Allah sudah dirampas dan bapa mentuanya serta suaminya sudah meninggal, tiba-tiba dia berasa sakit beranak, lalu tidak lama kemudian dia bersalin. Apabila dia sudah hampir meninggal, wanita-wanita yang menolong dia berkata kepadanya, “Tabahlah! Anakmu lelaki!” Namun dia tidak menjawab atau memperhatikan mereka. Dia menamakan anak itu Ikabod. Katanya, “Israel sudah kehilangan kemuliaan Allah.” Dia berkata demikian kerana Tabut Perjanjian sudah dirampas dan bapa mentuanya serta suaminya sudah meninggal. Dia berkata, “Kemuliaan Allah sudah meninggalkan Israel, kerana Tabut Perjanjian Allah sudah dirampas.”

1 SAMUEL 4:1-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Perkataan Samuel sampai kepada semua orang Israel. Maka majulah orang Israel untuk menghadapi orang Filistin dalam peperangan. Mereka berkhemah dekat Eben-Haezer manakala orang Filistin berkhemah di Afek. Orang Filistin mengatur barisan untuk berhadapan dengan orang Israel dan berjaya menewaskan kira-kira empat ribu orang Israel di medan perang itu ketika pertempuran begitu sengit lagi meluas. Ketika anggota pasukan yang selamat sampai di perkhemahan, berkatalah para tua-tua Israel, “Mengapakah hari ini TUHAN membuat kita kalah di hadapan orang Filistin? Mari kita membawa tabut perjanjian TUHAN dari Silo ke sini, supaya Dia hadir antara kita dan menyelamatkan kita daripada tangan musuh-musuh kita ini.” Mereka pun menyuruh beberapa orang ke Silo untuk membawa tabut perjanjian TUHAN alam semesta, yang bersemayam di atas para kerubin. Kedua-dua orang anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas mengiring tabut perjanjian Allah itu. Sebaik sahaja tibanya tabut perjanjian TUHAN di perkhemahan, bersoraklah seluruh orang Israel dengan nyaring, sehingga bumi bergoncang. Dan orang Filistin yang mendengar bunyi sorak itu berkata, “Apakah bunyi sorak yang nyaring di perkhemahan orang Ibrani itu?” Lalu diketahuilah mereka bahawa tabut TUHAN telah sampai di perkhemahan itu. Maka orang Filistin menjadi ketakutan. Kata mereka, “Allah mereka telah datang ke perkhemahan itu!” Kata mereka lagi, “Malangnya kita! Hal semacam ini belum pernah terjadi dahulu. Malangnya kita! Siapakah yang dapat melepaskan kita daripada tuhan-tuhan yang maha besar ini? Tuhan-tuhan inilah yang telah memusnahkan orang Mesir dengan berbagai-bagai wabak di gurun. Kuatkanlah hatimu dan bertindaklah seperti lelaki, wahai orang Filistin, supaya jangan kamu menjadi hamba orang Ibrani sebagaimana mereka menjadi hambamu. Berlakulah seperti lelaki dan berperanglah!” Lalu berperanglah orang Filistin, dan orang Israel pun tewas lalu mereka melarikan diri ke khemah masing-masing. Terjadilah pembunuhan yang amat besar, dan daripada tentera orang Israel, gugur tiga puluh ribu orang pasukan berjalan kaki. Selain itu, tabut Allah pun dirampas dan kedua-dua anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas, terbunuh. Pada hari itu juga ada seorang Benyamin yang lari meninggalkan barisan perang menuju Silo. Pakaiannya koyak-koyak dan ada debu tanah di atas kepalanya. Ketika tibanya di Silo, Eli yang sedang menunggu-nunggu itu duduk di sebuah kerusi di tepi jalan. Hatinya gementar kerana tabut Allah itu. Orang itu masuk ke dalam kota dan menyampaikan berita tentang apa yang terjadi. Maka berteriaklah seluruh penduduk kota. Apabila terdengar olehnya bunyi jeritan itu, Eli pun bertanya, “Kekecohan apakah itu?” Orang itu segera datang dan memberitahukan apa yang terjadi kepada Eli. Pada waktu itu umur Eli sembilan puluh delapan tahun dan matanya sudah kabur sehingga dia tidak dapat melihat lagi. Kata orang itu kepada Eli, “Aku baru sahaja datang dari medan perang. Hari ini aku lari meninggalkan barisan hadapan.” Tanya Eli, “Bagaimanakah keadaan peperangan itu, wahai anakku?” Jawab pembawa khabar itu, “Orang Israel kalah teruk dan lari dari hadapan orang Filistin, bahkan ramai warga kita yang terkorban. Kedua-dua orang anak tuan, Hofni dan Pinehas, mati juga dan tabut Allah telah dirampas oleh musuh.” Apabila dikhabarkan fasal tabut perjanjian Allah itu, jatuhlah Eli telentang dari kerusi di sebelah pintu gerbang, batang lehernya patah lalu matilah dia yang gemuk dan sudah begitu lanjut usia. Selama empat puluh tahun dia memerintah sebagai hakim kepada orang Israel. Pada waktu itu, menantu perempuannya, iaitu isteri Pinehas, sedang mengandung dan hampir bersalin. Apabila perempuan itu mendengar khabar tentang tabut Allah yang telah dirampas dan tentang mertuanya serta suaminya yang telah meninggal, dia pun berlutut lalu melahirkan anaknya, kerana tiba-tiba dia dilanda rasa sakit bersalin. Pada waktu ajalnya mendekat, berkatalah perempuan-perempuan yang berdiri di sisinya, “Jangan takut, kerana engkau telah melahirkan seorang anak lelaki.” Namun demikian, dia tidak menjawab ataupun memberi perhatian. Lalu anak itu dinamainya Ikabod. Katanya, “Kemuliaan sudah hilang dari Israel” — kerana tabut Allah telah dirampas dan kerana mertua serta suaminya itu. Katanya, “Sudah hilang kemuliaan daripada Israel, kerana tabut Allah telah dirampas.”