1 SAMUEL 3:1-21

1 SAMUEL 3:1-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Sementara itu, Samuel yang masih kanak-kanak, sedang mengabdi kepada TUHAN di bawah pengawasan Eli. Pada masa itu jarang sekali ada firman dan penglihatan daripada TUHAN. Pada suatu malam, Eli yang sudah sangat tua dan hampir buta, sedang tidur di biliknya. Pada masa itu Samuel tidur di dalam rumah TUHAN, tempat letaknya Tabut Perjanjian Allah. Sebelum fajar, ketika pelita di atas mazbah masih menyala, TUHAN memanggil Samuel. Samuel menjawab, “Ya tuan!” Kemudian dia lari kepada Eli dan berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.” Tetapi Eli menjawab, “Aku tidak memanggil engkau. Pergilah tidur.” Lalu Samuel pergi tidur semula. Kemudian TUHAN memanggil Samuel lagi. Samuel tidak tahu bahawa yang memanggilnya itu TUHAN, kerana belum pernah TUHAN berfirman kepadanya. Oleh itu dia bangun dan pergi kepada Eli, dan berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.” Tetapi Eli menjawab, “Aku tidak memanggil engkau, anakku. Pergilah tidur.” TUHAN memanggil Samuel pada kali ketiga, lalu Samuel bangun dan pergi kepada Eli. Dia berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.” Kemudian Eli sedar bahawa TUHAN yang memanggil anak itu. Oleh itu Eli berkata kepada Samuel, “Pergilah tidur. Jika engkau dipanggil lagi, jawablah, ‘Berfirmanlah, ya TUHAN. Hamba-Mu mendengar.’ ” Lalu Samuel balik ke tempat tidurnya. Kemudian TUHAN datang dan berdiri di tempat itu serta memanggil dia lagi, “Samuel! Samuel!” Samuel menjawab, “Berfirmanlah, ya TUHAN. Hamba-Mu mendengar.” TUHAN berfirman kepadanya, “Aku akan melakukan suatu perkara yang dahsyat terhadap umat Israel, sehingga tiap-tiap orang yang mendengarnya akan terpegun. Pada hari itu Aku akan melaksanakan segala ancaman-Ku terhadap keluarga Eli, dari mula sampai akhir. Aku sudah memberitahu dia bahawa Aku akan menghukum keluarganya untuk selama-lamanya, kerana anak-anaknya telah menghina Aku. Eli tahu akan perbuatan mereka itu, tetapi dia tidak melarang mereka. Oleh itu Aku bersumpah kepada keluarga Eli, bahawa untuk selama-lamanya tiada korban atau persembahan apa pun yang akan dapat menghapuskan dosa yang dahsyat itu.” Selepas itu Samuel berbaring di tempat tidurnya sampai pagi. Kemudian dia bangun lalu membuka pintu-pintu rumah TUHAN. Dia takut memberitahu Eli tentang penglihatan itu, tetapi Eli memanggil dia, “Samuel, anakku!” “Ya tuan,” sahut Samuel. Eli bertanya, “Apakah yang difirmankan TUHAN kepadamu? Ceritakanlah segalanya kepadaku. Jika ada sesuatu yang engkau rahsiakan, tentu engkau akan dihukum dengan berat oleh Allah.” Oleh itu Samuel menceritakan segala-galanya. Dia tidak merahsiakan apa-apa pun. Kemudian Eli berkata, “Dialah TUHAN; biarlah Dia melakukan apa yang dianggap-Nya baik.” Samuel bertambah besar. TUHAN menyertai dia dan membuat segala yang dikatakan Samuel benar-benar berlaku. Maka segenap umat Israel dari seluruh negeri itu mengakui bahawa Samuel ialah nabi TUHAN. TUHAN terus menampakkan diri di Silo. Di situlah Dia telah menampakkan diri kepada Samuel dan berfirman kepadanya.

1 SAMUEL 3:1-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Samuel yang muda itu mengerjakan amalan ibadat kepada TUHAN di bawah pengawasan Eli. Pada masa itu jarang-jarang didapati firman TUHAN dan juga tidak begitu sering berlakunya penglihatan. Pada suatu hari Eli, yang matanya mulai kabur dan tidak dapat melihat dengan baik itu sedang berbaring di tempat tidurnya. Pelita Bait Suci Allah belum lagi padam dan Samuel sedang berbaring di tempat tabut Allah di dalam Bait Suci TUHAN. Lalu TUHAN memanggil Samuel, dan dia menjawab, “Ya, aku ada di sini,” lalu dia berlari kepada Eli dan berkata, “Ini aku. Tuan memanggilku?” Jawabnya, “Aku tidak memanggilmu. Berbaringlah lagi.” Lalu pergilah dia berbaring. TUHAN memanggil Samuel sekali lagi. Maka bangunlah Samuel lalu pergi mendapatkan Eli seraya berkata, “Ya, aku ada di sini, bukankah tuan memanggil aku?” Tetapi Eli berkata, “Aku tidak memanggil, anakku; tidurlah semula.” Samuel belum lagi mengenal TUHAN bahkan firman TUHAN belum pernah dinyatakan kepadanya. Kemudian TUHAN memanggil Samuel sekali lagi, buat kali ketiganya. Samuel pun bangunlah, lalu pergi mendapatkan Eli seraya katanya, “Ya, aku ada di sini, bukankah tuan memanggil aku?” Maka mengertilah Eli bahawa TUHAN yang memanggil anak itu. Lalu Eli berkata kepada Samuel, “Pergilah berbaring. Nanti, jika Dia memanggil engkau, katakanlah, ‘Ya TUHAN, berfirmanlah, hamba-Mu ini mendengarkannya.’ ” Maka pergilah Samuel berbaring di tempatnya. TUHAN pun hadir dan memanggilnya seperti yang sudah-sudah, “Samuel! Samuel!” Jawab Samuel, “Berfirmanlah, hamba-Mu ini mendengarkannya.” Lalu berfirmanlah TUHAN kepada Samuel, “Ketahuilah, Aku akan melakukan sesuatu di Israel, sehingga akan berdesing kedua-dua belah telinga setiap orang yang mendengarnya. Pada hari itu Aku akan melaksanakan segala sesuatu yang telah Kufirmankan kepada Eli mengenai keluarganya, daripada permulaan hingga penghabisannya. Aku telah memberitahunya bahawa Aku akan menghukum keluarganya untuk selama-lamanya atas kesalahan yang telah diketahuinya. Anak-anaknya telah mendatangkan kutukan atas diri mereka sendiri, namun Eli masih tidak menghalang kemungkaran mereka. Oleh sebab itu Aku telah bersumpah kepada keluarga Eli, bahawa kesalahan keluarga Eli tidak akan dapat dihapuskan dengan korban sembelihan atau dengan persembahan bahan makanan untuk selama-lamanya.” Samuel berbaring sampai pagi hari, lalu dibukanya pintu-pintu Bait TUHAN. Samuel berasa takut untuk memberitahukan penglihatan itu kepada Eli. Tetapi Eli memanggil Samuel, katanya, “Samuel, anakku.” Jawabnya, “Ya, aku ada di sini.” Kata Eli, “Firman apakah yang telah disampaikan kepadamu? Kumohon, jangan sembunyikan hal itu daripada aku. Biarlah Allah menjatuhkan azab kepadamu, bahkan lebih lagi, jika engkau menyembunyikan daripadaku sedikit sahaja daripada segala yang difirmankan-Nya kepadamu.” Maka Samuel memberitahu kepadanya segala hal itu tanpa menyembunyikan apa-apa. Kata Eli, “Dialah TUHAN. Biarlah Dia melakukan apa yang dipandang baik oleh-Nya.” Samuel semakin besar. TUHAN menyertainya dan tidak membiarkan satu pun daripada firman-Nya yang disampaikan melaluinya tergugur. Maka seluruh Israel, dari Dan sampai Bersyeba, tahu bahawa jawatan nabi TUHAN sudah disahkan kepada Samuel. TUHAN kembali menampakkan diri di Silo, dan melalui firman-Nya, TUHAN menyatakan diri-Nya kepada Samuel di Silo.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami