1 SAMUEL 27:1-7
1 SAMUEL 27:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Daud berfikir, “Bagaimanapun juga, pada suatu hari Raja Saul akan membunuh aku. Lebih baik aku lari ke negeri orang Filistin. Kemudian Raja Saul tidak akan mencari aku lagi di Israel, dan aku pun akan aman.” Oleh itu Daud dan enam ratus orang anak buahnya segera berangkat untuk menemui Raja Akhis anak Maokh, raja kota Gat. Daud dan anak buahnya tinggal di Gat bersama dengan keluarga masing-masing. Kedua-dua orang isteri Daud, Ahinoam yang berasal dari kota Yizreel, dan Abigail, balu Nabal yang berasal dari Karmel, juga menyertai dia. Apabila Raja Saul mendengar bahawa Daud sudah melarikan diri ke Gat, baginda tidak berusaha menangkapnya lagi. Kemudian Daud memberikan cadangan kepada Raja Akhis, “Jika tuanku berkenan dengan hamba, berilah hamba sebuah kota kecil di pedalaman untuk tempat tinggal, supaya hamba tuanku ini tidak menumpang kepada tuanku di ibu kota ini.” Oleh itu Raja Akhis memberikan kota Ziklag kepada Daud. Sejak itulah Ziklag menjadi milik raja-raja Yehuda. Daud tinggal di negeri orang Filistin selama satu tahun empat bulan.
1 SAMUEL 27:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Terfikirlah Daud dalam hatinya, “Bagaimanapun juga pada suatu hari aku akan binasa di tangan Saul. Oleh itu, tidak ada yang lebih baik bagiku selain berlari dan menyelinap ke negeri orang Filistin; tatkala itu tentunya Saul tiada harapan untuk mencari aku lagi di seluruh daerah Israel dan akan terlepaslah aku daripada tangannya.” Bersiap-siaplah Daud, lalu bersama-sama enam ratus orangnya, Daud segera menyeberang ke daerah Akhis anak Maokh, raja Gat. Maka menetaplah Daud berserta anak buahnya serta keluarga masing-masing dengan Akhis di Gat; Daud dengan kedua-dua orang isterinya, yakni Ahinoam, perempuan Yizreel, dan Abigail, bekas isteri Nabal, perempuan Karmel itu. Ketika dikhabarkan kepada Saul bahawa Daud telah melarikan diri ke Gat, dia tidak berusaha mencarinya lagi. Daud berkata kepada Akhis, “Jika tuanku berkenan pada hamba, berilah hamba tempat di salah sebuah kota di padang supaya hamba dapat tinggal di sana. Mengapakah hambamu ini harus tinggal bersama-sama tuanku di kota kerajaan?” Maka pada hari itu Akhis mengurniakan Ziklag kepadanya. Itulah sebabnya Ziklag menjadi milik raja-raja Yehuda sampai hari ini. Selama satu tahun empat bulan tinggallah Daud di daerah orang Filistin itu.