1 SAMUEL 25:4-35
1 SAMUEL 25:4-35 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada masa itu, Daud yang berada di padang gurun, mendengar hal itu. Kemudian Daud menyuruh sepuluh orang pemuda pergi ke Karmel. Daud menyuruh mereka menemui Nabal dan menyampaikan salam Daud kepadanya. Daud menyuruh mereka berkata demikian, “Daud mengirimkan salamnya kepada tuan dan keluarga tuan serta segala milik tuan. Daud mendengar bahawa tuan sedang menggunting bulu domba tuan. Ketahuilah bahawa para gembala tuan yang berada di kawasan kami tidak pernah kami ganggu, dan mereka belum pernah kehilangan apa pun selama berada di Karmel. Cubalah tanyakan hal itu kepada mereka. Tentu mereka akan mengesahkan hal itu. Oleh sebab itu, Daud berharap agar kami, anak buahnya diterima dengan baik di rumah tuan, kerana kami datang pada hari besar ini. Berikanlah apa saja menurut kerelaan tuan kepada hamba-hamba tuan ini dan juga kepada Daud, sahabat baik tuan.” Setelah anak buah Daud tiba di Karmel, mereka menyampaikan pesan Daud itu kepada Nabal, lalu mereka menunggu di situ. Tetapi Nabal menjawab, “Daud? Siapakah dia? Siapakah anak Isai itu? Belum pernah aku mendengar tentang dia! Akhir-akhir ini, ada banyak hamba yang lari daripada majikan mereka di negeri ini! Mana boleh aku mengambil roti dan air minumku, serta daging yang sudah kusediakan bagi para penggunting bulu dombaku, lalu memberikan semuanya kepada orang yang entah dari mana!” Oleh itu anak buah Daud kembali kepada Daud dan memberitahukan kata-kata Nabal itu kepadanya. “Ikatlah pedang kamu di pinggang masing-masing!” perintah Daud. Dengan segera anak buah Daud mentaati perintahnya. Daud juga mengikat pedangnya di pinggangnya lalu berangkat bersama dengan kira-kira empat ratus orang, sedang dua ratus orang yang lain tinggal untuk menjaga barang-barang. Sementara itu salah seorang pekerja Nabal berkata kepada Abigail, isteri Nabal, “Sudahkah puan mendengar tentang hal yang terjadi? Daud menyuruh beberapa orang utusan dari padang gurun untuk menyampaikan salam kepada tuan kita. Tetapi tuan kita menghina mereka, padahal mereka sangat baik terhadap kami dan tidak pernah mengganggu kami. Pada waktu kami bersama-sama mereka di padang gurun, tiada suatu apa pun milik kami yang dicuri. Mereka melindungi kami siang dan malam selama kami menggembalakan domba dekat mereka. Oleh itu fikirlah baik-baik apa yang harus dilakukan! Perkara ini mungkin mendatangkan bencana kepada tuan kita dan seluruh keluarganya. Tuan kita sangat keras kepala sehingga tidak mahu mendengar nasihat sesiapa pun!” Dengan segera Abigail mengambil 200 ketul roti, dua buah kirbat kulit yang penuh dengan wain, lima ekor domba panggang, 17 kilogram biji-bijian yang dipanggang, 100 rangkai kismis dan 200 ketul kuih ara. Dia memuat semua itu di atas beberapa ekor keldai. Kemudian dia berkata kepada hamba-hambanya, “Kamu berangkatlah dahulu. Aku akan menyusul.” Tetapi dia tidak memberitahukan hal itu kepada suaminya. Kemudian Abigail menunggang keldainya. Apabila dia sampai pada selekoh di pinggir gunung, dia berpapasan dengan Daud dan anak buahnya yang sedang turun menuju ke arahnya. Pada masa itu Daud sedang berfikir, “Sia-sialah aku melindungi milik orang itu di padang gurun! Tiada satu pun miliknya dicuri orang, dan sekarang dia membalas kebaikanku dengan kejahatan! Biarlah Allah membunuh aku jika aku tidak membunuh tiap-tiap orang lelaki di sana sebelum matahari terbit!” Apabila Abigail nampak Daud, dia segera turun dari keldainya lalu bersujud di kaki Daud. Abigail berkata, “Tolonglah tuan, sudilah mendengar kata-kata saya. Biarlah kesalahan itu saya tanggung sendiri! Janganlah pedulikan Nabal, orang yang tidak berguna itu. Bukankah namanya sendiri bermakna bodoh? Saya tidak ada di situ ketika utusan-utusan tuan tiba. TUHAN sudah mencegah tuan membalas dendam dan membunuh musuh tuan. Sekarang saya bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa musuh tuan dan semua orang yang hendak berbuat jahat terhadap tuan akan dihukum seperti Nabal. Terimalah pemberian yang saya bawa ini untuk tuan dan anak buah tuan. Ampunkanlah kesalahan saya. Tentu TUHAN akan menjadikan tuan serta keturunan tuan raja Israel, kerana tuan berperang bagi TUHAN; tuan tidak akan melakukan apa-apa kejahatan seumur hidup. Seandainya ada seseorang yang menyerang tuan dan cuba membunuh tuan, maka tentu TUHAN Allah akan melindungi tuan seperti seorang menjaga hartanya yang sangat berharga. Tetapi musuh tuan akan dilemparkan jauh-jauh oleh TUHAN, seperti batu yang dilontarkan dengan ali-ali. TUHAN akan melakukan segala kebaikan yang dijanjikan-Nya kepada tuan, dan tidak lama lagi tuan akan dijadikan-Nya raja Israel. Pada waktu itu tuan akan ingat bahawa tuan tidak membunuh tanpa alasan atau membalas dendam. Oleh itu tuan tidak perlu berasa sedih atau menyesal. Apabila TUHAN memberkati tuan kelak, janganlah lupa akan hamba tuan ini.” Kemudian Daud berkata kepadanya, “Pujilah TUHAN, Allah umat Israel, yang sudah mengutus kamu kepadaku pada hari ini! Aku bersyukur kerana kebijaksanaanmu. Tindakanmu pada hari ini telah mencegah aku melakukan pembunuhan untuk membalas dendam. TUHAN sudah menahan aku berbuat jahat terhadapmu. Demi TUHAN, Allah Israel yang hidup, seandainya kamu tidak segera menemui aku, sudah tentu semua anak buah Nabal telah mati pada waktu matahari terbit!” Daud menerima pemberian Abigail, lalu berkata kepadanya, “Pulanglah dan janganlah khuatir. Aku akan menunaikan permintaanmu.”
1 SAMUEL 25:4-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Di gurun itu Daud mendengar khabar bahawa Nabal sedang mengetam bulu domba-dombanya. Lalu Daud mengutus sepuluh orang muda. Kepada orang muda itu Daud berkata, “Pergilah ke Karmel dan temuilah Nabal. Tanyalah khabarnya atas namaku. Beginilah harus kamu katakan kepada orang yang hidup senang itu, ‘Sejahteralah tuan, sejahteralah keluarga tuan, dan sejahteralah segala yang ada pada tuan. Baru-baru ini kudengar khabar bahawa tuan sedang mengadakan pengetaman bulu domba. Para gembala tuan yang ada bersama-sama kami tidak pernah kami usik. Mereka pun tidak pernah kehilangan apa-apa selama mereka berada di Karmel. Tanyalah kepada para pembantu tuan. Mereka tentu akan memberitahukan hal itu kepada tuan. Oleh sebab itu mohon tuan bermurah hati kepada orang muda ini, kerana kami datang pada hari perayaan. Sudilah kiranya tuan memberikan apa yang ada pada tuan kepada hamba-hambamu ini dan kepada anakmu Daud.’ ” Setelah orang muda suruhan Daud itu tiba, mereka menyampaikan kepada Nabal kata-kata itu atas nama Daud, lalu mereka menunggu. Jawab Nabal kepada anak buah Daud, “Siapakah Daud itu? Siapakah anak Isai itu? Sekarang ini banyak hamba yang melarikan diri daripada tuan mereka. Masakan aku mengambil rotiku, airku, dan daging binatang yang telah kusembelih bagi para pengetam bulu dombaku lalu memberikannya kepada kalangan yang tidak kuketahui dari mana datangnya?” Maka pulanglah orang muda suruhan Daud itu. Setelah sampai, mereka menyampaikan kepadanya semua yang dikatakan Nabal itu. Maka kata Daud kepada anak buahnya, “Sandanglah pedang masing-masing!” Lalu mereka menyandang pedang masing-masing, dan begitu juga Daud. Ada kira-kira empat ratus orang yang pergi mengikuti Daud, sementara dua ratus orang lainnya tinggal untuk menjaga barang-barang mereka. Akan tetapi, seorang pembantu memberitahu Abigail, isteri Nabal, demikian, “Daud mengirimkan beberapa orang utusan dari gurun untuk mengucapkan salam kepada tuan kami, tetapi tuan memaki hamun mereka. Padahal orang itu sangat baik terhadap kami. Kami tidak diusik dan tidak kehilangan apa-apa pun selama kami bergaul dengan mereka di padang. Bahkan, selama kami menggembala domba berdekatan dengan mereka, mereka seperti tembok pelindung bagi kami, baik malam mahupun siang. Sekarang, fikirkanlah dan pertimbangkanlah apa yang harus puan lakukan, kerana mereka telah merancang untuk mendatangkan kecederaan terhadap tuan kami dan terhadap seluruh keluarganya. Tuan memang seorang yang berkelakuan jahat yang tidak dapat dibawa berbincang.” Kemudian Abigail segera mengambil dua ratus ketul roti, dua kantung kulit berisi air anggur, lima ekor domba yang telah diolah, lima sukatan bertih bijirin, seratus buah kuih kismis, dan dua ratus buah kuih ara. Dimuatnya semua itu di atas beberapa ekor keldai. Katanya kepada para pembantunya, “Berjalanlah mendahului aku. Nanti aku akan menyusul kamu.” Akan tetapi, dia tidak memberitahukan hal itu kepada suaminya, Nabal. Dengan menunggangi keldainya, Abigail sedang berjalan menurun pinggiran gaung gunung ketika tiba-tiba tampak Daud dan orangnya turun ke arahnya. Dia pun bertemu dengan mereka. Sebelumnya Daud berkata, “Sia-sia sahaja aku menjaga segala milik orang ini di gurun sehingga tidak ada sesuatu pun kepunyaannya yang hilang. Dia membalas kebaikanku dengan kejahatan. Sekiranya Allah menghukum musuh-musuh Daud, bahkan lebih lagi daripada itu, jika aku membiarkan hidup sampai pagi seorang lelaki sahaja pun daripada semua yang ada padanya.” Apabila Abigail melihat Daud, dia segera turun dari keldainya, lalu sujud di hadapan Daud dan memberi hormat. Dia bersujud di kaki Daud lalu berkata, “Hamba sajalah, ya tuanku, yang menanggung kesalahan itu. Perkenankanlah hambamu ini berbicara kepada tuan, dan sudilah kiranya tuan mendengar kata-kata hambamu ini. Hamba mohon, janganlah tuanku mengambil berat orang yang rendah akhlak itu, iaitu Nabal. Kerana sebagaimana namanya, memang demikianlah dia. Namanya Nabal, dan kebodohan ada padanya. Sesungguhnya, hambamu ini tidak melihat orang muda yang diutus tuanku itu. Sekarang, ya tuanku, demi TUHAN yang hidup, dan demi hidup tuan yang dicegah TUHAN untuk menumpahkan darah orang dan menuntut balas dengan tangan tuan sendiri, biarlah musuh-musuh tuan dan orang yang mengikhtiarkan kejahatan terhadap tuanku menjadi seperti Nabal. Biarlah pemberian ini, yang dibawa hambamu bagi tuanku, diberikan kepada orang muda yang mengiringi tuanku. Ampunkanlah kiranya kesalahan hambamu ini. TUHAN pasti membina sebuah keluarga yang teguh bagi tuanku kerana tuanku berperang dalam peperangan TUHAN, dan kejahatan tidak akan didapati pada tuan seumur hidup tuan. Sekalipun manusia bangkit mengejar tuan dan mengancam nyawa tuan, nyawa tuanku akan dibungkus dalam bungkusan hidup di bawah penjagaan TUHAN, Allahmu. Sebaliknya, nyawa musuh-musuh tuan akan dilontarkan-Nya seperti dari dalam tarbil. Apabila TUHAN telah melakukan segala hal yang baik terhadap tuan selaras dengan yang difirmankan-Nya mengenai tuan, dan telah menetapkan tuan sebagai pemimpin atas Israel, maka tuan tidak akan tersandung atau berasa susah hati kerana hal ini, iaitu bahawa tuan telah menumpahkan darah dengan tidak semena-mena atau menuntut balas bagi diri tuanku sendiri. Apabila TUHAN berbuat baik terhadap tuanku, ingatlah kepada hambamu ini.” Kata Daud kepada Abigail, “Segala puji bagi TUHAN, Allah Israel. Dia telah mengutus engkau untuk menemui aku pada hari ini. Terpujilah kebijaksanaan kamu dan terpujilah engkau, yang pada hari ini mencegah aku pergi menumpahkan darah dan menuntut balas bagi diriku dengan tanganku sendiri. Demi TUHAN, Allah Israel, yang mencegah aku daripada mencederakan engkau, jika engkau tidak segera datang menemui aku, pasti tidak ada seorang anak buah lelaki Nabal yang terselamat sewaktu fajar menyingsing.” Lalu Daud menerima daripada tangan perempuan itu apa yang dibawanya untuk dia dan berkata kepadanya, “Pulanglah dengan selamat ke rumahmu. Lihatlah, aku telah mendengar kata-katamu dan mengabulkan permohonanmu.”