1 SAMUEL 2:11-36

1 SAMUEL 2:11-36 Alkitab Berita Baik (BM)

Selepas itu Elkana pulang ke rumahnya di Rama, tetapi Samuel, anak itu tinggal di Silo dan mengabdi kepada TUHAN di bawah pengawasan Imam Eli. Anak-anak Eli sangat jahat. Mereka tidak mengendahkan TUHAN. Mereka juga tidak mengendahkan peraturan tentang apa yang boleh diminta oleh imam daripada umat Israel. Sebaliknya, jika ada orang yang mempersembahkan korban, hamba imam akan datang sambil membawa garpu bergigi tiga. Sementara daging itu direbus, hamba itu akan menusukkan garpu ke dalam periuk, tempat daging itu dimasak. Apa sahaja yang ditariknya keluar dengan garpu itu menjadi milik imam. Semua orang Israel yang datang ke Silo untuk mempersembahkan korban diperlakukan seperti itu. Tambahan pula, hamba itu akan datang sebelum lemak binatang itu dipisahkan untuk dibakar, lalu dia berkata kepada orang yang mempersembahkan korban itu, “Berikanlah daging yang masih mentah itu kepada imam supaya dipanggangnya; dia tidak mahu menerima daging yang sudah direbus.” Jika orang itu menjawab, “Sebaiknya kita mentaati peraturan dan membakar lemak itu dahulu; selepas itu bolehlah kamu mengambil apa yang kamu suka,” maka hamba itu akan berkata, “Tidak! Serahkan daging itu kepadaku sekarang juga! Jika tidak, aku akan mengambilnya dengan paksa.” Demikianlah kedua-dua orang anak Eli itu berdosa besar di sisi TUHAN, kerana mereka meremehkan persembahan korban untuk TUHAN. Sementara itu, Samuel yang masih kanak-kanak terus mengabdi kepada TUHAN. Samuel memakai baju khas daripada kain linen, seperti baju ibadat para imam. Tiap-tiap tahun ibu Samuel membuat jubah kecil, lalu memberikan jubah itu kepada Samuel apabila ibu itu datang bersama dengan suaminya untuk mempersembahkan korban tahunan. Kemudian Eli memberkati Elkana dan isterinya, serta berkata kepada Elkana, “Semoga TUHAN mengurniai kamu anak-anak lain daripada isterimu ini, untuk menggantikan anak yang sudah kamu serahkan kepada TUHAN.” Selepas itu mereka pulang ke Rama. Hana diberkati oleh TUHAN, lalu Hana melahirkan tiga orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Samuel pun bertambah besar sementara dia mengabdi kepada TUHAN. Eli sudah sangat tua. Dia selalu mendengar aduan tentang perbuatan anak-anaknya terhadap umat Israel. Eli tahu juga bahawa anak-anaknya itu meniduri perempuan-perempuan yang bertugas di pintu Khemah TUHAN. Oleh itu Eli berkata kepada anak-anaknya, “Aku sudah diberitahu oleh setiap orang tentang kejahatan yang kamu lakukan. Mengapa kamu melakukan hal itu? Jangan berbuat begitu lagi, hai anak-anakku. Sangat buruk perkara yang dikatakan oleh umat TUHAN tentang kamu. Jika seseorang berdosa terhadap manusia, Allah dapat membelanya; tetapi jika seseorang berdosa terhadap TUHAN, siapakah yang dapat membelanya?” Tetapi anak-anak Eli itu tidak mempedulikan nasihat bapa mereka, kerana TUHAN sudah mengambil keputusan untuk membinasakan mereka. Sebaliknya Samuel, anak itu, semakin besar dan semakin disukai oleh TUHAN mahupun oleh semua orang. Pada suatu hari seorang nabi datang kepada Eli dan menyampaikan perkhabaran daripada TUHAN. Nabi itu berkata, “TUHAN berfirman, ‘Ketika nenek moyangmu Harun dan keluarganya menjadi hamba raja Mesir, Aku menampakkan diri kepada Harun. Daripada semua suku Israel, Aku memilih keluarganya menjadi imam-Ku untuk bertugas di mazbah, membakar kemenyan, dan memakai baju efod ketika meminta petunjuk daripada-Ku. Aku memberi mereka hak untuk mengambil sebahagian daripada korban yang dibakar di atas mazbah. Tetapi mengapakah engkau masih tamak melihat persembahan dan korban yang dipersembahkan oleh umat-Ku kepada-Ku? Mereka mempersembahkan semuanya kepada-Ku menurut perintah-Ku kepada mereka. Hai Eli, mengapa engkau lebih menghormati anak-anakmu daripada menghormati Aku, dan membiarkan mereka menggemukkan diri dengan bahagian terbaik daripada setiap korban yang dipersembahkan oleh umat-Ku kepada-Ku? Aku TUHAN, Allah Israel, dahulu telah berjanji bahawa keluarga dan puakmu akan mengabdi kepada-Ku sebagai imam untuk sepanjang masa. Tetapi sekarang Aku tidak menghendaki hal itu lagi! Sebaliknya, mereka yang menghormati Aku akan Kuhormati, dan mereka yang menghina Aku akan dihina. Dengarlah, akan tiba masanya Aku membunuh semua orang lelaki daripada keluarga dan puakmu, sehingga tiada seorang lelaki pun daripada keluargamu yang akan hidup sampai usia lanjut. Engkau akan sedih dan iri hati melihat segala berkat yang akan Kuberikan kepada orang lain di Israel, sedangkan dalam keluargamu sendiri semua orang akan mati muda. Namun, seorang daripada keturunanmu akan Kubiarkan hidup, dan dia akan mengabdi kepada-Ku sebagai imam. Tetapi dia akan menjadi buta dan hidup dengan putus asa. Semua keturunanmu yang lain akan dibunuh dengan kejam. Apabila kedua-dua orang anakmu, Hofni dan Pinehas, meninggal pada hari yang sama, barulah engkau sedar bahawa semua yang Aku firmankan ini akan benar-benar berlaku. Aku akan memilih seorang imam yang setia kepada-Ku dan yang melakukan segala perintah-Ku. Aku akan memberi dia keturunan yang sentiasa bertugas sebagai imam kepada raja yang Aku pilih. Setiap keturunanmu yang masih hidup akan pergi kepada imam itu untuk minta wang dan makanan. Dia akan memohon supaya dibenarkan membantu para imam untuk mendapat makanan biar hanya sesuap.’ ”

1 SAMUEL 2:11-36 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Lalu pulanglah Elkana ke rumahnya di Rama tetapi anak itu menjadi penyelenggara ibadat kepada TUHAN di bawah pengawasan Imam Eli. Amat jahatnya kelakuan anak-anak lelaki Eli. Mereka tidak mengenal TUHAN. Amalan masa itu ialah para imam bertindak sewenang-sewenangnya terhadap umat biasa. Ketika seseorang mempersembahkan korban sembelihan, pembantu imam akan datang membawa garpu serampang tiga sementara daging itu masih direbus. Dia akan mencucukkan garpu ke dalam wadah, kuali, belanga, atau periuk, lalu apa-apa pun yang terangkat oleh garpu itu akan diambil oleh imam untuk dirinya sendiri. Demikianlah yang dilakukan mereka di Silo terhadap semua orang Israel yang datang ke sana. Bahkan sebelum lemaknya dibakar, pembantu imam akan datang kepada orang yang mempersembahkan korban dan berkata, “Berikanlah daging itu kepada imam untuk dipanggang. Dia tidak mahu menerima daripadamu daging yang direbus, melainkan yang mentah.” Jika orang itu berkata kepadanya, “Lemaknya harus dibakar dahulu. Setelah itu, ambillah sesuka hatimu,” maka hamba itu akan menjawab dia, “Berikan sekarang juga. Kalau tidak, aku akan mengambilnya dengan paksa!” Jadi, sangatlah besar dosa para pemuda itu di hadapan TUHAN, kerana mereka memandang rendah persembahan yang diperintahkan TUHAN. Sementara itu, Samuel menjadi penyelenggara ibadat di hadapan TUHAN. Anak itu memakai baju efod daripada kain linen. Ibunya biasa membuat sehelai jubah kecil untuknya, lalu setiap tahun jubah itu dibawanya untuk anaknya ketika dia pergi bersama-sama suaminya untuk mempersembahkan korban sembelihan tahunan. Kemudian Eli akan memohonkan berkat bagi Elkana dan isterinya, katanya, “Semoga TUHAN mengurniakan kepadamu keturunan daripada perempuan ini sebagai pengganti yang telah diserahkannya kepada TUHAN.” Setelah itu, mereka pulang ke tempat tinggal mereka. TUHAN melawat Hana, sehingga dia mengandung dan melahirkan lagi tiga orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Samuel yang muda itu pun bertambah besar di hadirat TUHAN. Eli sudah sangat tua. Dia mendengar segala sesuatu yang dilakukan anak-anaknya terhadap semua orang Israel dan bahawa mereka tidur dengan perempuan-perempuan yang menunaikan tugas di muka pintu Khemah Pertemuan. Katanya kepada mereka, “Mengapakah kamu melakukan hal-hal semacam itu? Kudengar khabar tentang segala kejelikan perbuatan kamu terhadap seluruh umat itu. Jangan begitu, anak-anakku. Yang kudengar ialah khabar buruk yang tersebar dalam kalangan umat TUHAN. Jika seseorang berdosa terhadap orang lain, maka Allah akan menghakiminya. Tetapi jika seseorang berdosa terhadap TUHAN, siapakah yang akan menjadi orang tengahnya?” Namun demikian, mereka tidak mengendahkan kata-kata ayah mereka, kerana TUHAN hendak mematikan mereka. Samuel yang muda itu semakin besar dan semakin disukai, baik oleh TUHAN mahupun oleh manusia. Suatu waktu datanglah seorang hamba Allah kepada Eli dan berkata kepadanya, “Beginilah firman TUHAN, ‘Bukankah ketika orang Israel masih di Mesir dan masih di bawah kuk keturunan Firaun, Aku telah menyatakan diri-Ku kepada para leluhurmu? Daripada kalangan semua suku Israel, Aku memilih dia untuk menjadi imam bagi-Ku, untuk naik ke mazbah-Ku, untuk membakar dupa, dan memakai baju efod di hadirat-Ku. Aku pun mengurniakan kepada keluarga leluhurmu segala korban bakaran orang Israel. Jadi, mengapakah kamu semua haloba serta meremehkan korban sembelihan dan persembahan bahan makanan bagi-Ku, serta mengetepikan Aku? Mengapakah engkau menghormati anak-anakmu melebihi Aku, dan menggemukkan diri dengan bahagian-bahagian yang terbaik daripada segala persembahan umat-Ku, orang Israel?’ Jadi, demikianlah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku memang telah berfirman bahawa keluargamu dan keluarga leluhurmu akan hidup di hadapan-Ku untuk selama-lamanya,’ tetapi sekarang, demikianlah firman TUHAN, ‘jauhlah hal itu daripada-Ku! Orang yang memuliakan-Ku akan Kumuliakan, dan orang yang meremehkan Aku akan dipandang hina. Sesungguhnya, akan datang harinya Aku mematahkan kekuatanmu dan kekuatan keluarga leluhurmu sehingga tidak akan ada seorang pun yang tua dalam keluargamu. Engkau akan memandang kesesakan di tempat hadirat-Ku. Walaupun segala kebaikan akan dikurniakan kepada Israel, tidak akan ada seorang yang tua dalam keluargamu untuk selamanya. Setiap orang dalam kalanganmu yang tidak Kulenyapkan daripada mazbah-Ku akan membuat matamu sayu dan menggusari hatimu, dan semua keturunan keluargamu akan mati pada masa akil baligh mereka. Hal yang akan menimpa kedua-dua orang anakmu, Hofni dan Pinehas, akan menjadi tanda bagimu: pada hari yang sama kedua-duanya akan mati. Kemudian Aku akan membangkitkan bagi-Ku seorang imam yang penuh amanah dan yang akan bertindak selaras dengan kehendak hati dan jiwa-Ku. Aku akan membangunkan baginya sebuah keluarga yang teguh, dan dia akan sentiasa hidup di hadapan orang yang Kulantik. Kemudian, sesiapa daripada kalangan keluargamu yang masih hidup akan datang bersujud kepadanya untuk meminta sekeping perak dan sebuku roti sambil berkata, “Kumohon masukkanlah aku ke dalam salah satu jawatan imam, supaya aku dapat makan sekeping roti.” ’ ”