1 SAMUEL 18:1-5
1 SAMUEL 18:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Raja Saul dan Daud selesai bercakap-cakap. Selepas itu, putera Raja Saul yang bernama Yonatan sangat tertarik kepada Daud, dan mula mengasihinya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Sejak hari itu, Raja Saul menyuruh Daud tinggal bersama-sama baginda, dan tidak membenarkan dia pulang ke rumah bapanya. Yonatan bersumpah untuk bersahabat dengan Daud selama-lamanya, kerana dia sangat mengasihi Daud. Yonatan menanggalkan jubah yang dipakainya lalu memberikannya kepada Daud. Dia juga memberikan pakaian perangnya, pedangnya, panahnya, dan tali pinggangnya kepada Daud. Daud berjaya dalam segala tugas yang diperintahkan oleh Raja Saul. Maka Raja Saul melantik dia menjadi pegawai tentera. Hal itu menyenangkan hati semua pegawai tentera dan anak buah Raja Saul.
1 SAMUEL 18:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah Daud selesai berbicara dengan Saul, berpadulah jiwa Yonatan dengan jiwa Daud, dan Yonatan mengasihi Daud seperti mengasihi dirinya sendiri. Pada hari itu juga Saul mengambil Daud sebagai orangnya dan tidak mengizinkan dia pulang ke rumah ayahnya. Yonatan membuat perjanjian dengan Daud, kerana dia mengasihi Daud seperti dirinya sendiri. Kemudian Yonatan menanggalkan jubah yang dikenakannya dan memberikannya kepada Daud, begitu pula pakaian perangnya, pedangnya, busur panahnya, dan juga ikat pinggangnya. Daud pergi ke mana-mana sahaja Saul mengutusnya. Dia selalu berhasil sehingga Saul melantik dia untuk menjadi ketua atas para anggota tenteranya. Hal itu dipandang baik oleh seluruh rakyat dan juga oleh para pegawai Saul.