1 SAMUEL 17:45-51

1 SAMUEL 17:45-51 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kata Daud kepada orang Filistin itu, “Engkau datang kepadaku dengan pedang, tombak, dan lembing, tetapi aku datang kepadamu dengan nama TUHAN alam semesta, iaitu Allah barisan perang orang Israel yang kaucemuh itu. Pada hari ini juga TUHAN akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku. Aku akan menumpaskanmu dan memenggal kepalamu. Pada hari ini juga akan kuberikan bangkai pasukan Filistin kepada burung-burung di udara dan kepada binatang-binatang di bumi. Dengan demikian seluruh bumi akan tahu bahawa ada Allah di Israel, dan seluruh jemaah ini akan tahu bahawa TUHAN tidak menyelamatkan dengan pedang dan tombak, kerana peperangan ini sememangnya milik TUHAN dan Dia akan menyerahkan kamu ke dalam tangan kami.” Pada waktu orang Filistin itu maju mendekat untuk menghadapi Daud, berlarilah Daud dengan cepat ke arah barisan perang musuh untuk menghadapi orang Filistin itu. Daud menyusupkan tangan ke dalam kantungnya dan mengambil sebutir anak batu dari dalamnya lalu melontarkannya dengan tarbilnya. Batu itu tepat mengenai dahi orang Filistin itu dan terbenam di dalam dahinya, sehingga orang itu jatuh menyembam tanah. Demikianlah Daud menyerang orang Filistin itu dengan tarbil dan batu. Dihentam dan dibunuhnya orang Filistin itu tanpa sebilah pedang di tangannya. Daud pun berlari lalu berdiri di atas tubuh orang Filistin itu. Diambilnya pedangnya, dihunusnya daripada sarungnya, lalu dibunuhnya orang itu. Dan dengan pedang itu dipenggalnya pula kepalanya. Larilah orang Filistin apabila mereka lihat betapa kesateria mereka telah ditumpaskan.