1 SAMUEL 17:32-51
1 SAMUEL 17:32-51 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian Daud berkata kepada Saul, “Janganlah ada seorang pun yang tawar hati kerana orang itu. Hambamu ini akan pergi bertarung menghadapi orang Filistin itu.” Kata Saul kepada Daud, “Engkau tidak akan sanggup menghadapi orang Filistin itu dan bertarung dengannya. Engkau masih muda, sedangkan dia seorang pejuang sejak mudanya.” Tetapi kata Daud kepada Saul, “Hambamu ini biasa menggembala domba-domba ayahnya. Jika singa atau beruang datang melarikan seekor anak domba daripada kawanannya, maka hamba akan pergi mengejarnya, lalu menyerangnya dan melepaskan domba itu daripada mulutnya. Jika dia bangkit melawan hamba, maka hamba akan merenggut janggutnya, lalu menyerang dan membunuhnya. Singa ataupun beruang sudah pernah hamba bunuh. Maka orang Filistin yang tidak bersunat ini pun akan menjadi seperti seekor daripada haiwan-haiwan itu, kerana dia telah mencemuh barisan perang daripada Allah yang hidup.” Kata Daud lagi, “TUHAN, yang telah melepaskan hamba daripada cakar singa serta cakar beruang, akan melepaskan hamba daripada tangan orang Filistin ini.” Kata Saul kepada Daud, “Pergilah, semoga TUHAN menyertai engkau.” Kemudian Saul memasangkan pakaian perang pada Daud. Dipakainya ketopong tembaga di kepalanya, dan dikenakannya baju zirah padanya. Daud mengikatkan pedangnya pada pakaian perangnya lalu cuba untuk berjalan kerana dia belum pernah memakainya. Kata Daud kepada Saul, “Hamba tidak dapat berjalan dengan pakaian ini, kerana hamba belum pernah memakainya.” Lalu Daud menanggalkan semua itu. Daud mengambil tongkatnya lalu memilih lima butir anak batu yang licin dari sungai. Dia memasukkan batu-batu itu ke dalam kantung gembala miliknya, dan membawa tarbilnya. Setelah itu, dia pun maju mendekati orang Filistin itu. Orang Filistin itu pun datang mendekati Daud, sementara orang yang membawa perisainya ada di hadapannya. Ketika orang Filistin itu melihat dan mengamati Daud, dia memandang remeh terhadap Daud yang masih muda, kemerah-merahan, dan elok rupanya. Kata orang Filistin itu kepada Daud, “Apakah aku ini anjing sehingga engkau datang kepadaku dengan membawa tongkat?” Dia mengutuk Daud demi tuhan-tuhannya. Kata orang Filistin itu lagi kepada Daud, “Ke marilah, akan kuberikan dagingmu kepada burung-burung di udara dan kepada binatang-binatang di padang!” Kata Daud kepada orang Filistin itu, “Engkau datang kepadaku dengan pedang, tombak, dan lembing, tetapi aku datang kepadamu dengan nama TUHAN alam semesta, iaitu Allah barisan perang orang Israel yang kaucemuh itu. Pada hari ini juga TUHAN akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku. Aku akan menumpaskanmu dan memenggal kepalamu. Pada hari ini juga akan kuberikan bangkai pasukan Filistin kepada burung-burung di udara dan kepada binatang-binatang di bumi. Dengan demikian seluruh bumi akan tahu bahawa ada Allah di Israel, dan seluruh jemaah ini akan tahu bahawa TUHAN tidak menyelamatkan dengan pedang dan tombak, kerana peperangan ini sememangnya milik TUHAN dan Dia akan menyerahkan kamu ke dalam tangan kami.” Pada waktu orang Filistin itu maju mendekat untuk menghadapi Daud, berlarilah Daud dengan cepat ke arah barisan perang musuh untuk menghadapi orang Filistin itu. Daud menyusupkan tangan ke dalam kantungnya dan mengambil sebutir anak batu dari dalamnya lalu melontarkannya dengan tarbilnya. Batu itu tepat mengenai dahi orang Filistin itu dan terbenam di dalam dahinya, sehingga orang itu jatuh menyembam tanah. Demikianlah Daud menyerang orang Filistin itu dengan tarbil dan batu. Dihentam dan dibunuhnya orang Filistin itu tanpa sebilah pedang di tangannya. Daud pun berlari lalu berdiri di atas tubuh orang Filistin itu. Diambilnya pedangnya, dihunusnya daripada sarungnya, lalu dibunuhnya orang itu. Dan dengan pedang itu dipenggalnya pula kepalanya. Larilah orang Filistin apabila mereka lihat betapa kesateria mereka telah ditumpaskan.
1 SAMUEL 17:32-51 Alkitab Berita Baik (BM)
Daud berkata kepada Raja Saul, “Tuanku, tidak perlu sesiapa pun takut kepada orang Filistin itu. Hamba bersedia melawan dia.” “Jangan,” jawab Raja Saul. “Bagaimana mungkin engkau dapat melawan dia? Engkau masih sangat muda, sedangkan dia telah biasa berperang sejak masa mudanya.” Tetapi Daud berkata, “Tuanku, hamba biasa menggembalakan domba bapa hamba. Apabila ada singa atau beruang datang menerkam domba, hamba mengejar dan menyerang binatang buas itu, lalu domba itu hamba selamatkan. Jika singa atau beruang itu melawan, hamba memegang lehernya, lalu memukulnya sampai mati. Hamba sudah membunuh singa mahupun beruang, dan orang Filistin yang tidak mengenal Allah itu, juga akan hamba perlakukan seperti binatang itu, kerana dia berani mencabar tentera Allah yang hidup. TUHAN sudah menyelamatkan hamba daripada singa dan beruang; Dia juga akan menyelamatkan hamba daripada orang Filistin itu.” “Baiklah,” titah Raja Saul. “Pergilah, semoga TUHAN menyertai engkau.” Raja Saul memberikan pakaian perangnya kepada Daud untuk dipakainya: sebuah topi gangsa yang dikenakannya pada kepala Daud, dan sepasang baju besi. Kemudian Daud mengikatkan pedang Raja Saul pada baju besi itu lalu cuba berjalan. Tetapi Daud tidak dapat berjalan, kerana dia tidak biasa memakai pakaian perang. “Hamba tidak dapat berjalan dengan pakaian ini,” katanya kepada Raja Saul. “Hamba tidak biasa memakainya.” Lalu Daud menanggalkan seluruh pakaian perang itu. Kemudian dia membawa tongkat gembalanya, dan mengambil lima biji batu yang bulat dari sungai, lalu menyimpan batu itu di dalam kantongnya. Dengan ali-ali siap di tangannya dia pergi menghadapi Goliat. Kemudian Goliat mula berjalan ke arah Daud, didahului oleh pembawa perisainya. Dia terus mendekati Daud, tetapi ketika dia nampak Daud dan memperhatikannya, Goliat tertawa mengejek kerana Daud masih sangat muda dan kacak. Goliat berkata kepada Daud, “Untuk apakah tongkat itu? Adakah engkau fikir aku ini anjing?” Goliat mengutuk Daud demi dewanya. “Mari,” katanya lagi untuk mencabar Daud, “Aku akan memberikan tubuhmu kepada burung dan binatang supaya dimakan!” Daud berkata, “Engkau datang melawan aku dengan pedang, tombak, dan lembing. Tetapi aku datang melawan engkau demi nama TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah tentera Israel, yang engkau hina itu. Hari ini juga TUHAN akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku. Aku akan mengalahkan engkau dan memenggal kepalamu. Aku akan memberikan tubuh tentera Filistin kepada burung dan binatang supaya dimakan. Dengan demikian seluruh dunia akan tahu bahawa kami, bangsa Israel mempunyai Allah. Semua orang di sini akan melihat bahawa TUHAN tidak memerlukan pedang ataupun tombak untuk menyelamatkan umat-Nya. Dia sentiasa menang dalam peperangan, dan Dia akan menyerahkan kamu semua ke dalam tangan kami.” Goliat mula maju mendekati Daud, lalu Daud berlari dengan cepat ke arah barisan orang Filistin untuk melawan dia. Daud memasukkan tangan ke dalam kantongnya, lalu mengambil sebiji batu dan mengumban batu itu dengan ali-ali ke arah Goliat. Batu itu kena pada dahi Goliat sehingga pecah tengkoraknya. Ketika itu juga Goliat rebah dengan mukanya ke tanah. Demikianlah tanpa pedang, Daud mengalahkan Goliat dan membunuhnya dengan ali-ali dan batu. Daud berlari kepada Goliat dan berdiri di sisi tubuhnya. Dia menghunus pedang Goliat dari sarung lalu memancung kepala Goliat; begitulah Daud membunuh Goliat. Apabila orang Filistin nampak bahawa pahlawan mereka sudah mati, mereka lari.