1 SAMUEL 17:32-40

1 SAMUEL 17:32-40 Alkitab Berita Baik (BM)

Daud berkata kepada Raja Saul, “Tuanku, tidak perlu sesiapa pun takut kepada orang Filistin itu. Hamba bersedia melawan dia.” “Jangan,” jawab Raja Saul. “Bagaimana mungkin engkau dapat melawan dia? Engkau masih sangat muda, sedangkan dia telah biasa berperang sejak masa mudanya.” Tetapi Daud berkata, “Tuanku, hamba biasa menggembalakan domba bapa hamba. Apabila ada singa atau beruang datang menerkam domba, hamba mengejar dan menyerang binatang buas itu, lalu domba itu hamba selamatkan. Jika singa atau beruang itu melawan, hamba memegang lehernya, lalu memukulnya sampai mati. Hamba sudah membunuh singa mahupun beruang, dan orang Filistin yang tidak mengenal Allah itu, juga akan hamba perlakukan seperti binatang itu, kerana dia berani mencabar tentera Allah yang hidup. TUHAN sudah menyelamatkan hamba daripada singa dan beruang; Dia juga akan menyelamatkan hamba daripada orang Filistin itu.” “Baiklah,” titah Raja Saul. “Pergilah, semoga TUHAN menyertai engkau.” Raja Saul memberikan pakaian perangnya kepada Daud untuk dipakainya: sebuah topi gangsa yang dikenakannya pada kepala Daud, dan sepasang baju besi. Kemudian Daud mengikatkan pedang Raja Saul pada baju besi itu lalu cuba berjalan. Tetapi Daud tidak dapat berjalan, kerana dia tidak biasa memakai pakaian perang. “Hamba tidak dapat berjalan dengan pakaian ini,” katanya kepada Raja Saul. “Hamba tidak biasa memakainya.” Lalu Daud menanggalkan seluruh pakaian perang itu. Kemudian dia membawa tongkat gembalanya, dan mengambil lima biji batu yang bulat dari sungai, lalu menyimpan batu itu di dalam kantongnya. Dengan ali-ali siap di tangannya dia pergi menghadapi Goliat.

1 SAMUEL 17:32-40 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian Daud berkata kepada Saul, “Janganlah ada seorang pun yang tawar hati kerana orang itu. Hambamu ini akan pergi bertarung menghadapi orang Filistin itu.” Kata Saul kepada Daud, “Engkau tidak akan sanggup menghadapi orang Filistin itu dan bertarung dengannya. Engkau masih muda, sedangkan dia seorang pejuang sejak mudanya.” Tetapi kata Daud kepada Saul, “Hambamu ini biasa menggembala domba-domba ayahnya. Jika singa atau beruang datang melarikan seekor anak domba daripada kawanannya, maka hamba akan pergi mengejarnya, lalu menyerangnya dan melepaskan domba itu daripada mulutnya. Jika dia bangkit melawan hamba, maka hamba akan merenggut janggutnya, lalu menyerang dan membunuhnya. Singa ataupun beruang sudah pernah hamba bunuh. Maka orang Filistin yang tidak bersunat ini pun akan menjadi seperti seekor daripada haiwan-haiwan itu, kerana dia telah mencemuh barisan perang daripada Allah yang hidup.” Kata Daud lagi, “TUHAN, yang telah melepaskan hamba daripada cakar singa serta cakar beruang, akan melepaskan hamba daripada tangan orang Filistin ini.” Kata Saul kepada Daud, “Pergilah, semoga TUHAN menyertai engkau.” Kemudian Saul memasangkan pakaian perang pada Daud. Dipakainya ketopong tembaga di kepalanya, dan dikenakannya baju zirah padanya. Daud mengikatkan pedangnya pada pakaian perangnya lalu cuba untuk berjalan kerana dia belum pernah memakainya. Kata Daud kepada Saul, “Hamba tidak dapat berjalan dengan pakaian ini, kerana hamba belum pernah memakainya.” Lalu Daud menanggalkan semua itu. Daud mengambil tongkatnya lalu memilih lima butir anak batu yang licin dari sungai. Dia memasukkan batu-batu itu ke dalam kantung gembala miliknya, dan membawa tarbilnya. Setelah itu, dia pun maju mendekati orang Filistin itu.