1 SAMUEL 17:32,40-50
1 SAMUEL 17:32 Alkitab Berita Baik (BM)
Daud berkata kepada Raja Saul, “Tuanku, tidak perlu sesiapa pun takut kepada orang Filistin itu. Hamba bersedia melawan dia.”
1 SAMUEL 17:40-50 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian dia membawa tongkat gembalanya, dan mengambil lima biji batu yang bulat dari sungai, lalu menyimpan batu itu di dalam kantongnya. Dengan ali-ali siap di tangannya dia pergi menghadapi Goliat. Kemudian Goliat mula berjalan ke arah Daud, didahului oleh pembawa perisainya. Dia terus mendekati Daud, tetapi ketika dia nampak Daud dan memperhatikannya, Goliat tertawa mengejek kerana Daud masih sangat muda dan kacak. Goliat berkata kepada Daud, “Untuk apakah tongkat itu? Adakah engkau fikir aku ini anjing?” Goliat mengutuk Daud demi dewanya. “Mari,” katanya lagi untuk mencabar Daud, “Aku akan memberikan tubuhmu kepada burung dan binatang supaya dimakan!” Daud berkata, “Engkau datang melawan aku dengan pedang, tombak, dan lembing. Tetapi aku datang melawan engkau demi nama TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah tentera Israel, yang engkau hina itu. Hari ini juga TUHAN akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku. Aku akan mengalahkan engkau dan memenggal kepalamu. Aku akan memberikan tubuh tentera Filistin kepada burung dan binatang supaya dimakan. Dengan demikian seluruh dunia akan tahu bahawa kami, bangsa Israel mempunyai Allah. Semua orang di sini akan melihat bahawa TUHAN tidak memerlukan pedang ataupun tombak untuk menyelamatkan umat-Nya. Dia sentiasa menang dalam peperangan, dan Dia akan menyerahkan kamu semua ke dalam tangan kami.” Goliat mula maju mendekati Daud, lalu Daud berlari dengan cepat ke arah barisan orang Filistin untuk melawan dia. Daud memasukkan tangan ke dalam kantongnya, lalu mengambil sebiji batu dan mengumban batu itu dengan ali-ali ke arah Goliat. Batu itu kena pada dahi Goliat sehingga pecah tengkoraknya. Ketika itu juga Goliat rebah dengan mukanya ke tanah. Demikianlah tanpa pedang, Daud mengalahkan Goliat dan membunuhnya dengan ali-ali dan batu.
1 SAMUEL 17:32 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian Daud berkata kepada Saul, “Janganlah ada seorang pun yang tawar hati kerana orang itu. Hambamu ini akan pergi bertarung menghadapi orang Filistin itu.”
1 Samuel 17:40-50 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Daud mengambil tongkatnya lalu memilih lima butir anak batu yang licin dari sungai. Dia memasukkan batu-batu itu ke dalam kantung gembala miliknya, dan membawa tarbilnya. Setelah itu, dia pun maju mendekati orang Filistin itu. Orang Filistin itu pun datang mendekati Daud, sementara orang yang membawa perisainya ada di hadapannya. Ketika orang Filistin itu melihat dan mengamati Daud, dia memandang remeh terhadap Daud yang masih muda, kemerah-merahan, dan elok rupanya. Kata orang Filistin itu kepada Daud, “Apakah aku ini anjing sehingga engkau datang kepadaku dengan membawa tongkat?” Dia mengutuk Daud demi tuhan-tuhannya. Kata orang Filistin itu lagi kepada Daud, “Ke marilah, akan kuberikan dagingmu kepada burung-burung di udara dan kepada binatang-binatang di padang!” Kata Daud kepada orang Filistin itu, “Engkau datang kepadaku dengan pedang, tombak, dan lembing, tetapi aku datang kepadamu dengan nama TUHAN alam semesta, iaitu Allah barisan perang orang Israel yang kaucemuh itu. Pada hari ini juga TUHAN akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku. Aku akan menumpaskanmu dan memenggal kepalamu. Pada hari ini juga akan kuberikan bangkai pasukan Filistin kepada burung-burung di udara dan kepada binatang-binatang di bumi. Dengan demikian seluruh bumi akan tahu bahawa ada Allah di Israel, dan seluruh jemaah ini akan tahu bahawa TUHAN tidak menyelamatkan dengan pedang dan tombak, kerana peperangan ini sememangnya milik TUHAN dan Dia akan menyerahkan kamu ke dalam tangan kami.” Pada waktu orang Filistin itu maju mendekat untuk menghadapi Daud, berlarilah Daud dengan cepat ke arah barisan perang musuh untuk menghadapi orang Filistin itu. Daud menyusupkan tangan ke dalam kantungnya dan mengambil sebutir anak batu dari dalamnya lalu melontarkannya dengan tarbilnya. Batu itu tepat mengenai dahi orang Filistin itu dan terbenam di dalam dahinya, sehingga orang itu jatuh menyembam tanah. Demikianlah Daud menyerang orang Filistin itu dengan tarbil dan batu. Dihentam dan dibunuhnya orang Filistin itu tanpa sebilah pedang di tangannya.