1 SAMUEL 17:32,40-47

1 Samuel 17:40-47 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Daud mengambil tongkatnya lalu memilih lima butir anak batu yang licin dari sungai. Dia memasukkan batu-batu itu ke dalam kantung gembala miliknya, dan membawa tarbilnya. Setelah itu, dia pun maju mendekati orang Filistin itu. Orang Filistin itu pun datang mendekati Daud, sementara orang yang membawa perisainya ada di hadapannya. Ketika orang Filistin itu melihat dan mengamati Daud, dia memandang remeh terhadap Daud yang masih muda, kemerah-merahan, dan elok rupanya. Kata orang Filistin itu kepada Daud, “Apakah aku ini anjing sehingga engkau datang kepadaku dengan membawa tongkat?” Dia mengutuk Daud demi tuhan-tuhannya. Kata orang Filistin itu lagi kepada Daud, “Ke marilah, akan kuberikan dagingmu kepada burung-burung di udara dan kepada binatang-binatang di padang!” Kata Daud kepada orang Filistin itu, “Engkau datang kepadaku dengan pedang, tombak, dan lembing, tetapi aku datang kepadamu dengan nama TUHAN alam semesta, iaitu Allah barisan perang orang Israel yang kaucemuh itu. Pada hari ini juga TUHAN akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku. Aku akan menumpaskanmu dan memenggal kepalamu. Pada hari ini juga akan kuberikan bangkai pasukan Filistin kepada burung-burung di udara dan kepada binatang-binatang di bumi. Dengan demikian seluruh bumi akan tahu bahawa ada Allah di Israel, dan seluruh jemaah ini akan tahu bahawa TUHAN tidak menyelamatkan dengan pedang dan tombak, kerana peperangan ini sememangnya milik TUHAN dan Dia akan menyerahkan kamu ke dalam tangan kami.”