1 SAMUEL 17:17-26,32

1 SAMUEL 17:17-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari Isai berkata kepada Daud, “Bawalah sepuluh kilogram biji-bijian yang dipanggang dan sepuluh buku roti, lalu hantarlah semuanya kepada abang-abangmu di perkhemahan tentera. Bawalah juga sepuluh buah keju bagi komandan pasukan. Tanyakanlah bagaimana keadaan abang-abangmu. Bawalah sesuatu untuk membuktikan bahawa engkau sudah berjumpa dengan mereka, dan mereka dalam keadaan selamat. Mereka berada di Lembah Ela bersama dengan Raja Saul dan semua orang Israel lain, yang sedang bertempur dengan orang Filistin.” Keesokan harinya, awal pagi, Daud bangun dan berkemas. Dia menyuruh orang lain menjaga domba. Kemudian dia membawa makanan itu lalu berangkat sebagaimana yang disuruh oleh Isai. Dia tiba di perkhemahan tepat ketika orang Israel sedang mengatur barisan sambil meneriakkan isyarat perang. Tentera Filistin dan tentera Israel saling berhadapan dan bersiap-siap untuk bertempur. Daud menitipkan makanan itu kepada penjaga perlengkapan tentera, lalu lari ke medan perang untuk berjumpa dengan abang-abangnya, dan menanyakan khabar mereka. Tetapi ketika dia sedang bercakap dengan mereka, Goliat tampil lalu mencabar tentera Israel seperti yang biasa dilakukannya; Daud mendengar kata-kata cabarannya itu. Apabila tentera Israel melihat Goliat, mereka lari ketakutan. “Lihatlah dia!” kata mereka sesama sendiri. “Dengarlah cabarannya! Raja Saul sudah berjanji bahawa orang yang berjaya membunuh Goliat akan diberikan hadiah yang besar. Raja juga akan mengahwinkan puterinya kepada orang itu, dan keluarga orang itu tidak perlu membayar cukai lagi.” Daud bertanya kepada askar yang berada dekatnya, “Apakah yang akan diberikan kepada orang yang dapat membunuh orang Filistin itu dan membebaskan Israel daripada penghinaan? Berani betul orang Filistin itu, orang yang tidak mengenal Allah, mencabar tentera Allah yang hidup!”

1 SAMUEL 17:17-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sementara itu Isai berkata kepada Daud, anaknya, “Cepat bawakan satu efa bertih padi-padian dan sepuluh ketul roti ini untuk abang-abangmu di perkhemahan. Bawakan juga sepuluh potong keju ini untuk pemimpin pasukan seribu. Tengoklah sama ada abang-abangmu selamat, lalu bawalah pulang suatu tanda daripada mereka.” Pada waktu itu, Saul berserta ketiga-tiga abangnya dan seluruh orang Israel berada di Lembah Elah, sedang berperang melawan orang Filistin. Daud pun bangun pagi-pagi lalu mengamanahkan kawanan dombanya kepada seorang gembala. Setelah itu, diangkatnyalah muatannya lalu pergi, sebagaimana yang diperintahkan Isai kepadanya. Dia sampai di parit perlindungan pada waktu pasukan sedang keluar menuju barisan perang sambil memekikkan sorakan perang. Orang Israel dan orang Filistin mengatur barisan masing-masing, barisan perang berhadapan dengan barisan perang. Daud mengamanahkan barang-barangnya kepada penjaga barang lalu berlari ke tempat barisan perang dan bertanyakan khabar abang-abangnya. Ketika dia bercakap dengan mereka, tiba-tiba kesateria bangsa Filistin dari Gat yang bernama Goliat itu maju dari barisan tentera Filistin. Dia mengucapkan kata-kata cemuhan yang sama seperti sebelumnya dan Daud mendengarnya. Semua orang Israel lari menjauhkan diri sebaik sahaja mereka melihat orang itu. Mereka dalam ketakutan yang amat sangat. Kata orang Israel, “Adakah kamu lihat orang yang sedang mara itu? Sememangnya dia mara untuk mencemuh orang Israel. Raja akan menganugerahi orang yang dapat membunuhnya dengan kekayaan yang besar. Kepadanya akan dikurniakan puteri baginda, dan keluarganya akan dibebaskan daripada membayar cukai di Israel.” Daud pun bertanya kepada kalangan yang berdiri bersamanya, “Apakah yang akan dilakukan terhadap orang yang dapat membunuh orang Filistin ini dan yang dapat menghapus cela ini daripada Israel? Siapakah orang Filistin yang tidak bersunat itu sehingga dia mencemuh barisan perang daripada Allah yang hidup?”